Tabung Haji syarikat pelaburan pendeposit - Utusan Malaysia

Tabung Haji syarikat pelaburan pendeposit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lembaga Tabung Haji adalah institusi yang penting kepada umat Islam. Ia diwujudkan pada September 1963 untuk membantu umat Islam dari negara ini menabung wang yang mencukupi untuk melaksanakan ibadah Haji.

Sejak hampir enam dekad, ratusan ribu umat Islam dari negara ini berjaya menjejak kaki di Masjidil Haram, menghadap Kaabah, mengabdikan diri dan merasai kebesaran Allah ketika mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Sumbangan agensi ini sangat besar. Ia menjadi tempat sandaran hampir 20 juta umat Islam di negara ini. Beberapa tahun lalu, Tabung Haji melalui tempoh getir. Liabilitinya mengatasi aset. Banyak syarikat pelaburannya kerugian. Kadar perkongsian keuntungan merudum. Pengiraan susut nilai aset diubah sesuka hati.

Asetnya bernilai hampir RM20 bilion diselamatkan menerusi suntikan dana kerajaan. Aset toksik dilupuskan.

Pengurusan Tabung Haji berjaya meletakkan agensi berkenaan ke jalan yang betul. Untuk separuh tahun pertama tahun ini saja ke Tabung Haji mencatatkan keuntungan bersih RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan pelaburan meningkat kepada RM1.55 bilion manakala pendapatan pelaburan tetap merangkumi RM1 bilion. Aset keseluruhannya mengatasi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion. Malah jumlah simpanan pendeposit meningkat kepada RM73.86 bilion, sekali gus membuktikan kembalinya keyakinan masyarakat Islam kepada agensi ini.

Pendeposit tahun ini boleh menjangka pembahagian keuntungan yang lebih baik berbanding tahun lalu terutama dengan pengurangan subsidi haji yang ditangguhkan tahun ini.

Tetapi untuk Tabung Haji maju ia harus dibiarkan beroperasi secara profesional dan tanpa campur tangan politik. Contohnya masalah kewangan dan beban hutang yang dihadapi anak syarikatnya Tabung Haji Plantations Bhd. (THP) harus diselesaikan pada peringkat pengurusan.

THP menanggung hutang berjumlah RM1.24 bilion dan tanggungan kepada pemiutang sebanyak RM211 juta. Jika asetnya perlu dilupuskan bagi menangani masalah kewangannya, pengurusan syarikat harus dibenarkan berbuat demikian.

Tabung Haji tidak perlu lagi melakukan suntikan dana kepada THP kerana ia hanya akan memberi tekanan kewangan kepada Tabung Haji sendiri.

Tabung Haji bukan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC). Ia syarikat pelaburan pendeposit beragama Islam dan semua usaha harus memastikan kepentingan pendeposit mengatasi agenda lain termasuk politik. – UTUSAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya