Laut China Selatan senasib Batu Puteh? - Utusan Malaysia

Laut China Selatan senasib Batu Puteh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH saya dikhabarkan, kapal-kapal laut milik negara seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang beroperasi di Laut China Selatan hanya bersaiz 50 hingga 60 meter panjang. Beza sangat berbanding kapal-kapal pengawal pantai dari China yang panjang dan lebarnya antara 150 hingga 300 meter.

Nelayan-nelayan kita termasuk dari Miri pula terus takut-takut untuk mendekati Beting Patinggi Ali, milik negara, yang kedudukannya 2,000 kilometer dari tanah besar China.

Senario di Laut China Selatan waktu ini bergelora. Menjadi medan catur kuasa-kuasa besar dunia.
Baru-baru ini sejumlah kapal Pengawal Pantai China menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia.

Dua kapalnya dengan bertindak biadab memasuki kawasan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti. Penerbangan mencurigakan 16 pesawat tentera China turut dikesan Jun lalu memasuki EEZ Kota Kinabalu.

Terdapat beratus-ratus terumbu di Laut China Selatan. Tuntutan Malaysia di situ dipercayai melibatkan kira-kira 11 kawasan maritim atau 20 terumbu. Namun kebanyakan gugusan dan terumbu utama, antaranya terumbu layang-layang, Beting Patinggi Ali dan terumbu layar sudah pun diduduki negara.

Laut China Selatan menjadi laluan kapal-kapal dagang membawa muatan bernilai lebih AS$5 trilion setahun selain kaya dengan sumber marin, minyak, gas dan pelbagai galian lain.

Tindak tanduk provokatif daripada nelayan China yang diiringi kapal-kapal pengawal pantai mereka kerap dilaporkan berdekatan Beting Patinggi Ali – 84 batu nautika dari Sarawak. Sejak 2014, kapal-kapal milik China telah menghampiri dan berlabuh di situ. Kapal-kapal ini dikatakan mampu melakukan kegiatan penyelidikan bawah permukaan. Adakah ini satu kelebihan taktikal kepada armada kapal selam China?

Lautan ini kaya segala jenis ikan termasuklah ikan tuna bernilai tinggi. Tanpa peralatan dan kapal yang canggih, nelayan kita sukar bersaing.

Hal ini tidak boleh berterusan. Kalau tidak, lama kelamaan hasil laut negara susut.
Demikian juga carigali dan pengeluaran gas dan petroleum yang bertumpu di lautan ini. Malaysia adalah pengeluar minyak dan gas asli (O&G) kedua terbesar di Asia Tenggara dan pengeksport cecair gas asli (LNG) ketiga terbesar di dunia – dengan majoriti sumber alam ini datang dari Laut China Selatan.

Ketika ini aktiviti pengeluaran petroleum termasuk kajian seismik dibuat 100 batu nautika dari pantai. Kalau sumber ini kehabisan, aktiviti ini terpaksa diperluaskan ke 50 atau 100 batu nautika lagi. Tetapi kalau kawasan yang mahu diterokai Petronas milik negara tertentu, bagaimana?

Kerana itu menteri kita perlu cekap, strategis dalam menangani isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
Pada 2008, kita hilang hak Pulau Batu Puteh kepada Singapura menerusi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Semakan dan pentafsiran penghakiman kes kedaulatannya pun ditarik balik oleh Kuala Lumpur beberapa hari sebelum bicara kes di ICJ, 11 Jun 2018. Jangan sampai kita tenggelam di Laut China Selatan.

 

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya