lebih untung

‘Niaga’ manusia lebih untung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKITAR 1964, insan seni tersohor negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee hadir dengan karya yang cukup menghiburkan tetapi sarat dengan mesej tersendiri, Tiga Abdul.

Berlatarkan kisah tiga adik-beradik, Abdul Wahab, Abdul Wahib dan Abdul Wahub, namun antara skrip paling diingati dalam filem berdurasi hampir dua jam itu pastinya apa yang dituturkan oleh saudagar Hussain Lempoyang: “Berniaga manusia lagi bagus daripada unta”.

Biarpun muncul untuk beberapa detik, ‘fenomena’ yang dituturkan Hussain Lempoyang melibatkan ‘perniagaan manusia’ itu seolah-olah melangkaui hampir ke setiap zaman.

Selepas hampir 60 tahun berlalu (1964-2022), munculnya istilah-istilah pemerdagangan dan penyeludupan manusia, ramai yang menjadi ‘kaya’ hanya kerana ‘manusia’.

Memetik laporan muka depan akhbar ini bertajuk ‘Ejen kaut untung’ semalam, demikianlah realiti apa yang diperkatakan oleh Hussain Lempoyang.

Menurut sumber, ejen warga asing seolah-olah memperdagangkan tenaga kerja asing, khususnya dari Indonesia, sehingga meraih RM3,000 seorang.

Bayangkan jika ada 10 orang? 100 orang? Atau 1,000 orang? Bukankah benar ‘niaga manusia itu lebih menguntungkan’?

Biarpun mereka ini ejen yang berdaftar dengan kerajaan negara sumber, di peringkat Malaysia, perlu juga ‘disiasat’ kelayakan mereka ini secara keseluruhan, termasuk ejen yang menguruskan kemasukan pekerja asing ini, di sini.

Persoalan yang perlu dijawab dan ditegaskan, wajarkah majikan yang dibebankan dengan pembayaran kos-kos kemasukan itu berbanding sebelum ini ditanggung sepenuhnya oleh pekerja?

Rasanya tidak wajar sehinggakan soal pasport, tiket kapal terbang dan insurans, semuanya atas beban majikan.

Bertambah pelik apabila harga yang perlu dibayar oleh majikan itu tidak sama ditawarkan oleh ejen berdaftar. Sumber memberitahu, kosnya sekitar RM2,800 hingga mencecah RM4,000 yang perlu dibayar majikan untuk seorang pekerja asing.

Atas alasan apa kos-kos ini tidak diselaraskan? Secara pemahamannya, ini membuka ruang untuk ejen ‘buat duit’ dan mereka seakan-akan ‘bos’ kepada semua pihak sehingga menjadi penentu harga kos tersebut.

Isu kemasukan pekerja asing ini perlu diselesaikan segera. Negara ini memang memerlukan tenaga kerja asing. Namun, dalam keriuhan menyelesaikan isu berkenaan, jangan pula ada yang cuba ‘menangguk di air keruh’.

Masalahnya, di mana sahaja ada masalah, di situlah ramai yang cuba mengambil kesempatan. – UTUSAN

  • Metra Syahril Mohamed ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia