Perang mercun sepanjang masa

Perang mercun sepanjang masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sana sini boleh dilihat ramai peniaga yang membuka gerai menjual bunga api dan mercun ketika ini.

Kebanyakan mereka adalah peniaga sambilan yang timbul apabila menjelangnya musim perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

Jika dahulu, mercun dan bunga api dikaitkan dengan masyarakat Cina yang percaya letupan mercun boleh menghalau hantu dan juga membuang nasib malang.

Namun kini semua kaum bermain bunga api dan mercun sebagai tanda gembira dalam meraikan sesuatu perayaan. Malah pekerja asing yang berada di negara ini juga tidak ketinggalan, sebab itu kadangkala boleh dengar bunyi letupan di kawasan penempatan mereka atau pun di kilang-kilang tempat mereka bekerja.

Sebab itulah kadangkala bunyi bising mercun bukan lagi datang dari kawasan penempatan yang majoriti penduduknya Cina.

Nampaknya kaum-kaum lain dan pekerja asing yang lebih teruja bermain mercun termasuk pada Tahun Baharu Cina.

Mungkin kerana percikan bunga api yang pelbagai formasi dan nampak cantik di ruang udara sambil mengeluarkan bunyi letupan yang kuat, menarik minat ramai.

Keadaan itu dapat dilihat pada sambutan Tahun Baharu Cina Februari lalu. Mereka main sepuas-puasnya sehingga melewati tengah malam tanpa memikirkan kacau ganggu yang mereka lakukan.

Keadaan sama juga pasti akan berlaku pada Aidilfitri penghujung bulan ini. Lagi pula mercun atau bunga api mudah diperoleh di mana sahaja.

Harga mercun, bunga api yang semakin mahal tidak menjadi hal asalkan mereka puas bermain. Bakar duit main mercun tidak apa, tetapi mereka kedekut untuk membeli buku atau peralatan sekolah anak.

Sebenarnya mercun atau bunga api tidak boleh dijual begitu sahaja, mereka yang terlibat perlu mendapat kebenaran polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Gagal mematuhinya bermakna mereka boleh dipenjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sudah ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap mereka yang melanggar peraturan itu dan diheret ke mahkamah.

Pada 7 Mac lalu misalnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas mercun, bunga api tanpa permit yang bernilai RM32 juta dalam satu serbuan di Kapar, Klang.

Malah banyak rampasan dalam jumlah lebih kecil dilakukan di sempadan negara khususnya di utara tanah air dan Kelantan.

Kejayaan rampasan itu menunjukkan industri mercun haram sebenarnya sangat besar nilainya dan membawa untung lumayan kerana permintaannya yang tinggi sepanjang masa.

Lagipun orang kita memang sering melanggar peraturan dan tidak peduli dengan bunyi letupan yang mengganggu jiran tanpa mengira masa. – UTUSAN

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya