RMT: Harapkan situasi menang-menang kepada semua

RMT: Harapkan situasi menang-menang kepada semua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) mula diperkenalkan pada tahun 1979 bertujuan memupuk budaya pemakanan sihat dalam kalangan pelajar sekolah, selain berfungsi sebagai program intervensi kemiskinan bagi membantu golongan B40 memperoleh makanan yang berkhasiat dan mencukupi.

Kini, Program RMT yang berusia 45 tahun itu dinilai semula dan akan ditambah baik supaya sesuai dengan keperluan semasa.

Sebab itu Kementerian Pendidikan (KPM) telah menubuhkan pasukan petugas untuk melihat perkara ini dan keputusannya akan diumumkan pada tahun hadapan.

Semua aspek akan diambil kira seperti kenaikan harga barangan, kandungan menu dan juga bebanan yang ditanggung oleh pengusaha.

Bagi pihak pengusaha mereka meminta supaya harga RM3.50 dinaiikkan sedikit atas dakwaan ia menyukarkan mereka menyediakan hidangan lengkap seperti nasi, ayam dan buah-buahan kepada murid.

Sememangnya pengambilan makanan seimbang dan berkhasiat mencukupi terdiri daripada kumpulan vitamin, karbohidrat, protein dan zat besi cukup penting kepada pelajar untuk membolehkan mereka membina tubuh badan sihat, otak cerdas, sekali gus melancarkan proses ulang kaji pelajaran tanpa gangguan kesihatan.

Tetapi jika makanan sihat yang diperlukan pelajar gagal disediakan oleh pengusaha kantin sekolah kerana terhalang oleh isu kenaikan harga barangan, maka usaha Kementerian Pendidikan untuk membantu pelajar-pelajar golongan B40 dan M40 memperoleh makanan sihat dan seimbang tidak akan tercapai.

Ada yang menganggap permintaan lebih 10,000 pengusaha kantin sekolah di seluruh negara agar harga menu RM3.50 dinaikkan kepada RM5 adalah wajar seiring dengan kenaikan harga barangan ketika ini.

Tetapi jangan lupa, jika kadar RMT dinaikkan sebanyak RM5 ia akan turut melibatkan kenaikan perbelanjaan kerajaan. Tetapi bagi pengusaha kantin, mereka yakin hanya dengan harga itu boleh menyediakan hidangan yang lebih berkhasiat.

Kata beberapa orang pengusaha kantin sekolah rendah dan menengah: “Kami bukan hendak untung sangat tetapi janganlah sampai membebankan kami. Harga menu RMT pada kadar harga RM3.50 agak menyukarkan kami untuk menyediakan makanan berkhasiat seperti yang ditetapkan.”

Terdapat kira-kira 10,220 buah sekolah di Malaysia. Daripada jumlah itu, 7,780 adalah sekolah rendah manakala 2,400 lagi sekolah menengah.

Jumlah tersebut bagaimanapun tidak termasuk sekolah-sekolah agama dan swasta.

Justeru, besar harapan agar pembentangan laporan berkaitan Program RMT pada 1 Mac tahun 2025 oleh Pasukan Petugas Khas yang dilantik

Kementerian Pendidikan akan menyediakan situasi menang-menang kepada semua pihak. – UTUSAN

Imran Mohamad Nor adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya