MyBayar Saman lemah tetapi isunya... - Utusan Malaysia

MyBayar Saman lemah tetapi isunya…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minda pengarang nizamTerima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang Ahad lalu mengumumkan pelanjutan tempoh pembayaran saman trafik dengan diskaun 80 peratus sehingga 31 Disember ini.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan hampir semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang menerima pembayaran tersebut sebelum ini tiba-tiba lengang kelmarin, berbeza dengan barisan panjang orang ramai yang beratur di balai-balai polis untuk melunaskan saman tertunggak.

Di sebalik sambutan menggalakkan pesalah trafik di kaunter-kaunter pembayaran saman di seluruh negara, wujud juga kebimbangan terhadap risiko penularan Covid-19 yang masih mengganas.

Itu sebab utama PDRM melanjutkan pembayaran saman tersebut. Walaupun boleh dibayar secara dalam talian, ramai yang memilih untuk datang sendiri ke IPD, IPK terutama yang gagal memasuki portal MyBayar Saman yang mengalami masalah kesesakan teruk.

Bukan setahun malah ada yang sudah hampir sedekad tidak menjelaskan saman trafik yang dikenakan kepada mereka malah ada yang sudah mengumpul sehingga 40 saman.

Pemberian diskaun saman 80 peratus itu merupakan kali pertama ditawarkan PDRM kepada pesalah trafik dan antara inisiatif menarik bersempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia sejak Khamis lalu dan berakhir Ahad lalu.

Diskaun itu memang berbaloi terutama bagi pesalah yang mempunyai jumlah saman trafik yang banyak. Malah tawaran diskaun PDRM itu juga memberi hasil tambahan sebanyak RM109 juta kepada kerajaan dalam tempoh empat hari sahaja iaitu sejak Khamis lalu apabila 2.3 juta saman trafik diselesaikan di seluruh negara.

Lupakan seketika soal sikap rakyat negara ini yang suka bertindak saat-saat akhir apabila diminta berbuat sesuatu seperti pembayaran saman trafik dengan diskaun 80 peratus itu dan kegagalan MyBayar Saman berfungsi dengan berkesan.

Sepatutnya yang menjadi perhatian ialah jumlah pesalah trafik yang terlalu ramai. Peraturan lalu lintas dibuat ada sebabnya dan salah satu rasionalnya adalah bagi mengelak kemalangan.
Kalau berjuta pengguna kenderaan sama ada sengaja atau tanpa sedar melanggar peraturan lalu lintas, apakah maknanya pandu cermat jiwa selamat.?

 

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya