Sapura Energy: Kisah syarikat Melayu yang gagal diurus dengan baik

Sapura Energy: Kisah syarikat Melayu yang gagal diurus dengan baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nama syarikat Sapura Energy Berhad (SEB) mencetus kontroversi selepas pengumuman suntikan dana RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).

MDH ialah anak syarikat Kementerian Kewangan Diperbadankan. Secara ringkas MDH menyuntik dana untuk membantu lebih 2,000 vendor yang masih tidak dibayar SEB.

Pemegang saham terbesar SEB – Permodalan Nasional Bhd (PNB) – berkata pendanaan itu akan melindungi 59,000 pekerjaan dalam industri minyak dan gas.

Dalam dunia korporat, suntikan dana oleh pelabur bukan perkara aneh, cuma dalam kes SEB ia menjadi isu kerana ia didakwa penyelamatan atau bailout.

Tetapi berapa banyak syarikat persendirian dan berberkaitan kerajaan atau industri strategik telah menerima bailout sejak tiga dekad lalu.

Tanya Penerbangan Malaysia atau MAS. Berapa banyak wang awam yang disuntik. Selepas krisis kewangan 1997/98 syarikat berkaitan Kumpulan Renong diambil alih. Syarikat berkaitan Felda.

Terlalu banyak jika disenaraikan akan mengguris hati banyak pihak. Syarikat yang dibantu bukan hanya milik Melayu tetapi bukan Melayu juga cuma ia tidak dibincangkan atas prinsip mengelak perkauman.

Dalam kes SEB, seseorang harus memahami bagaimana ‘tragedi’ ini bermula. Sebab sebuah syarikat yang harga sahamnya mencapai RM4.98 pada 27 Disember 2013 tetapi dalam kurang sedekad, diniagakan TIGA SEN. Apa yang berlaku dalam tempoh itu?

Apa menyebabkan SEB menjadi syarikat “Practice Note 17” yang melalui proses penstrukturan? Bagaimana syarikat tempatan ini boleh mengumpulkan hutang RM10.8 bilion dan bayaran tertunggak perniagaan RM1.5 bilion? Kenapa pada satu masa Kumpulan Wang Simpanan

Pekerja (KWSP) melupuskan kepentingan dalam syarikat yang dilindungi oleh akta bankrap.

Antara 2011 dan 2014 industri minyak hidup dalam kemewahan. Harga minyak diniagakan pada kebanyakan masa antara AS$90 hingga AS$120. Keuntungan syarikat minyak naik berkali ganda.

Pada 2013, SEB yang dikenali Sapura Crest Petroleum mencatatkan keuntungan bersih RM664 juta. Pada 2015, keuntungan itu naik kepada RM1.4 bilion tetapi menjelang 2018 ia menjunam kepada kerugian RM2.5 bilion.

Kejatuhan SEB kerana harga minyak dunia tidak pernah kekal tinggi. Pengurusan SEB menjangka langit selalu cerah. Antara 2015 dan 2021 harga minyak tidak pernah melepasi AS$100. Harga tertinggi dicapai ketika itu AS$68 setong.

SEB dengan rakus melabur dan mengembangkan perniagaan.

Seperti kata orang, 80 peratus hati manusia adalah ketamakan. Itu yang membunuh SEB. Kerana pengembangan perniagaan besar-besar seperti orang dirasuk, hutang SEB meningkat kepada RM18.6 bilion pada 2017.

Pendapatan syarikat berkurangan separuh tetapi hutang meningkat sekali ganda.

Ia diburukkan dengan cara SEB diuruskan. Seorang Pengurusan tertinggi menerima gaji dan bonus serta manfaat lain sebanyak RM71 juta tetapi syarikat itu rugi RM2.5 bilion pada 2018. Ini semua rekod umum.

Tanya Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang ketika itu berperang untuk cuba mendapatkan dokumen berkaitan bayaran gaji dan bonus pegawai tinggi SEB.

SEB adalah satu lagi kisah syarikat Melayu yang mengembangkan perniagaan bersandarkan hutang berlebihan tanpa mengira keupayaan membayar balik atau tunai dalam perniagaan.

Atau kes joli lebih macam esok tiada kiamat. Simptom yang lebih terkena kepada ramai peniaga Melayu. Akhirnya mereka bersenang tetapi masalah itu ditanggung kerajaan atau rakyat secara tidak langsung. – UTUSAN

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya