Johor ibu segala Pilihan Raya Negeri - Utusan Malaysia

Johor ibu segala Pilihan Raya Negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTEMPURAN sekurang-kurangnya 12 parti politik sama ada secara gabungan atau solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah semakin hampir susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tarikh 12 Mac ini.

Selaku PRN ke-4 selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14), PRN Johor bukan biasa-biasa. Banyak parti politik yang pertama kali bertanding mengesahkan akan menampilkan calon masing-masing.

Jika PRN Melaka dianggap cerminan kepada PRU-15, tidak keterlaluan untuk digambarkan keputusan PRN Johor kelak sebagai refleksi kepada pasca PRU-15.

Apatah lagi PRN Johor berkemungkinan pilihan raya berasingan terakhir sebelum PRU-15. Maka sebab itu banyak parti politik tidak mahu terlepas menguji kekuatan masing-masing.

PRN Johor juga paling mencabar selepas Sabah, Melaka dan Sarawak kerana belum pun SPR bermesyuarat, suasana sejak hari pertama Dewan Undangan Negeri bubar seakan sudah memasuki musim berkempen.

Ceramah, episod keluar parti dan pengumuman calon bertanding yang lebih awal antara menghiasi drama PRN Johor. Disamping itu Undi-18 yang pertama kali membenarkan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengundi.

Bagi UMNO-Barisan Nasional, PRN Johor amat signifikan untuk dimenangi kerana seperti diketahui lahirnya UMNO adalah di tangga Istana Besar Johor. Maka sewajib mungkin perlu menang selepas pertama kali terlepas ke tangan pembangkang pada PRU-14.

Malah, Bersatu yang kini dalam Perikatan Nasional juga sudah tentu mahu kembali menjadi kerajaan negeri selepas pertama kali memiliki dua menteri besar dalam penggal sama. Malah ada yang menggambarkan Johor juga kubu Bersatu selain tempat lahirnya presiden parti.

Peluang berada bersama-sama dalam kerajaan negeri sebelum ini turut tidak mahu dilupakan Pakatan Harapan yang kini membentuk gabungan politik bersama parti Muda dalam misi merampas Johor.

Tidak terkecuali parti dari Borneo, Warisan yang berkemungkinan membariskan calon mereka bagi melebarkan sayap di Semenanjung. Apatah lagi komuniti mereka ramai juga mencari rezeki di Johor. Belum lagi melihat Pejuang yang turut mengesahkan penyertaan.

Pendek kata PRN Johor ini memang luar biasa dan boleh dianggap ibu segala pilihan raya di negeri-negeri yang pernah mengadakan pilihan raya berasingan.

Bagaimanapun, semua ternanti-nanti apakah pula prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikenakan. Ketat seperti di Melaka atau longgar sedikit macam di Sarawak itu semua menjadi tanda tanya.

Tetapi, pada pengamatan, SOP sama seperti di Melaka akan dikuatkuasakan berdasarkan tempoh kempen 14 hari di samping peningkatan mendadak kes positif Covid-19 yang kini belasan ribu kes.

  • Muhamad Aimy Ahmad ialah Koresponden Utusan Malaysia di Johor.