Di Gaza, makanan nombor satu, pendidikan nombor dua

Di Gaza, makanan nombor satu, pendidikan nombor dua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK 7 Oktober tahun lalu, perang antara Hamas dengan tentera rejim Zionis menyaksikan kemusnahan besar-besaran di Semenanjung Gaza, sehinggakan media Barat menyifatkannya seperti ‘neraka dunia’.

Dengan perang yang masih berlangsung sehingga kini, penduduk Palestin di Gaza terus ‘menderita tanpa gagal’ setiap hari, menyaksikan mereka berdepan kebuluran, kesakitan akibat cedera terkena bedilan tentera Israel dan semua yang buruk mereka terpaksa lalui.

Perang itu menyebabkan hampir dua juta populasi rakyat Palestin di Gaza hilang tempat tinggal dan 60 peratus unit kediaman di wilayah itu sudah ranap dibom tentera Israel.

Jika rumah yang asasnya untuk berlindung pun sudah musnah, bagaimana pula dengan infrastruktur yang lain seperti sekolah, universiti dan hospital? Semuanya hancur!

Di sebalik kebimbangan dunia terhadap nasib penduduk Gaza, ada satu lagi perkara yang perlu dipandang serius, iaitu hampir 700,000 golongan pelajar di wilayah itu, termasuk kanak-kanak mungkin tercicir daripada sektor pendidikan.

Berdasarkan data yang diperoleh, sekurang-kurangnya 650,000 pelajar di Gaza mengalami keciciran pelajaran sejak perang berlaku dan keadaan itu diburukkan apabila banyak sekolah turut dimusnahkan tentera Zionis.

Sebelum perang, Gaza yang dikepung Israel maju dan stabil seadanya, menyaksikan rakyat Palestin bebas bergerak, menjalani kehidupan harian, termasuk bekerja, bersekolah.

Dengan keadaan semakin mendesak, penduduk Gaza ketika ini lebih pentingkan survival hidup, iaitu dapatkan bekalan asas seperti makanan dan perlindungan, lebih-lebih lagi dengan kehadiran musim sejuk ketika ini.

Pada mereka, perkara itu lebih penting berbanding memikirkan soal persekolahan, pendidikan yang akhirnya memberi kesan kepada generasi akan datang.

Bagaimana nasib Gaza selepas perang berakhir jika generasi mudanya tercicir dalam pendidikan? Pendidikan itu tonggak kepada semua cabang kehidupan.

Mungkin itu yang dimahukan Zionis, iaitu lumpuhkan masa depan generasi muda Gaza sehingga akhirnya menghancurkan wilayah itu hingga ke bahagian terakhir.

Usaha untuk mengembalikan semula sektor pendidikan di wilayah itu selepas perang berakhir juga pasti berdepan kesukaran, mungkin mereka tidak mempunyai bilangan guru yang mencukupi ekoran ramai terkorban sejak awal Oktober tahun lalu.

Usaha untuk membina semula sekolah dan infrastruktur pendidikan yang lain juga sukar kerana kemusnahan yang disebabkan oleh Zionis di bumi Palestin itu bukan sedikit.

Namun, tiada apa yang tidak boleh berjaya jika dunia bersatu bantu rakyat Palestin, tidak kisah di Gaza atau Tebing Barat, asalkan bantu bersungguh-sungguh.

Jangan kita biarkan generasi muda Palestin tercicir daripada pendidikan, mereka juga berhak tawan dunia. – UTUSAN

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya