Ayuh kibarkan Jalur Gemilang - Utusan Malaysia

Ayuh kibarkan Jalur Gemilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Membaca kisah Khamaruddin Salleh berusia 69 tahun dari Kepala Batas, Pulau Pinang yang bersemangat untuk menyambut hari kemerdekaan membuatkan saya tertanya-tanya tentang sikap rakyat Malaysia yang lain termasuk saya sendiri terhadap hari penting itu.

Apakah kita sudah tidak pedulikan hari kemerdekaan negara kita sendiri. Tidak keterlaluan kalau dikatakan, setakat hari ini, tidak ada rasa nak sambut merdeka. Kita tenggelam dalam kekalutan isu-isu politik semasa.

Lebih malang, masih banyak premis kerajaan yang sepatutnya menjadi pencetus kepada semaraknya hari kemerdekaan lesu tanpa Jalur Gemilang.

Kempen merdeka juga seolah-olah tidak ada dalam agenda mana-mana agensi. Siaran lagu patriotik juga tidak kedengaran di radio atau televisyen. Semuanya seperti hari kebangsaan masih jauh berbulan-bulan lagi.

Memang semua pihak sedang sibuk memerangi wabak Covid-19 tetapi itu bukan alasan. Penjarakan fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) masih boleh diamalkan ketika berkempen.

Juga, usah beri alasan tidak sambut pun, Malaysia terus maju. Tidak kibar bendera, tidak bermakna tidak sayangkan negara. Memang negara akan terus bergerak ke hadapan tetapi adakah jiwa rakyatnya juga bergerak ke arah yang sama?

Mutakhir ini, isu perkauman dilihat semakin parah dan persengketaan itu diburukkan lagi apabila ia dipolitikkan.

Semangat sewaktu mencapai kemerdekaan 63 tahun lalu apabila tiga kaum utama sepakat, seia sekata dan berikrar demi negara ini, sudah semakin hilang dari jiwa generasi muda negara.

Apabila generasi pewaris ini sudah tidak melihat sambutan kemerdekaan sebagai penting, jangan harap mereka mahu dan berbangga mengibarkan Jalur Gemilang.

Tinggal tiga minggu sahaja lagi. Inilah masanya untuk kita rapatkan kembali hubungan, lupakan perselisihan faham dan saling hormat-menghormati di bawah kibaran Jalur Gemilang.

Ingatlah, Malaysia adalah negara kita. Kalau kita tidak berbangga, tidak peduli hari kita bebas dari belenggu penjajah, siapa lagi?

Marilah zahirkan rasa kasih kita kepada Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang dengan ikhlas tanpa dipaksa.

Ismail Daud ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia