Polis Johor terima 4,898 permohonan rentas

Polis Johor terima 4,898 permohonan rentas

AYOB Khan Mydin Pitchay (kanan) memeriksa surat pelepasan rentas sempadan di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru hari ini. - FOTO/BAAZLAN IBRAHIM 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak 4,898 permohonan rentas daerah dan negeri telah diterima Polis Johor sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula Isnin lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, terdapat 4,822 permohonan telah diluluskan dan ia berkaitan alasan munasabah yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara seperti soal kecemasan dan urusan rawatan.

Katanya, hanya 76 permohonan ditolak kerana alasan diberikan tidak mempunyai asas kukuh.

“Sejak operasi sekatan jalan raya (SJR) bermula kelmarin, terdapat 68 kenderaan telah diarahkan berpatah balik kerana tidak mempunyai permit pergerakan merentas daerah atau negeri.

“Kita akan mengarahkan mereka berpatah balik dan jika enggan kompaun akan dikenakan berdasarkan peraturan di bawah PKPB,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan SJR di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, pihaknya sehingga kini belum menerima laporan orang ramai beratur dan bersesak di balai polis yang memohon rentas daerah atau negeri.

Katanya, pihaknya akan memudahkan urusan permohonan tersebut sekiranya orang ramai berbuat demikian dan mempunyai alasan yang kukuh.

“Saya sudah arahkan Ketua Polis Daerah dan Ketua Balai untuk mempermudahkan urusan permohonan rentas daerah atau negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Ayob Khan menambah, pihaknya akan meningkatkan penguatkuasaan pematuhan PKPB di kawasan orang ramai khususnya ketika menjelang perayaan Deepavali.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil termasuk membuat tangkapan sekiranya orang ramai masih ingkar dan enggan mematuhi arahan ditetapkan pihak berkuasa.

Sementara itu, Ayob Khan memaklumkan terdapat 49 SJR di seluruh Johor yang merangkumi 36 sekatan PKPB dan 13 sekatan Op Benteng.

“Operasi SJR membabitkan 750 pegawai dan anggota polis serta 12 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya