Pinggan mangkuk Ahli Parlimen pun, rakyat 'belikan'

Pinggan mangkuk Ahli Parlimen pun, rakyat ‘belikan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Membaca pendedahan Ahli Parlimen Muar, Syed Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tentang pendapatan ahli politik membuatkan penulis terkejut. Walaupun, atas kertas nampak gaji sebagai Menteri Besar, menteri tidak banyak mana tetapi elaun mereka punyalah banyak.

Elaun pinggan mangkuk saja pun RM50,000. Mewah betul set pinggan mangkuk yang boleh dibeli untuk kegunaan di rumah-rumah ahli politik. Kita rakyat biasa ni, beli pinggan mangkuk harga RM200 ke RM300 satu set pun dah cukup.

Cukup kerana set pinggan mangkuk tu boleh tahan lama. Tak sanggup nak beli set sehingga puluhan ribu. Sayang duit. Selalunya kena main kutu baru dapat beli terutama dalam keadaan banyak harga barang dan perkhidmatan yang naik sekarang.

Ramai yang tahu gaji asas ahli Parlimen mungkin RM19,000, tetapi orang awam tidak tahu insentif dan ganjaran yang diterima mampu cecah RM100,000. Belum Perdana Menteri lagi, dia akan mendapat rumah dan tanah yang bernilai RM100 juta

Sebab itu, kita menyokong saranan Syed Saddiq supaya diwujudkan satu deklarasi dalam kalangan ahli politik. Ini supaya rakyat tahu berapa sebenarnya pendapatan mereka, supaya telus.

Pendapatan bukan setakat gaji tetapi merangkumi lain-lain elaun dan keistimewaan sebagai ahli Parlimen dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sebelum ini, Syed Saddiq mendedahkan gaji bulanannya ialah RM55,000 tidak termasuk elaun-elaun lain. Dana percutian seorang menteri pula adalah kira-kira RM80,000 setahun.

Beliau juga mendedahkan elaun pinggan mangkuk sebanyak RM50,000 untuk seorang menteri selain seorang menteri juga berhak mendapat subsidi sebidang tanah di Putrajaya.

Syed Saddiq juga berhak dapat dua AP untuk import kereta mewah. Apabila diberhentikan selepas 22 bulan menjadi Menteri Belia dan Sukan beliau mendapat ganjaran berjumlah RM180,000.

Menurut Akta Ahli Parlimen (Pembayaran Gaji) 1980 pula, gaji bulanan seorang ahli Parlimen termasuk elaun mereka, boleh mencapai purata RM25,700. Ini belum masuk bil utiliti percuma merangkumi bil elektrik dan air.

Selain itu, ahli Parlimen boleh buat tuntutan pelbagai elaun atau subsidi antaranya layak menerima RM400 sehari untuk menghadiri mesyuarat Parlimen dan elaun satu kali seumur hidup sebanyak RM1,000 setiap tiga tahun untuk membeli pakaian rasmi hitam.

Ini tidak termasuk ahli Parlimen yang pegang jawatan dalam badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang gajinya amat berlipat kali ganda tetapi masyarakat tidak tahu mengenainya.

Pendapatan lumayan itu tidak tamat di situ. Selepas sepenggal berkhidmat, mereka layak dapat pencen. Pencen itu pula jenis berlapis. Maksudnya, kalau si A tu ahli Parlimen dan juga timbalan menteri, maka dia dapat kedua-dua pencen.

Bagi yang pernah jadi Perdana Menteri, Menteri dan lain-lain jawatan dalam Kabinet, mereka juga layak terima pencen-pencen tersebut. Tidak seperti penjawat awam biasa yang hanya dapat satu pencen. Itu pun mesti

menamatkan minimum 30 tahun berkhidmat baru layak menikmati pencen penuh.

Lebih sedih, pencen penjawat awam yang baru dilantik sudah dimansuhkan dan diganti dengan caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dengan pelbagai imbuhan itu, memang seronok jadi ahli Parlimen. – UTUSAN

Mohd Radzi Mohd Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya