Pilihlah kerajaan tidak susahkan hidup rakyat - Utusan Malaysia

Pilihlah kerajaan tidak susahkan hidup rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRU15 terasa benar -benar sengit kerana sehingga hari penamaan colon hari ini, belum nampak parti mana lebih dominan. Semua parti seperti sama rata. Jika hari ini nampak Pakatan Harapan (PH) boleh menang, petang nanti BN pula kuat manakala esok pagi PN dikhabar semakin mengukuh.

Semua parti yang masuk gelanggang pula, masing-masing yakin menang. Bagi PH mereka kata boleh raih sampai 100 kerusi Parlimen, PN lebih 112 kerusi manakala BN pun dalam jumlah hampir sama.

Bagaimanapun, menerusi komen netizen di laman sosial, ramai yang menganggap pemimpin-pemimpin politik ketika ini sedang syok sendiri, tidak sedar diri selain banyak yang berta­nya apa jasa besar mereka sehingga berasa yakin akan menang.

Media sosial sangat rancak ketika ini kerana menerusi platform tersebut rakyat meluahkan pelbagai komen kepada pemimpin politik yang berangan untuk mentadbir negara.

Sebenarnya itulah adat politik sejak dulu hingga sekarang, sudah menjadi tradisi bercakap kena besar tetapi hasilnya kemudian kira.

Menuju hari pengundian 19 November, rakyat semakin merasai bertapa merekalah bos sebenarnya kepada orang-orang politik. Ini kerana sejak minggu lalu ramai calon mula mencari rakyat demi meraih undi.

Bagi calon baharu di kawasan tertentu semakin kuatlah mereka perlu bekerja untuk memperlihatkan diri mampu memberi khidmat lebih daripada calon sebelum itu.

Menerusi sembang kedai kopi, ramai sudah menerima panggilan telefon daripada macai-macai calon yang memujuk pengundi mengundi parti itu dan calon ini.

Ketika inilah, penghuni atau rakyat berpeluang ‘tawar-menawar’ dengan calon atau parti mengenai apa yang bagus sangat jika kita mengundi mereka.

Hakikatnya, berhati-hatilah jangan cepat cair dengan kata-kata manis calon yang tengah kuat berkempen. Imbau semula peristiwa-peristiwa yang pernah anda lalui ketika berurusan dengan calon atau parti berkenaan.

Jenguk-jenguk juga sekitar kawasan anda, apa khidmat calon atau parti diwakili calon berkenaan kepada kawasan itu.

Paling penting selepas menang masih mampukah calon itu diakses penghuni di saat pengundi memerlukan khidmat mereka?

Kisah calon tidak `menghiraukan’ pengundi bukan dongeng ia berlaku. Jangan kata mahu berjumpa hantar mesej pun ada ADUN atau ahli Parlimen tidak baca.

Jika begitu perangai calon PRU15, lupakanlah, cubalah calon lain. Pilihlah calon yang bekerja untuk rakyat bukan bekerja untuk diri sendiri atau hanya memuaskan hati pucuk pimpinan parti yang juga belum tentu betul.

PRU15 adalah peluang terhidang untuk rakyat mencari kerajaan lebih baik menguruskan isu kenaikan OPR, kekura­ngan bekalan ayam dan telur, isu pelajar cemerlang tetapi tiada tempat serta gaji naik sedikit tetapi kos sara hidup melambung tidak sia-sia. Semoga selepas 19 November Malaysia akan dapat kerajaan tidak menyusahkan hidup rakyat.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya