Cukupkah ‘tangan’ kita sambut kunjungan tengkujuh?

Cukupkah ‘tangan’ kita sambut kunjungan tengkujuh?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERDASARKAN ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fasa awal musim tengkujuh boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja bermula awal bulan ini dan berterusan sehingga Mac tahun depan.

Ketika ini, kawasan utara Pahang iaitu Raub dan Lipis sudah menerima kesan daripada fenomena Monsun Timur Laut (MTL) ini. Monsun ini membawa hujan lebat terutama kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan timur Sabah.

Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai. Jika hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.

Realitinya, saban tahun Malaysia melakukan persediaan rapi berdepan musim tengkujuh. Ia melibatkan pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat. Kali ini sejumlah 82,794 anggota melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi memberikan bantuan kepada mangsa banjir. Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pula sudah mengenal pasti sebanyak 4,619 lokasi hotspot banjir di seluruh negara. Namun, selain persediaan rapi, apakah langkah yang kita ambil mencukupi untuk mengurangkan kesan negatif kedatangan musim tengkujuh?

Sedar atau tidak, proses pembangunan atau pembinaan rumah umpamanya, yang tidak mengikut prosedur boleh memburukkan situasi bah. Tambunan tanah dilakukan bagi tujuan membina rumah baharu menyebabkan kediaman yang dibina lebih awal berada di kawasan lebih rendah. Apabila hujan berlaku, air mengalir laju ke kawasan-kawasan rendah. Rumah yang dahulu tidak terjejas bah kini dimasuki air yang bermaksud jumlah mang­sa baharu banjir pun bertambah.

Sebab itu, sebarang projek pembinaan tidak kira kawasan perumahan atau hanya bina sebuah rumah perlu mengambil kira semua aspek secara menyeluruh, terutama segi perparitan dan kolam takungan air. Reka bentuk rumah perlu diteliti dan dibina mengikut kesesuaian kawasan.

Begitu juga kepentingan reka bentuk sistem saliran bagi memastikan ia mampu menampung jumlah hujan semasa. Ia perlu disesuaikan untuk mengalirkan permukaan air yang semakin meningkat akibat peningkatan kawasan berturap atau disimen seperti pembangunan perumahan, kawasan komersial dan jalan raya.

Pada masa sama, Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dirancang mesti diberi keutamaan dan disiapkan segera. Di Pantai Timur sahaja, sebanyak 14 projek RTB dilapor mengalami kelewatan disebabkan masalah pengambilan tanah dan pengalihan semula utiliti. Pelaksanaan segera projek ini sangat penting untuk mengurangkan kesan banjir.

Tahun lalu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2023 melaporkan nilai kerugian akibat banjir berjumlah RM755.4 juta atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.
Persoalannya, sampai bila rakyat perlu menanggung kemusnahan harta benda dan hasil pertanian yang tinggi selain perlu berpindah-randah setiap kali musim tengkujuh.

Kita boleh membuat ramalan serta bersedia menghadapi musim tengkujuh. Namun lebih penting adalah tindakan berkesan khususnya dalam jangka masa panjang untuk mengurangkan impak besar akibat MTL yang pasti menjelma setiap hujung tahun. Ia adalah corak iklim di Malaysia.

Pelan untuk menanganinya sudah ada, cuma yang tinggal adalah pelaksanaannya. Jadikan ia keutamaan.

Mohd. Shariza Abdullah ialah Pengarang Berita Utusan MalaysiaUTUSAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya