Fokus selesai projek sakit

Fokus selesai projek sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tahniah kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang berjaya membantu memulihkan sebanyak 927 projek perumahan bermasalah sejak Di­sember 2022.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu, kejayaan itu hasil daripada penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) pada tahun tersebut.

Kejayaan itu amat melegakan bagi pembeli seba­nyak 112,747 unit rumah di seluruh negara. Sebahagian besar daripada mereka menderita apabila rumah yang dibeli tidak siap.

Lebih malang ada yang habis membayar pinjaman bank tetapi rumah tidak siap-siap selain terpaksa membawa sewa rumah yang diduduki.
Daripada projek rumah yang berjaya dipulihkan itu, sebanyak 75 projek berstatus lewat, 835 pula dikategori­kan sakit manakala 17 lagi adalah terbengkalai.

Kejayaan memulihkan projek tersebut termasuk yang dibangunkan oleh syarikat swasta sebenarnya menunjukkan campur tangan Kerajaan Pusat atau negeri sangat penting dalam sesuatu projek yang dilaksanakan.

Pemantauan berterusan perlu dilakukan terhadap setiap projek perumahan yang dilaksanakan. PBT perlu ambil tahu daripada awal projek dimulakan, peringkat pencapaian pembinaannya dan juga sebarang masalah yang timbul.

Langkah itu akan membolehkan tindakan awal diambil bagi menangani setiap isu yang timbul.

PBT sudah pasti mempunyai kuasa dan juga kemampuan untuk melakukan tugas itu kerana mereka ada jabatan yang bertanggungjawab bagi tujuan tersebut.

Dan ada baiknya juga setiap audit pembinaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa seperti Lembaga Pembangunan Pembinaan Malaysia (CIDB) terhadap sesuatu projek dari semasa ke semasa dikongsi bersama dengan PBT atau agensi berkaitan.

Maklumat-maklumat itu penting dalam memastikan setiap projek yang dilaksana bukan sahaja dapat disiapkan dengan berkualiti dan selamat tetapi juga mengikut jadual ditetapkan.

Malah ia juga dapat memastikan langkah penyelesaian diambil segera bagi memastikan projek berkenaan siap dan boleh diduduki.

Kadangkala projek bermasalah berpunca daripada ‘pemaju sakit’ dan langkah bersesuaian perlu diambil oleh kerajaan negeri termasuk menyerahkannya kepada pihak lain agar projek berkenaan dapat disiapkan.

Zaman pembeli rumah menjadi mangsa pemaju tidak bertanggungjawab dan membiarkan projek terbengkalai gara-gara masalah yang mereka hadapi sepatutnya tidak berlaku lagi seperti sebelum ini.

Ini selepas pelbagai langkah diambil kerajaan bagi memastikan projek perumahan berjalan lancar dan menyelamatkan banyak projek sakit yang seharusnya menjadi garis panduan bagi setiap projek perumahan baharu.

Pemaju dan pengarah syarikat yang bermasalah seharusnya dikenakan tindakan tegas kerana mereka juga kadangkala menjadi punca utama projek sakit.

Cukuplah projek perumahan yang bermasalah di­biarkan berterusan dan ia harus menjadi keutamaan kerajaan dalam membantu rakyat yang bermasalah. – UTUSAN

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya