Jihad subsidi tidak harus hangat-hangat tahi ayam - Utusan Malaysia

Jihad subsidi tidak harus hangat-hangat tahi ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu minyak masak peket atau kekurangannya di pasaran, penipuan dan pembungkusan semula, penyeludupan berleluasa dan kerugian ratusan juta ringgit kerana ketirisan menyebabkan bahan untuk memasak mencapai tahap krisis.

Ini kerana ratusan yang terbabit dalam ekosistem terdedah kepada risiko penipuan. Puncanya mudah – ketamakan. Mana-mana peniaga walaupun bodoh sekalipun dapat melihat potensi keuntungan dengan memanipulasi minyak masak peket. Satu peket berharga RM2.50.

Jika dibungkus semula ke dalam botol lima kilogram, ia mampu dijual pada harga RM45 walaupun diletakkan logo cap Ayam. Itu sahaja menjanjikan keuntungan lebih RM30 untuk kos RM12.50

Harga minyak masak tinggi di Thailand memberi peluang meningkatkan ‘perniagaan antarabangsa’. Kejatuhan harga ringgit meningkatkan keuntungan dalam Thai Baht. Jadi berpeket-peket minyak ini sampai di selatan Thailand.

Kepada peniaga makanan dan restoran, setiap penjimatan di­terjemahkan kepada keuntungan. Jadi mereka pun berpusu-pusu mendapatkan minyak peket. Penyeludupan, ketirisan dan peni­puan pembungkusan sememangnya wujud sejak sekian lama.

Ia tidak menjadi masalah besar sebelum ini. Banyak pihak tutup sebelah mata kerana kos kepada negara adalah kecil.

Itu kerana harga minyak sawit mentah berada pada kadar RM2,000 satu tan. Ia menjadi krisis apabila harga minyak sawit mentah mencapai RM8,000 satu tan. Dalam sekelip mata, minyak paket menjadi ‘emas cair’.

Ini bermakna untuk pembungkusan semula, ketirisan atau penyeludupan bahan sama menyaksikan keuntungan melonjak hampir empat kali ganda. Ia seperti anda bangun dan datang ke pejabat dan diberitahu majikan gaji anda dinaikkan empat kali ganda untuk kerja yang sama.

Perkara sama berlaku kepada minyak kenderaan. Ia tidak menjadi isu apabila harga minyak mentah berada dalam lingkungan AS$30 hingga AS$40 setiap tong. Ia menjadi masalah apabila harganya mencecah AS$110 setong. Maka timbul isu subsidi besar. Ada ditujukan kepada kumpulan isi rumah T20.

Mengikut data Jabatan Perangkaan, kumpulan T20 adalah mereka berpendapatan melebihi RM9,619. Bancian 2020 menunjukkan ada 1.33 juta isi rumah kategori T20 berbanding 2.78 juta masing-masing bagi M40 dan B40.

Jika diambil kira berdasarkan pendapatan isi rumah ini, semua orang kaya, tokoh korporat, CEO, ketua IT, pengurus besar, pengurus kanan adalah T20. Ia juga bermakna semua menteri-menteri dan timbalan menteri atau mereka dalam kategori gred 54 hingga Jusa adalah T20.

Jika diambil kira purata pembayaran cukai pendapatan T20 sebanyak RM40,000 setahun (kecuali kakitangan awam termasuk menteri yang mana semua elaun dikecualikan cukai), golongan ini menyumbang RM55 bilion cukai pendapatan berbanding kutipan keseluruhan kira-kira RM140 bilion.

Isunya bukan pendapatan. Isunya subsidi berterusan dan besar adalah tidak sihat untuk kewangan negara tetapi sebarang penarikan atau pelaksanaan subsidi bersasar harus komprehensif dan bukan apabila harga komoditi melonjak.

Jika kenderaan milik T20 harus diisi RON97, begitu juga kenderaan kerajaan dan menteri atau mereka kategori itu. Pe­nguatkuasaan ketirisan minyak termasuk penyeludupan minyak peket atau sebarang barangan bersubsidi harus menjadi ‘jihad’ berterusan dan bukan ketika harga komoditi tinggi. Anda tidak dapat memecahkan bongkah batu menggunakan telur.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya