JOHOR BAHRU: Semua pekeliling dan garis panduan urusan dan aktiviti agama Islam di Johor ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tetap diteruskan walaupun pelaksanaan perintah itu berakhir bermula hari ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Datuk Md. Rofiki Shamsuddin berkata, ia membabitkan enam pekeliling dan garis panduan termasuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat lima waktu di masjid atau surau yang dikuatkuaskan bermula 9 November sehingga 6 Disember ini.
“Menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenaan pengumuman kerajaan terhadap penamatan PKPB di negeri Johor kecuali daerah Kota Tinggi dan Mersing, maka pekeliling dan garis panduan yang dikuatkuasakan bermula PKPB 9 November hingga 6 Disember hendak terus berkuat kuasa.
“Ia membabitkan pekeliling antaranya pengurusan nikah, cerai dan rujuk, pelaksanaan solat Jumaat, solat lima waktu dan solat jenazah di masjid, surau Jumaat, surau serta program pengimarahan di masjid dan surau dan majlis akad nikah dalam tempoh PKPB,” katanya dalam pekeliling Jabatan Agama Islam Negeri Johor di sini hari ini.
Kerajaan Johor sebelum ini mengumum mengekalkan kebenaran solat Jumaat dan solat jemaah fardu lima waktu serta aktiviti agama dijalankan mengikut satu pertiga kapasiti masjid dan surau di negeri ini sepanjang PKPB dikuatkuasakan.
Hanya solat Jumaat dan solat berjemaah fardu lima waktu serta program mengimarahkan masjid dan surau di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan
Dalam pada itu, Md. Rofiki berkata, Sultan Johor menitahkan agar para penceramah dan guru takmir yang dibenarkan menyampaikan kuliah agama memastikan kesihatan diri dan sentiasa sihat serta tidak bergejala sebelum hadir menyampaikan ceramah di masjid atau surau agar tidak menjangkiti wabak kepada orang lain tanpa disedari.
“Oleh itu, marilah kita memperkasa doa dan munajat kita kepada Allah khususnya melalui Program Johor Bermunajat. Kita pohonkan bersama-sama agar pandemik Covid-19 dapat berakhir segera.
“Semoga negeri dan negara kita beroleh perlindungan daripada segala wabak dan bencana,” katanya. – UTUSAN ONLINE