Fitnah itu besar bahayanya...

Fitnah itu besar bahayanya…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam satu majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Kuala Lumpur kelmarin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pemimpin gabungan itu supaya menyemak fakta sebelum mengeluarkan sebarang kenya­taan kepada khalayak.

Menurut Muhyiddin, langkah itu bagi mengelak masalah yang tidak diingini. Selagi kita warganegara Malaysia, kita harus menghormati sentimen satu sama lain. Ini adalah cerminan Perikatan bahawa kita adalah masyarakat berbilang kaum, kata beliau.

Presiden Bersatu itu dikatakan memberikan peringatan itu susulan kenyataan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Razman kemudiannya telah membuat permohonan maaf, namun Hannah dilaporkan tetap akan mengambil tindakan mahkamah.

Terlajak Perahu boleh diundur terlajak kata buruk padah­nya. Benarlah ‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.’

Sebelum ini, seorang Ahli Parlimen Pas kalah saman fitnah dan terpaksa membayar sejumlah wang yang besar kepada individu yang difitnahnya. Malah, Muhyiddin sendiri juga kalah dalam satu saman fitnah membabitkan jumlah yang cukup besar.

Jika diimbau kembali, ramai pemimpin politik terutama daripada Pas, parti yang mendakwa berlandaskan Islam, kalah dalam saman fitnah.

Banyak wang yang telah mereka habiskan hanya untuk membayar saman tersebut. Lebih menyedihkan ‘tabung’ dilaporkan diedarkan untuk kutip derma ahli-ahli membantu pemimpin terbabit. Yang untung, orang difitnah dan peguam. Yang kalah dan rugi, si pemfitnah dan ahli parti. Sudahlah hilang duit, maruah juga tercalar. Nama parti juga rosak hingga diberi pelbagai gelaran buruk. Lebih teruk, agama turut dipalit.

Justeru, peringatan Muhyiddin itu wajar diambil berat, dijadikan peringatan oleh semua pemimpin PN terutama pe­mimpin Pas. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

Kita bimbang, budaya fitnah akan terus berakar umbi dalam masyarakat, terutama dalam kempen-kempen politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti. Kebiasaannya, masa berkempen, pelbagai dakwaan dibuat tanpa hujung pangkal. Dahulu, ketika dunia ada sempadan, dakwaan hanya berakhir di kertas undi. Namun, dengan dunia tanpa sempadan dan serba canggih kini, dakwaan tanpa fakta atau fitnah, berakhir di mahkamah. Semua dirakam dan boleh diulang siar.

Dalam konteks Malaysia dengan masyarakat majmuk di mana Rukun Negara tunjang perpaduan dan pembangunan negara, dakwaan-dakwaan tanpa asas hanya akan menggugat keharmonian dan kesejahteraan dalam negara. Ia boleh mewujudkan ‘musang berbulu ayam’, ‘musuh dalam selimut’, dan pelbagai lagi bidalan.

Implikasinya, apa yang dicita-citakan dalam Rukun Negara berpaksikan lima prinsip itu, tidak akan tercapai. Rakyat Malaysia akan terus hidup dalam suasana berprasangka, kepura-puraan dan keharmonian antara kaum juga semakin dihakis. Sebabnya, kita suka melabel, bercakap tanpa fakta, hanya fitnah.

Islam menegaskan, menabur fitnah adalah perbuatan keji, tercela dan terkutuk. Ia termasuk dalam kategori dosa besar yang tidak mendapat pengampunan Allah selagi tidak diselesaikan sesama manusia.

Jangan pula dengan anggapan ‘memohon maaf dan memaafkan adalah perbuatan terpuji dalam Islam’, maka kita boleh terus menabur fitnah. Cukup-cukuplah.

Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar baha­yanya daripada pembunuhan… (Al-Baqarah: 191). – UTUSAN

Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya