456 individu ditahan ingkar PKPP - Utusan Malaysia

456 individu ditahan ingkar PKPP

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 456 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 455 individu dikompaun dan seorang direman melalui 52,730 pemeriksaan yang dilaksanakan oleh 2,911 pasukan pematuhan dengan kekuatan 13,754 anggota. 

Menurut beliau, antara kesalahan itu ialah tidak memakai pelitup muka (143), penjarakan  fizikal (137), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (77), aktiviti pusat  hiburan (28), dan lain-lain kesalahan (71).

“Operasi Benteng juga telah berjaya melakukan tangkapan yang  melibatkan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong selain merampas sembilan kenderaan darat melalui 277 sekatan jalan raya. 

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba  memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai lalu, seramai 61,612 individu telah pulang ke tanah  air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 65 hotel dan 19 premis lain.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 9,312 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 384 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan selain 51,916 individu dibenarkan pulang. 

Ismail Sabri turut memberitahu, Operasi Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak 30 Mac lalu telah melakukan 11,145 operasi sanitasi  merangkumi 137 zon dengan sebanyak 13,593 premis disanitasi.

“Sejak 20 April lalu, sebanyak 13,125 jumlah pemeriksaan dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 7,794 tapak binaan di seluruh negara.  

“Semalam, anggota penguat kuasa CIDB telah membuat pemeriksaan di 23 tapak binaan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 22 tapak pembinaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, manakala satu tapak tidak beroperasi,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 686 premis perniagaan termasuk peruncit (492), pemborong (167) dan pengilang (27). 

Secara keseluruhan, kata beliau, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh. 

“Sebanyak 711 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 701 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 10 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP. 

“Dalam tempoh PKPP ini, Kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya  sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri  terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya