Jangan kacau lagi UiTM

Jangan kacau lagi UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETEGASAN kerajaan yang mengekalkan dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk kaum Melayu, Orang Asli dan anak Sabah dan Sarawak amat dialu-alukan. Hal ini juga termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

UiTM sudah membantu ramai anak bumiputera memperoleh peluang menyambung pengajian dan dilatih untuk mengisi pelbagai jenis jawatan sama ada dalam sektor awam mahupun dalam sektor industri.

Penubuhannya sebagai respons terhadap kekura­ngan golongan profesional yang terlatih, terutama dalam kalangan kaum bumiputera di Malaysia yang rata-ratanya terlibat dalam sektor pekerjaan tidak mahir pada ketika itu

Kini, UiTM masih diperlukan dalam usaha merea­lisasikan hasrat kerajaan merapatkan jurang antara kaum terutama apabila melibatkan aspek sosioekonomi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan isu parallel pathway menjadi tumpuan apabila Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotorasik, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Ia selepas MMA menolak permohonan empat pakar bedah kardiotorasik untuk disenaraikan dalam Daftar Pakar Kebangsaan, ekoran FRCS Ed yang diperoleh mereka, tidak diiktiraf.

Status kemasukan pelajar ke UiTM menjadi isu kerana dikaitkan dengan parallel pathway ini yang mengheret universiti itu dalam kancah pertikaian.

Sebabnya, UiTM menjadi satu-satunya universiti yang menawarkan program ‘parallel pathway’ dengan kerjasama IJN dalam bidang kardiotoraks.

Pembedahan kardiotoraks secara umumnya merujuk kepada pembedahan untuk jantung, paru-paru, esofagus dan organ-organ berkaitan lain yang berada di dalam dada.

Negara pula memang kekurangan pakar tersebut ke­rana Kementerian Kesihatan kini hanya mempunyai 17 pakar pembedahan kardiotorasik yang masih berkhid­mat, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad di Dewan Rakyat semalam.

Katanya, terdapat seramai 23 pelatih yang merangkumi 16 latihan kepakaran laluan Parallel dan tujuh Program Sarjana Perubatan UiTM yang sedang mengikuti latihan kepakaran pembedahan kardiotorasik.

Serentak itu, isu kekurangan pakar bedah kardiotoraks yang dihadapi negara ketika ini dijangka mampu diselesaikan sedikit masa lagi apabila Universiti Malaya (UM) bakal menawarkan kursus pembedahan kardio­toraks selepas adakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kerajaan menyedari mengenai masalah dihadapi dan ingin menyelesaikan isu kekura­ngan pakar bedah kardiotoraks dengan kadar segera.

“Kita jangkakan pada Oktober nanti, kursus berkaitan kardiotoraks ini dapat diselesaikan. Maknanya (akan) ada laluan-laluan lain selain UiTM, ada juga di universiti-universiti lain yang akan menawarkan.” jelasnya

Dalam masa yang sama, kita menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mengikuti jurusan perubatan di 10 lagi universiti awam selain UiTM yang menawarkan kursus perubatan bagi menampung keperluan doktor dalam negara.

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya