Peka, buka mata geopolitik membadai - Utusan Malaysia

Peka, buka mata geopolitik membadai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sini Malaysia waktu ini tak pernah kita dengar dentuman bom perang.

Yang merasa itu ayah ibu tok nenek kita dulu semasa zaman keganasan komunis 1960an dan awal 70an. Seingat kita di era moden ini hanyalah insiden pencerobohan Lahad Datu 2013.

Malah tidak kedengaran di sini ada mati dibunuh setiap hari, setiap bulan macam di Mexico dan satu dua negara di rantau ini. Cuma kalau kemalangan jalan raya dan satu dua tragedi besar terpencil itu ada lah ramai terkorban.

Tapi pasal bedilan bom perang, langsung tidak ada.
Ada ketika bila diasak untuk berfikir ‘apa sudah jadi de­ngan dunia ini’, barulah kita sedar betapa besarnya nikmat keamanan yang dikecapi di Malaysia ini. Lantas segera diambil iktibar, teladan dari isu-isu geopolitik yang terus membadai tanpa perikemanusiaan – seperti di Gaza dan Ukraine.

Usah lagi kita berpeluk tubuh, malas berfikir isu-isu geopolitik yang berlaku di seluruh dunia hari ini. Paling hampir dengan kita selain Gaza, pastinya isu tuntutan bertindih dan pertembungan China-Amerika di Laut China Selatan.

Itu tidak jauh dari perairan Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Sering kita cuak juga, tidak pasti sama ada orang politik kita faham pasal geopolitik. Leka bermain politik bawah tempurung.

Alih-alih China umumkan peta sempadannya yang terbaharu. Edisi 2023 lagi, yang kali ini meletakkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Sabah dan Sarawak jajahan takluknya.

Tindak tanduk kuasa besar itu tidak menghairankan kerana selama ini kita sering didendangkan pencerobohan ruang udara di ZEE dan perairan Laut China Selatan.

Malah kalau imbau sejarah, Tanah Melayu pernah kehilangan wilayahnya yang lebih kecil dari Perlis pada 1960an. Disusuli kemudian pulau sebesar separuh padang bola dekat Negeri Di Ujung Tanah. Namun mujurlah Sipadan dan Ligitan haknya kepada kita.

Hakikatnya terlalu banyak hal dan perkara sejarah di Sabah dan Sarawak misalnya yang masih kabur dan tidak sampai paras muktamad. Kawasan-kawasan ini yang dilakukan peme­taannya oleh Inggeris banyak yang dipertikai kerana tiadanya terdapat batu sempadan.

Itu belum lagi masuk bicara cukup rumit babitkan pemilikan lebih 700 terumbu, beting dan rabung yang sudah ‘ditandakan’ banyak negara di perairan luas Laut China Selatan. Kawasan geopolitik Nusantara di Asia Tenggara sahaja melibatkan penduduk seramai 618 juta dengan keluasan 11 negara 4.5 juta kilometer persegi.

Masalah kita hari ini sebahagian pemimpin politik, baik di negeri dan pekan-pekan serta kampung, mereka kurang pendedahan isu-isu dan topik geopolitik ini.

Sebab itu kita risau jika sebilangan orang kita masih percaya kepada pemimpin yang ‘si kaki temberang, beretorik sepanjang masa serta berpencak silat dengan metafora dan lawak jenakanya’ apabila bercakap isu-isu semasa. Kita boleh tepuk dahi, sudah tahu ke mana hala tuju yang mahu dibawa­nya untuk kebaikan negeri. Apa nak jadi, tak boleh jadi.

Perlu kita semua, lagi-lagilah yang memiliki kuasa untuk senantiasa memaklumi, berwaspada dan bertindak cepat ke atas isu-isu geopolitik semasa. Dengan nikmat keharmonian dan kestabilan dikecapi rakyat, jangan kita sesekali alpa.

Dan moga tidak diulangi lagi ingatan dikongsi Nurul Ain Haron yang masih terkandas di Gaza :
“Jangan call (saya) sebab nak dengar bunyi bom.”

 

Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya