Pemimpin muda dan dinamika negara

Pemimpin muda dan dinamika negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUN Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia Keempat pada usia 56 tahun. Selama 22 pentadbirannya pelbagai idea baharu diperkenalkan dan transformasi dilakukan bagi merubah wajah Malaysia hingga dihormati di peringkat antarabangsa.

Tulisan ini bukan bertujuan mahu promosi Dr. Mahathir untuk menjadi perdana menteri buat kali ketiga, tetapi untuk berkongsi pendapat bahawa pemimpin muda yang dinamik, kreatif dan berani perlu untuk memacu negara ke peringkat seterusnya.

Begitu juga dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra yang menjadi Perdana Menteri pada usia 54 tahun, Tun Abdul Razak di usia 48 tahun dan Tun Hussein Onn berumur 54 tahun.

Secara relatifnya dinamika negara cukup progresif ketika di bawah para perdana menteri yang berusia 50-an ini.

Tunku Abdul Rahman mempelopori usaha memerdekakan negara, Tun Abdul Razak merancang pembangunan bagi membasmi kemiskinan termasuk mewujudkan Felda, Tun Hussein mengukuhkan perpaduan, dan Dr. Mahathir melakukan transformasi hingga Malaysia hampir menjadi negara maju.

Siapa yang memimpin Malaysia selepas PRU15 tidak boleh membawa negara undur ke belakang. Kekuatan ekonomi negara perlu dikembalikan. Persona Malaysia di peringkat antarabangsa perlu diangkat semula supaya di segani sekurang-kurangnya dalam kalangan negara dunia ketiga dan negara-negara membangun.

Dahulu Malaysia adalah juara kepada kelompok ini. Untuk menjadi juara kepada orang lain kita sendiri kena kuat. Kuat daripada segi ekonomi, pembangunan, politik dan pendirian.

Untuk itu ada yang merasakan hanya pemimpin muda sahaja yang mampu mengembalikan Malaysia menjadi Harimau Asia yang dihormati. Lebih-lebih dalam era digital sekarang yang memerlukan pemikiran dan tindakan serba pantas jika tidak mahu ketinggalan.

Dengan revolusi teknologi 4.0, internet of thing (IOT), augmented reality, kecerdikan buatan dan sebagainya, individu yang mahu memimpin Malaysia pasca PRU15 perlu tangkas dalam serba serbi terutama dalam mencari idea baharu supaya ekonomi negara tidak terperangkap dalam gelembung lama.

Kelmarin, PKR mengumumkan senarai calon mereka yang akan bertanding pada PRU15. Majoriti berumur sekitar 40-an. Selain itu ramai juga berusia 30-an dan dua orang berumur lingkungan 20-an. Walaupun ada dua tiga orang berusia lebih 60 tahun dan 70 tahun, diharapkan parti-parti lain akan tampil dengan dinamika yang sama iaitu menampilkan calon-calon muda sebagai pelapis kepada kepemimpinan negara pada masa depan.

Memetik kata-kata pakar strategi, Desiree Peterkin Bell, dalam fikiran orang muda sekarang apa yang mereka ingat adalah negara yang berpecah-belah. Untuk itu mereka sendiri perlu berada dalam keadaan sukar dan tidak selesa jika mahu melakukan perubahan.

Oleh itu kehadiran mereka dalam politik, mengetuai kementerian atau kerajaan pasti akan memberi idea melakukan perubahan yang akan memberi manfaat kepada negara untuk jangka panjang. – UTUSAN

  • Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya