Rakyat Kelantan ‘wajib’ balik kampung? - Utusan Malaysia

Rakyat Kelantan ‘wajib’ balik kampung?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 22 April lalu, Kelantan mencatat jumlah tertinggi 662 kes mendahului Selangor dengan 633 kes, Sarawak 474 kes, Kuala Lumpur 332 kes.

Beberapa hari sebelum catatan lebih 600 kes, Negeri Cik Siti Wang Kembang itu mula menunjukkan trend peningkatan kes yang dikatakan berpunca daripada mereka balik kampung.

Sejak itu dan sehingga kini, Kelantan terus mengekalkan catatan kes Covid-19 pada angka lebih 300-400 kes dan kerap mengekalkan kedudukan negeri kedua tertinggi di belakang Selangor.

Terbaharu, sebanyak 10 kes varian Afrika Selatan dikesan di Kelantan berpunca dari balik kampung menjadikan kluster aktif di negeri itu sebanyak 37 kluster dan semalam tambah dua lagi kluster di Machang dan Pasir Mas.

Bermula 16 hingga 29 April, perintah PKP dikuat kuasakan di Kelantan dengan sembilan daerah dikategorikan zon merah dan bagi mengekang virus merebak, kerajaan negeri memperketatkan SOP menutup bazaar Ramadan dan tiada kunjungan Aidilfitri.

Polis negeri sehingga kini telah mengadakan 19 SJR membabitkan 13 lokasi di tujuh daerah terlibat dan empat sekatan di sempadan negeri. Selain itu, polis juga turut mempertingkatkan operasi di kira-kira 26 laluan tikus membabitkan beberapa pintu masuk darat tiga domestik iaitu Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli.

Walaupun pihak berkuasa sudah mengambil tindakan dengan mengadakan SJR bagi menghalang orang ramai rentas daerah atau negeri, namun peel (sikap) degil sesetengah rakyat Kelantan yang berkeras juga mahu balik kampung dengan pelbagai alasan ‘wajib’, dilihat menjadi punca kepada merebaknya virus Covid-19 di negeri itu.

Penduduk Kelantan kini seramai 1.9 juta orang dengan 96 peratus bumiputera, 3.1 peratus Cina, 0.3 peratus India dan 0.6 peratus Siam dan lain-lain. Daripada jumlah itu, kira-kira satu juta rakyat Kelantan merantau ke negeri-negeri lain termasuk di luar negara.

Bayangkan jika hanya 200,000 daripada satu juta rakyat Kelantan di luar pulang ke kampung pada musim Covid ini untuk sambut Aidilfitri, sama ada mereka menggunakan surat kebenaran polis atau laluan tikus, tanpa sesetengahnya mengetahui diri mereka ada virus Covid atau tidak, kemungkinan kes di Kelantan yang kini mencecah 16,474 kes, 297 kes baharu dan 55 kematian setakat ini, akan terus naik mendadak?

Dengan keputusan terbaharu kerajaan yang membenarkan pihak polis memenjara mereka yang bersalah melanggar SOP, apatah lagi bagi mereka yang melalui ‘jalan tikus’, renung-renungkanlah. Sanggupkah anda redah halangan atas istilah ‘wajib’ balik kampung atau rela beraya di lokap? Kedua-dua ini seharusnya tidak menjadi pilihan.
#sama2kitaperangicovid

Imran Mohamad Nor Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia