Nak penyakit atau nak raya? - Utusan Malaysia

Nak penyakit atau nak raya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di Indonesia sepasang suami isteri bersama dua anak kecil mereka sanggup berjalan kaki dari Jakarta ke Bandung semata-mata untuk pulang ke kampung. Perjalanan mereka dikatakan melangkaui jarak hampir 300 kilometer dan dijadualkan tiba di kampung halaman si suami pada hari raya kedua.

Realitinya, pasangan itu bukan pulang berhari raya semata-mata, tetapi si suami sudah tidak mempunyai apa-apa di Jakarta kerana kontrak kerja sudah tamat dan disebabkan hanya ada kira-kira RM50 dalam poket mereka memutuskan untuk berjalan kaki.

Di Malaysia pun ramai juga yang mencari akal untuk pulang menyambut hari raya di kampung ekoran kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri. Ramai yang mengeluh dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang bermaksud tahun ini merupakan tahun kedua umat Islam meraikan Aidilfitri dalam suasana pandemik Covid-19.

Di sebalik segala tindakan yang boleh menjejaskan kesihatan orang lain dan rungutan elok tanya diri sendiri, dalam keadaan sekarang ini yang mana kes positif harian kembali hampir mencecah angka 5,000 apa pilihan yang kita ada? Di musim perayaan ini apakah kaedah terbaik untuk mengawal penularan pandemik yang membawa maut ini?

Mengawal pergerakan sama ada rentas negeri, rentas daerah mahupun rentas kampung antara yang berkesan untuk memutuskan rantaian penularan.

Memang kerajaan ada puluhan kaedah lain lagi untuk mengawal penularan ini termasuk suntikan vaksin, namun kita sendiri sebagai rakyat kena akur dan kena memainkan peranan supaya virus di Kuala Lumpur tidak dibawa pulang ke Baling di Kedah. Virus yang sedang menggila di Kelantan tidak tersebar ke negeri-negeri lain.

Semalam ada laporan berita terdapat kira-kira 40 individu bergejala jangkitan Covid-19 enggan menjalani tempoh kuarantin di tujuh Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kelantan. Alasan yang diberikan sudah terlalu dekat dengan hari raya. Kalau mereka dikuarantin sudah tentu mereka tidak dapat menyambut hari raya.

Kumpulan ini boleh disifatkan sebagai kumpulan berani mati kerana memilih untuk menyambut raya daripada menyelamatkan nyawa. Masalahnya, jika mereka tak dikuarantin sudah tentu virus yang ada pada mereka itu akan menjangkiti ahli keluarga, sanak-saudara dan jiran tetangga.

Ada yang menuduh kerajaan tidak cekap dan membuat keputusan flip-flop, tetapi itu isu lain. Isu yang paling penting sekarang marilah kita sama-sama mematuhi SOP Aidilfitri yang telah ditetapkan.

Berbanding tahun lalu, tahun ini kita dapat solat fardu berjemaah di masjid dan menunaikan solat sunat Tarawih secara penuh tanpa halangan.

Insya-Allah solat sunat Aidilfitri juga boleh ditunaikan di masjid-masjid dan surau jika kita patuh SOP. Untuk Aidilfitri kali ini, sambut sekadar yang ada dahulu. Pandemik ini tidak mengenal mangsa. Mana satu kita mahu? Mahu sambut raya atau mahu penyakit?

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia
dan Mingguan Malaysia