ahli politik

Kenali lebih dekat amfibia bernama katak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATAK adalah haiwan yang sangat unik. Ada mengatakan katak telah wujud 140 juta tahun dahulu. Ini bermakna katak telah berjaya mengharungi pelbagai peringkat perubahan bumi.

Manusia sendiri dikatakan berjalan di bumi kira-kira enam juta tahun dahulu. Jadi, katak jauh lebih awal daripada manusia.

Sehingga September tahun lalu terdapat 7,401 spesies katak mengikut AmphibiaWeb. Kira-kira 10 tahun lalu, jumlah spesies katak mengikut sesetengah laporan dianggarkan kira-kira 5,000 jenis.

Penemuan spesies baharu di pedalaman Asia dan Amerika Selatan meningkatkan jenis katak.

Malah ada menyenaraikan 8,226 spesies katak, 43 peratus lebih tinggi berbanding 15 tahun lalu. Jadi, memang katak terus meningkat berbanding haiwan lain yang semakin pupus seperti badak Sumatera.

Katak sering dikaitkan dengan ahli politik di Malaysia. Ini kerana katak mampu melompat dan mencapai jarak 10 kali ganda lebih jauh berbanding panjang badannya. Malah ada katak mampu melompat sehingga 20 kali ganda berbanding panjang badannya.

Jika manusia ada keupayaan seperti katak, kita mampu melompat dan mencapai ketinggian 30 meter. Mungkin jika katak mahu belajar melompat lebih jauh, Malaysia adalah habitat terbaik. Selain keupayaan melompat, katak juga mempunyai banyak lagi ciri yang sangat unik.

Tahukah anda katak tidak menutup matanya walaupun ketika tidur. Jadi, matanya terus terbuka seperti sesetengah ahli politik yang tidak menutup mata mencari peluang atau mengejar pangkat.

Katak sebagai haiwan amfibia berdarah sejuk serta boleh hidup di dua alam – darat dan air. Katak lahir di air dan membesar dan hidup di darat. Sama seperti ahli politik yang boleh hidup dalam parti mana pun. Dalam parti sendiri pun mereka boleh hidup di ‘air’ sekejap dan di ‘darat’ sekejap.

Ada beberapa spesies katak mempunyai kulit bertoksid terutama katak yang berasal di Amerika Selatan. Menurut banyak laporan, ciri katak berbisa ialah yang berkulit ‘terang’. Racunnya mampu membunuh manusia. Jadi kita dinasihatkan menjauhi katak berkulit terang.

Tetapi lebih sukar mengesan katak yang menggunakan kulitnya berwarna hijau dan kelabu sebagai penyamaran. Katak ini lebih bahaya berbanding katak beracun yang berkulit terang.

Satu lagi fakta yang cukup menarik mengenai saiz katak. Katak Goliath berukuran 30 sentimeter dikatakan mampu mencapai berat sebanyak tiga kilogram (kg).

Ada katak jenis Devil yang berasal dari Madagascar tetapi sudah pupus kini, memegang rekod katak terbesar sehingga mencapai berat sebanyak 4.5 kg menurut National Geographic.

Tanpa perlu tamak kuasa dan cukup memakan serangga, katak Devil mencapai berat sebesar itu.

Dengan lidah bergerak sepantas 150 mili saat atau jumlah masa mata manusia berkedip, katak dapat menangkap mangsanya dengan mudah. Lidah yang bergam tidak memberi peluang langsung kepada mangsanya seperti lidah manusia walaupun tidak sepantas atau sepanjang lidah katak.

Rupanya terlalu banyak persamaan antara katak dan ahli politik Malaysia. Tetapi satu mitos yang memburukkan nama baik katak adalah air kencingnya boleh membutakan mata manusia. Itu adalah palsu seperti juga sesetengah pemimpin di kalangan kita. – UTUSAN

* Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya