Tarik sahaja semua subsidi barang, petrol - Utusan Malaysia

Tarik sahaja semua subsidi barang, petrol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak Kerajaan Perpaduan memegang tampuk pemerintahan November 2022, boleh dirasakan sedikit demi sedikit perubahan yang sudah dan sedang dilakukan.

Antara perubahan boleh dilihat dan bakal memberi kesan langsung ialah kenaikan gaji penjawat awam sehingga 15 peratus bermula bulan depan, penyasaran subsidi diesel yang sudah dimulakan Jun lalu dan bakal menyusul RON95.

Refomasi yang mahu dilakukan dilihat tidak berhenti malah seperti sedang menunggu giliran untuk dirombak satu persatu demi kesejahteraan rakyat dan negara secara keseluruhan.

Terbaharu dan sedang diperdebatkan berkaitan subsidi RON95 yang diumumkan mahu dilaksanakan pertengahan tahun depan. Namun kaedah macam mana untuk menyasarkan subsidi bahan api itu masih diperhalusi. Setakat ini kerajaan mempertimbangkan pembelian RON95 menggunakan dua harga di stesen minyak iaitu yang layak dan tidak layak.

Terbaharu, isu minyak masak peket satu kilogram berharga RM2.50. Pakar-pakar mencadangkan kerajaan segera menghapuskan subsidi minyak masak. Bukan hanya minyak masak peket bahkan kepada semua barang bersubsidi lain termasuk gula, telur ayam dan tepung gandum.

Ini kerana semua barang asas tersebut secara terang-terangan disalah guna, diseludup dan dibeli oleh semua rakyat termasuk warga asing. Maknanya sejak berzaman subsidi kerajaan bocor dan tidak optimum. Malah adalah fenomena biasa jika barang disubsidi itu ditemukan dijual secara terbuka di selatan Thailand.

Bayangkan jika kerajaan mampu menjimatkan nilai subsidi yang tiris itu, lebihan duit berpuluh bilion tersebut boleh disalurkan untuk perkara-perkara lain yang lebih mendesak seperti menaik taraf sekolah, hospital dan jalan-jalan daif seperti dirungut rakyat.

Contoh bagi pengeluaran minyak masak peket bersubsidi sebulan sahaja sampai 70 juta kilogram atau bersamaan 720 juta kilogram setahun dengan nilai subsidi ditanggung kerajaan lebih RM4 bilion setahun.

Jumlah yang diperuntukkan itu sepatutnya cukup menampung keperluan 5.8 juta isi rumah warganegara kumpulanB40 namun isunya barangan tersebut kerap ghaib. Trend minyak masak peket ghaib kadangkala berjangkit kepada gula pasir yang dijual RM2.85 sekilogram.

Kerajaan juga terus menanggung subsidi RON95 yang didakwa lebih RM8 bilion setahun tetapi bukan hanya warga Malaysia yang mengisi minyak dengan harga bantuan kerajaan kerana orang asing juga tidak didiskriminasi.

Justeru, nilai subsidi jika tidak diselamatkan kos tersebut akan terus membebankan kerajaan dan secara tidak langsung banyak perkara lain yang perlu dilaksanakan terbantut kerana kekangan bajet.

Susulan kemelut yang merugikan itu, kerajaan Madani digesa untuk mencari ikhtiar dan mekanisme paling sesuai bagi melaksanakan rasionalisasi semula barangan bersubsidi yang selama ini dilakukan secara pukal. Biarpun terpaksa bertekak dan dicaci pembangkang dan sebilangan rakyat namun suara-suara marah itu diyakini hilang sedikit demi sedikit.

Lihat sahaja bagaimana penyasaran subsidi diesel yang jika sebelum ini dibantah habis-habisan namun lama-kelamaan pendekatan itu semakin diterima. Ada yang mengaitkan kekalahan calon Pakatan Harapan pada PRK Sungai Bakap Julai lalu susulan protes penyasaran subsidi diesel.

Namun kemenangan calon BN pada PRK DUN Mahkota sekitar September pula mungkin boleh dikaitkan dengan orang ramai semakin menerima penyasaran subsidi diesel tersebut.

Oleh itu, kerajaan walaupun diberi markah D oleh Bersih namun dialu-alu mencari mekanisme berkesan untuk melaksanakan penyasaran subsidi barang-barang asas tersebut demi menyelamatkan duit negara yang juga duit rakyat.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya