KWSP: Biar kami urus sendiri duit kami - Utusan Malaysia

KWSP: Biar kami urus sendiri duit kami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cadangan KWSP mahu pencarumnya yang genap usia 55 tahun hanya boleh mengeluarkan duit caruman secara bulanan atau berkala sangat menggusarkan.

Lebih tidak keruan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula memaklumkan kerajaan tidak membantah dengan cadangan tersebut.

Walaupun, CEO KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan perkara itu masih dalam peringkat penelitian dan hanya membabitkan pencarum baharu namun ideal tersebut sangat menakutkan.

Ketika ini, KWSP mempunyai 15. 3 juta ahli dengan dikatakan hanya 30 peratus daripada 8.7 juta pencarum aktif mencapai sasaran simpanan asas mengikut umur sebanyak RM240,000.

Ketika tempoh pandemik Covid-19, caruman KWSP terbukti menjadi ‘pil penahan sakit’ kepada pencarum yang terdesak selepas hilang pekerjaan, tidak boleh berniaga atau majikan memotong gaji menerusi beberapa skim pengeluaran.

Sehingga kini, isu pengeluaran caruman KWSP terus popular dan sebelum ini menjadi modal politik sangat laku untuk mencari sokongan mahupun pengaruh. Namun kempen pengeluaran KWSP `patah’ apabila Perdana Menteri berkeras tidak akan lagi membenarkan pengeluaran wang simpanan hari tua itu.

Kini isu KWSP seperti memasuki fasa baharu apabila banyak yang sedang mengkritik cadangan KWSP untuk menukar kaedah pengeluaran ala-ala pencen.

Selama ini, semua pencarum yang mencapai umur 55 tahun diberi hak buat pilihan cara mengeluarkan caruman iaitu sama ada mengeluarkan semua sekali gus, bulanan atau bila memerlukan. Dalam tempoh mengguna pakai mekanisme tersebut, tidak pernah timbul isu besar berkaitan pencarum yang bersara hidup atas duit sendiri dan bukan sumbangan kerajaan atau pihak-pihak lain.

Oleh itu, ideal baharu KWSP membuat ramai kalut, kalut kerana khuatir jika pelaksanaan turut membabitkan mereka yang menahan sabar hari genap 55 tahun.

Kalangan tersebut berpandangan, cukup-cukup kerajaan mahupun KWSP mengatur dana pesaraan pencarum, duit tersebut duit titik peluh pencarum. Pada usia 55 tahun sebegitu, pencarum cukup matang dan wajar diberi ruang untuk menikmati dengan cara tersendiri duit terkumpul tersebut.

Sangat tidak masuk akal apabila pencarum yang ‘menghampiri ‘hujung hayat’ masih memerlukan pihak lain mengajar cara-cara guna duit.

Kerajaan dan KWSP tidak boleh mempelekeh kemampuan pencarum bersara kerana mereka mungkin lebih pandai untuk melipat ganda wang berbanding menunggu dividen setahun sekali bawah 6 peratus. Jika kerajaan berkeras dan mengubah cara pengeluaran KWSP, nescaya lebih ramai tidak mahu mencarum kerana akhirnya duit tersebut bagai `dikawal’ kerajaan.

Sejak timbul ideal baharu KWSP, ramai netizen sedang menimbulkan persepsi negatif antaranya mendakwa kewangan negara semakin teruk dan ideal itu untuk membolehkan dana pencarum terus diguna kerajaan yang pendapatannya semakin susut.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya