Berkempen jangan sampai berkerat rotan

Berkempen jangan sampai berkerat rotan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mulai Ahad ini, gelanggang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan bermula. Maka, setiap calon yang bertanding sudah pasti akan menggunakan pelbagai platform dalam mempromosi diri dan parti yang diwakili.

Matlamatnya, memikat hari pengundi dan seterusnya dipilih sebagai wakil baik di Dewan Rakyat atau pun Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kepada para calon yang bertanding, jadikan peluang berkempen selama dua minggu sebelum hari mengundi 19 November ini dengan sebaik-baiknya. Berkempenlah dengan sihat. Perjelaskan misi dan visi anda serta manifesto parti masing-masing.

Jangan jadikan kempen sebagai tempat membelasah atau menyerang peribadi pihak lawan. Pepatah Melayu ada menyebut, “sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa”. Ini bagi menggambarkan bahaya dan bisanya mulut atau lidah dalam hubungan sesama manusia.

Sebaliknya, huraikan apakah tujuan dan apa yang boleh disumbangkan jika pengundi memangkah ada dalam PRU15. Gariskan program-program yang bakal dilaksana untuk pembangunan anak bangsa di kawasan masing-masing.

Realitinya, banyak perbalahan berlaku angkara mulut dan lidah yang tidak bertulang. Kata-kata sindiran, sumpah seranah dan caci nista antara punca pergaduhan berlaku sesama insan sehingga menjejaskan silaturahim. Pada tahap yang teruk ia membawa kepada berpatah arang, berkerat rotan.

Tidak dinafikan, sesama ahli keluargapun ada yang tidak sehaluan dari segi fahaman politik. Itu resam manusia. Tidak semestinya jika si bapa sokong parti ‘A’, anak dan isteri menyokong parti yang sama. Banyak juga berlaku perseteruan dalam keluarga gara-gara berlainan kem politik.

Apa sekalipun, berpolitik jangan sampai keluarga porak-peranda. Jangan hendaknya sahabat bertukar musibat. Berpolitiklah dengan matang. Selagi tidak melibatkan hal yang diharam oleh agama, selagi itu kita masih boleh berselisih pendapat. Pendek kata, kita bersetuju untuk tidak bersetuju.

Dalam masa yang sama, jaga kesucian rumah Allah terutamanya. Ini supaya ia tidak dipergunakan untuk kempen-kempen politik. Masjid dan surau, mestilah dipelihara kesuciannya jangan sampai ia dicop masjid parti itu atau ini.

Masjid mestilah dikekalkan neutral agar semua orang Islam tanpa mengira apa pun parti anutannya bebas beribadah dan menjaga silaturahim.

Jangan kita naif dan terperdaya melihat ahli politik bertegang urat dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat. Realitinya, selepas ‘bergaduh’ dalam Dewan Rakyat, ahli politik pembangkang dan kerajaan itu dilihat boleh minum semeja di kafe Parlimen.

Sepatutnya, para pengundi menjadikan tempoh berkempen ini sebagai medan terbaik untuk memilih calon mana yang bakal jadi pilihan. Pilihlah calon-calon yang berwibawa dan mampu membawa perubahan untuk kebaikan agama dan negara.

Selesai tempoh berkempen, rapatkan kembali ukhuwah. Jika ada terguris perasaan, hendaklah saling bermaafan. Semua manusia tidak lari daripada buat silap dan salah, maka janganlah malu atau segan memohon maaf.

Rasulullah SAW juga menyebut dalam sabdanya yang melarang kita daripada memutuskan silaturahim melebihi tiga hari. – UTUSAN

  • Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya