Semarakkan silaturahim di Aidilfitri

Semarakkan silaturahim di Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGIMBAS nostalgia Hari Raya Aidilfitri tahun 1980-an, yang waktu itu lingkungan umur saya awal belasan tahun, tiada kampung untuk balik beraya.

Warga kotalah kononnya – tinggal di Jalan Klang Lama, Peta­ling Jaya, yang saban tahun hanya terdaya perhati kawan-kawan pulang beraya di kampung.

Suatu hari merintih kepada mak. Kenapa kita jadi macam dagang pak malau. Terkejut sampai tergelak keluar air mata mak. Ishh! kau ni kenapa ha, kata mak tersenyum lebar. Mak nak ‘pecah perut’ lagi bila abang pula sambung ajukkan pantun filem lama, “Kajang Pak Malau kajang berlipat, Kajang hamba mengkuang layu; Dagang Pak Malau dagang bertempat, Dagang hamba musafir lalu”.

Jawab mak ringkas sahaja, “bersyukurlah kita ada rumah, masih ada saudara-mara datang berkunjung di pagi raya, itu sudah cukup”, barulah hati ini sejuk. Sejuk tak sejuk sehingga ke usia 24 tahun jugalah beraya di kota sebelum akhirnya bertemu jodoh dengan orang jauh, kampungnya nun di Ayer Lanas, Kelantan sana. Sejak itu setiap tahun beraya di kampung.

Empat dekad lepas semangat kejiranan dan keharmonian antara kaum cukup tebal. Di Kampung Jaya lewat 1970-an (kini Taman Dato’ Harun) keluarga kami tiada peti ais. Bila sehari sebelum jangkaan raya, mak beli daging dan ayam dalam kuantiti banyak dari pasar Jalan Othman. Cukup untuk kami sekeluarga saling menjamu jiran tetangga dan saudara-mara bertandang.

Tapi malam itu, dari rumah jiran yang ada tv kecil hitam putih, penyimpan mohon besar isytihar tak jadi raya. Kelam kabut dibuatnya. Nak letak mana lauk pauk yang dimasak. Ketupat pun sudah direbus.

Mahu tak mahu kena jadi juadah juga bersama jiran-jiran, sambil-sambil bertanya khabar anak-anak dan orang tua masing-masing. Masa itu pengumuman raya ibarat ‘bom jangka’. Cukup beringat supaya tak beria-ia esok raya atau tidak.

Yang paling menggamit memori masa anyam ketupat. Tapi sekarang jarang kita lihat anak-anak gadis usia belasan tahun anyam ketupat. Nak salahkan mereka tak wajar juga sebab hari ini sukar nak jumpa ketupat nasi yang dibungkus daun kelapa.

Sejak muncul makanan segera sekitar 1990-an, ketupat kini dibungkus dalam plastik dan direbus. Sampai ‘ketupat segera’ ini makin dapat tempatlah. Terpinggir terus warisan temurun.

Itu belum lagi cerita bab tempat lepak petang hari raya pertama lagi. Ampang Park, sebelum ke Pertama dan Campbell Complex. Itulah tempat kunjungan raya berbanding di kampung bertemankan suasana kehijauan, bermandikan sungai.

Bila Ampang Park ditutup Disember 2017 selepas beroperasi selama 44 tahun, nilai sentimentalnya sukar dibuang. Di situlah pusat pertemuan semua manusia – Melayu Cina, India. Sa­ngat harmoni waktu itu.

Ya, baju raya semua sudah dibeli, anak-anak semua sudah pulang dari perantauan. Orang tua senyum lebar sambut anak cucu. Raikankanlah hari raya tanda kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Jangan dilupa rakan-rakan kita di Palestin yang dirundung sengsara. Bayangkan anak-anak Rohingya yang sedang bergadai nyawa dalam kapal usang di Laut Andaman, kita masih dapat menikmati hidangan raya. Doakan kesejahteraan mereka.

Mak yang rendangnya tak siapa boleh lawan, mengadap Ilahi 30 Oktober 2019. Arwah ayah menyusul empat tahun kemudian, 26 Februari 2023. Ramai bapa saudara dan ibu saudara yang sudah kembali ke rahmatullah.

Al-Fatihah untuk mereka yang pernah membahagiakan. Salam Aidilfitri maaf zahir batin. Semarakkan ikatan silaturahim dan keharmonian di pagi Syawal. – UTUSAN

  • Zulkifli Jalil adalah Pengarang Eksekutif Utusan Malaysia