Susu coklat dihasilkan daripada lembu perang, itu Amerika Syarikat

Susu coklat dihasilkan daripada lembu warga perang, itu Amerika Syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Donald Trump sekali lagi menjadi Presiden Amerika Syarikat. Bekas presiden yang pernah disabitkan dengan kesalahan di mahkamah. Dia juga menghasut sehingga penyokong tegarnya merusuh dan menyerang Bangunan Capitol di Washington, D.C., dalam usaha melakukan coup d’état sendiri, dua bulan selepas kekalahannya dalam pilihan raya presiden empat tahun lalu. Mereka bercadang mahu mengelak persidangan bagi menetapkan kemenangan Joe Biden. Lima mati dalam rusuhan itu.

Dia juga sepanjang kempen pilihan raya presiden baru-baru ini mencerca saingannya Kamala Harris dengan pelbagai panggilan termasuk berbentuk rasis dan seksis. Dia juga menuduh wartawan dan syarikat media yang tidak mendukungnya sebagai musuh dan pencetus “fake news” serta mahu menghantar wartawan ke penjara.

Ini orang yang sama yang menyerang secara peribadi semua ikon yang menyokong parti Demokrat.

Dalam saingan ke White House yang dijangka sengit antara Trump dan Harris berakhir seperti Liverpool menentang kelab bola sepak Malaysia. Trump menang besar bukan sahaja di negeri-negeri “redneck” tetapi meraih sokongan di negeri-negeri yang sebelum ini dimenangi Biden.

Trump memperoleh 74.3 juta undi berbanding Harris 70.3 juta. Malah wanita atau golongan hispanik juga mengundi Trump walaupun bakal presiden itu menghina kebanyakan bangsa yang bukan kulit putih.

Sepanjang hari ketika keputusan undi mula masuk, dunia (di luar Amerika) seperti terkejut melihat Trump mendahului sehingga 250 undi sedangkan calon Demokrat ketinggalan jauh. Malah sebelum mendapat 270 undi yang diperlukan, Trump sudah mengumumkan kemenangan dan mahu diisytiharkan sebagai pemenang.

Selepas kemenangan disahkan, pelbagai analisis dilakukan banyak pihak. Banyak alasan diberikan di atas kekalahan Demokrat. Kempen singkat untuk Harris. Biden lewat tarik diri.

Kegagalan menangani isu asas – kos sara hidup dan keperluan orang biasa. Pilihan raya itu diadakan ketika dunia baru sahaja berhadapan kenaikan harga barang termasuk makanan dan minyak selepas pandemik Covid-19. Kebanyakan analisis merujuk kepada isu itu sebagai punca kemenangan Trump.

Daripada peratusan pengundi, lebih 30 peratus yang menyokong Trump adalah mereka yang tidak ke kolej. Ini di negara yang dalam satu kaji selidik menyatakan susu coklat datang daripada lembu berwarna perang (coklat).

Ini negara yang sebahagian rakyat di negeri-negeri koboi berbangga dunia ini hanya mengenai Amerika. Mereka anggap Super Bowl sebagai acara sukan terbesar berbanding perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia. Ini negara yang rakyatnya gilakan kereta dengan enjin kapasiti lebih enam liter dan ego sebesar kapal Titanic.

Tetapi satu sebab yang gagal diulas adalah sebahagian besar rakyat terutama di negeri-negeri berkulit putih yang berhaluan kanan tidak akan menerima seorang wanita sebagai presiden. Hillary Clinton mendapat undi terbanyak tetapi masih gagal. Begitu juga Harris.

Itu kelemahan sistem demokrasi yang memberi undi kepada setiap rakyat. Lembu pun jika bertanding dan mendapat undi yang mencukupi boleh dipilih sebagai presiden.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya