Penguat kuasa DBKL dilatih untuk tidak berperikemanusiaan?

Penguat kuasa DBKL dilatih untuk tidak berperikemanusiaan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETERLALUAN dan mencemarkan semangat Ramadan. Itu kesimpulan dibuat oleh ramai pihak terhadap tindakan anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengasari peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Tiada siapa nafikan individu yang jual belon itu tidak ada lesen dan permit. Telah melakukan kesalahan. Tetapi tidak bolehkah jika ditegur dan diberikan amaran? Kenapa perlu bertindak kasar? Adakah bertindak kasar dengan penjaja kecil tetapi berlembut dengan peniaga-peniaga besar termasuk warga asing adalah prosedur operasi standard (SOP) rejim DBKL di bawah pentadbiran sekarang?

Sebabnya, sudah menjadi rahsia yang terbuka bahawa bandar raya Kuala Lumpur bersepah dengan peniaga haram tanpa lesen termasuk warga asing yang bebas berniaga tanpa dikenakan apa-apa tindakan.

Begitu juga dengan premis-premis yang melakukan sambungan haram, meletakkan kerusi meja di kaki lima dan laluan pejalan kaki, menjadikan tempat letak kereta sebagai sebahagian premis mereka memang bersepah di Kuala Lumpur.

Kalau mahu didedahkan, hari-hari akan jadi bahan berita tentang peniaga dan premis haram ini. Kalau DBKL boleh bertolak ansur dengan puak-puak ini kenapa pula mahu melepaskan geram kepada peniaga belon yang mundar-mandir sana sini tanpa mengganggu sesiapa?

Ini bukan kejadian pertama yang membabitkan tindakan kejam oleh pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) ini. Sebelum ini di Port Dickson membabitkan peniaga petai yang mencari rezeki untuk membiayai kos pembedahan isterinya.

Sebelum ini juga tular insiden di Dataran Merdeka membabitkan penguat kuasa DBKL dengan penjual air mineral. Ini semua adalah peniaga kecil-kecilan yang mahu mencari rezeki di ibu kota.

Modal mereka tidak besar. Hanya ratusan atau mungkin puluhan ringgit sahaja. Kalau penguat kuasa DBKL bertindak merampas atau merosakkan barang perniagaan mereka, apa jadi dengan modal mereka? Perlukah bertindak kejam seperti itu? Perlukah penjual belon itu dilayan seperti penjenayah? Apakah semua anggota penguat kuasa kita terutama DBKL dilatih supaya tidak ada rasa perikemanusiaan?

Apakah tindakan anggota penguat kuasa DBKL membuli dan membelasah peniaga terbabit hingga terbaring atas jalan raya, menjadi tontonan ramai dan barang jualannya rosak sah di sisi undang-undang? Apa kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur apabila menonton video tersebut? Adakah mereka turut merestui tindakan tidak berperikemanusiaan itu?

Orang ramai kecewa kerana DBKL hanya berani bertindak kasar dengan peniaga kecil. Sedangkan yang melanggar peraturan dan undang-undang PBT bersepah-sepah. Berlaku di depan mata dan di bawah batang hidung para penguat kuasa itu sendiri. Seperti yang dikatakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim, kekasaran itu tidak wajar, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri.

Beberapa tokoh korporat Melayu pula menuntut supaya Menteri dan Datuk Bandar tampil memohon maaf secara terbuka ekoran insiden itu. Baru dua tiga hari lepas Perdana Menteri turun menenangkan situasi ‘panas’ di ibu negara, tetapi kini muncul satu lagi isu panas yang dicetuskan oleh anggota DBKL.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya