3 cuba rentas negeri dengan kereta api dikompaun RM1,000 - Utusan Malaysia

3 cuba rentas negeri dengan kereta api dikompaun RM1,000

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Tindakan tiga individu di sini mencuba nasib merentas negeri menggunakan perkhidmatan kereta api tanpa surat kebenaran polis mengundang padah apabila mereka dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang.

Ketiga-tiga mereka iaitu dua lelaki dan seorang remaja perempuan berusia belasan tahun dikenakan kompaun ketika pemeriksaan oleh sepasukan anggota polis Seberang Perai Utara (SPU) di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Butterworth, di sini semalam.

Mereka adalah sebahagian daripada 20 individu yang dikenakan kompaun RM1,000 dalam operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah itu kelmarin dan semalam.

Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, dalam operasi sama, seorang lelaki berusia 59 tahun turut dikompaun di sebuah kedai di Tasek Gelugor kerana tidak mencatat nama atau membuat imbasan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki kedai serta tidak memakai pelitup muka.

“Selain itu, sembilan individu lain dikompaun di beberapa lokasi di Tasek Gelugor dan Kepala Batas apabila gagal mematuhi SOP seperti tidak memakai pelitup muka dan gagal merekod maklumat semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, menerusi operasi hingga lewat pagi tadi, pihaknya mengenakan kompaun kepada enam lelaki yang tidak memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berkumpul di dalam sebuah pondok di Kepala Batas kira-kira pukul 2.30 pagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya