Naikkan harga setiap tahun?

Naikkan harga setiap tahun?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memberi amaran akan bertindak terhadap persatuan perniagaan yang mengumumkan jangkaan kenaikan harga secara terbuka.

Tindakan itu bukan sahaja dianggap mempromosi amalan kartel tetapi cubaan untuk mengaburi mata pengguna sedangkan keputusan untuk menaikkan harga sebenarnya sudahpun dimuktamadkan.

Pada Disember tahun lalu, MyCC mengenakan penalti berjumlah RM415.5 juta di bawah Seksyen 4 Akta Persai­ngan 2010 terhadap lima syarikat pengeluar makanan ayam kerana pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.

Dalam kes berkenaan, siasatan MyCC mendapati terdapat bukti kenaikan kuantum harga makanan ayam yang serupa antara perusahaan-perusahaan terbabit di antara Januari 2020 hingga Jun 2022.

Perusahaan itu dikesan menggunakan strategi sama dengan menyatakan kenaikan harga makanan ayam itu disebabkan peningkatan per­belanjaan bahan mentah.

Nampak semacam semua pemain industri itu terkesan akibat peningkatan harga bahan mentah sedangkan sebenarnya mereka berpakat untuk menaikkan harga.

Situasi sama kini berlaku lagi, seolah-olah menjadi satu tradisi untuk mengumumkan jangkaan kenaikan harga setiap menjelang tahun baharu. Kali ini ia melibatkan lebih banyak sektor, antaranya insurans kesihatan, perkhidmatan bas sekolah, kantin sekolah dan taman asuhan kanak-kanak.

Semuanya ada alasan tersendiri. Mungkin dalam beberapa hari lagi, akan ada persatuan perniagaan lain untuk membuat pengumuman sama jika MyCC tidak mengeluarkan amaran kelmarin.

Namun, apakah amaran MyCC itu bermakna pemain industri hanya perlu menaikkan sahaja harga tanpa perlu membuat pengumuman.

Rasanya banyak yang buat begitu. Malah, ada yang kononnya mengekalkan harga tetapi sebenarnya berat atau isi padu dikurangkan.

Taktik ini banyak berlaku dalam industri makanan dan bahan yang dijual dalam bungkusan. Saiz bungkusan masih sama tetapi isinya dikurangkan. Dulu satu kilogram, kini sekitar 800 gram sahaja, harga masih sama.

Ramai pengguna yang tidak perasan.

Bagi pihak kerajaan pula, tentu sukar untuk mengawalnya terutama apabila ia membabitkan barangan atau perkhidmatan yang di luar harga kawalan. Bagi pihak pengguna, aduan memang boleh dibuat tetapi tidak semua berakhir dengan apa yang mereka harapkan.

Akhirnya, pengguna hanya boleh merungut.

Perlu ada kaedah untuk atasi masalah ini. Seiring perkembangan ekonomi, peningkatan harga perkhidmatan dan barangan memang tidak boleh dielakkan tetapi perlu ditangani dengan cermat. Ibarat menarik rambut dalam tepung.

Di pihak pengguna, boikot terbukti boleh menjejaskan peniaga tetapi tidak semua perkara boleh diboikot.

Masalah ini biasanya berpunca apabila tiada kenaikan selama beberapa tahun. Pengguna pun sudah terbiasa. Apabila pengguna terpaksa mengubah gaya perbelanjaan mereka kerana berlaku kenaikan harga, mereka tentu akan ‘bising’.

Sebagai contoh, tambang pengangkutan awam. Katakanlah selepas 10 tahun, kenaikan 10 peratus mungkin dilihat tinggi. Tetapi jika dinaikkan satu peratus setahun, kenaikan mungkin tidak terasa.

Kenaikan kecil secara berperingkat wajar dilihat sebagai alternatif supaya tidak berlaku kejutan. – UTUSAN

Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya