Landskap politik negara berubah lagi? - Utusan Malaysia

Landskap politik negara berubah lagi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EMALAM dan hari ini seluruh perhatian tertumpu ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di mana berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU), yang sebahagian besar isinya berkaitan kerjasama UMNO dengan Pas dan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malah kehangatan majlis pernikahan pengacara popular, Neelofa dengan jejaka pilihannya Haris Ismail semalam tidak mampu mengetepikan bahang di WTCKL kerana ia membabitkan landskap politik negara.

Nampak seperti sudah tidak ada taring, namun sengat UMNO masih ada. Jika dilihat kepada rekod Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), UMNO masih dominan dalam politik negara. Selepas berlaku beberapa siri lompatan pun, parti itu masih mempunyai 37 wakil di Parlimen dan sokongan mereka memastikan Perikatan Nasional (PN) kekal berkuasa.

Sebab itu PAU kali menjadi tumpuan kerana para perwakilan bakal memutuskan mandat sama ada akan terus bekerjasama dengan Bersatu dan Pas atau UMNO akan bersendirian mengharungi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Jika mereka memilih untuk kekal bekerjasama dengan Bersatu sudah pasti kerajaan PN akan turut kekal. Tetapi jika sebaliknya, landskap politik negara akan turut menjadi tanda tanya. Walaupun mereka memberi jaminan akan terus menyokong PN hingga habis penggal, tetapi jika sudah diisytihar tiada kerjasama pelbagai kemungkinan boleh berlaku.

Jika dilihat kepada suara-suara yang dibangkitkan semasa perhimpunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri semalam, penolakan kerjasama dengan Bersatu cukup jelas. Tapi suara-suara tersebut belum muktamad. Semuanya bergantung kepada keputusan PAU hari ini. Adakah kumpulan yang menentang kerjasama dengan Bersatu akan berjaya mempengaruhi parti atau kumpulan yang menyokong akan menang?

Yang pasti ketetapan perlu dibuat berhubung kerjasama kedua-dua parti itu. Keputusan itu turut membabitkan hubungannya dengan Pas kerana sehingga kini parti Islam itu tetap berpendirian untuk kekal bersama Bersatu dalam PN walaupun di satu pihak lagi tidak mahu meneruskan pertalian dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Persoalan lain yang timbul ialah, jika benarlah UMNO muktamad menamatkan hubungan mereka dengan Bersatu, adakah ini bermakna ia akan membuka pula pakatan baharu UMNO-PKR-DAP-Amanah? Mungkin ini yang dimaksudkan jajaran baharu oleh Datuk Seri Mohamad Hasan? Kebetulan akhir-akhir ini parti-parti dalam Pakatan Harapan seolah-olah memberi lampu hijau kepada kemungkinan UMNO berada di kem mereka.

Semua persoalan ini hanya akan terjawab apabila tamatnya PAU hari ini. Sama ada UMNO akan mengikut apa yang dimahukan oleh akar umbi atau para pemimpinnya memiliki agenda lain yang lebih besar bakal ditentukan hari ini.

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya