Selesaikan segera isu padi - Utusan Malaysia

Selesaikan segera isu padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita biasa mendengar ungkapan, “sebiji beras itu ibarat setitik peluh petani”. Ia bagi menggambarkan betapa banyaknya tenaga dan keringat pesawah dalam mengerjakan bendang untuk membekalkan makanan ruji kepada kira-kira 33 juta penduduk Malaysia.

Malangnya, hasil padi mereka terus merosot. Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, hasil padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merosot kira-kira 150,000 tan metrik setahun yang dibimbangi jika berterusan akan menjejaskan bekalan beras negara.

Kemerosotan berpunca daripada lima masalah utama yang menghantui para pesawah di Kedah dan Perlis terutama kelewatan penghantaran benih padi dan penghantaran baja yang tidak ikut jadual penanaman.

Selain itu, masalah infrastruktur seperti tali air tersumbat dan tanah jerlus serta isu orang tengah yang menindas petani turut menyumbang kepada kemerosotan tersebut.

Belum sempat bernafas, kita dikejutkan pula dengan berita hasil padi atau beras negara boleh merosot sehingga 70 peratus dalam tempoh tujuh atau 10 tahun akan datang berdasarkan hasil pesawah yang semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pesawah dikatakan hanya mampu menghasilkan sekitar dua tan metrik padi bagi keluasan satu hektar berbanding tempoh lima ke tujuh tahun lalu yang mencecah sehingga tujuh tan metrik bagi keluasan sama.

Pada 2022 pengeluaran padi MADA berjumlah 852,477 tan metrik sementara pada 2021, pengeluarannya adalah 843,947 tan metrik. Sedangkan, pada 2018 jumlah pengeluarannya adalah 1,028,867 tan metrik.

Tindakan segera perlu diambil bagi mengatasi isu ini. Ketika ini, keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia ialah sebanyak 2.5 juta tan me­trik manakala pengeluaran beras negara adalah sekitar 70 peratus dan baki 30 peratus bergantung kepada import untuk meme­nuhi permintaan.

Realiti ini agak membimbangkan. Tanpa jaminan bekalan makanan seperti beras, ini bermakna kita tidak akan jaminan keselamatan makanan. Memang pada ketika ini, negara mempunyai Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang merupakan pengimport tunggal beras negara sejak 1990-an. Bernas juga memastikan negara mempunyai stok penimbal beras untuk kegunaan tempatan bagi tempoh enam bulan.

Memanglah kita boleh import tetapi sampai bila kita mahu import sedangkan kita punya tanah yang luas untuk diusahakan dengan tanaman padi. MADA sahaja misalnya menguruskan 130,282 hektar sawah dengan 100,685 hektar adalah kawasan pasel atau petak padi yang menyumbang kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan pengelua­ran padi negara.

Antara yang wajar segera dilakukan adalah pemain industri pertanian perlu memfokuskan teknik pembajaan yang lebih efisien bagi mengeluarkan hasil padi tinggi sekali gus membantu meningkatkan bekalan beras dalam negara.

Dalam menuju negara maju, jangan dipinggirkan sektor pertanian. Sektor inilah yang menjadi penentu berasapnya dapur kita setiap hari. Kalau ditakdirkan berlaku kecemasan dan kita hanya ada beras dan garam, itu sudah cukup untuk mengenyangkan walaupun tak ada lauk lain.

 

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya