Ayuh bangunkan Malaysia

Ayuh bangunkan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELMARIN tempoh 52 minggu, 366 hari dan 8,784 jam telah berlalu meninggalkan kita dengan pelbagai gumpalan peristiwa suka duka yang mewarnai tahun 2024. Biarpun dukanya dilihat sedikit lebih berban­ding tawa, namun setiap kejadian yang bersebab itu kita jadikan pedoman untuk kita harungi Tahun Baharu 2025.

Pastinya tahun 2025 ini kita mengharapkan sinar melebihi suramnya. Biarlah segala kekelaman yang tercipta tahun lalu terkubur bersama nisan tanpa ukiran. Yang baik kita jadikan teladan, yang buruk jadi sempadan.

Tahun baharu ini, kita menaruh harapan setinggi gunung agar Kerajaan Perpaduan menterjemahkan segala inisiatif yang disasarkan untuk mensejahterakan masyarakat, memaju dan mengukuhkan ekonomi serta menjayakan agenda pembaharuan nasional bagi Malaysia.

Kita juga berdoa agar usaha dan ikhtiar kerajaan menggerakkan langkah dalam menjelmakan anjakan baharu mencapai sasaran dengan jayanya.

Walaupun kita sedar bahawa halangan pasti menerjah dan laluan berliku perlu ditempuh Kerajaan Perpaduan yang berteraskan gagasan Malaysia Madani dalam merea­lisasikan segala agenda yang direncanakan.

Kita kena akui bahawa setiap kejayaan bukan mudah untuk dikecapi. Ia perlu melalui proses dan masa yang lama. Umpama pekebun menanam durian, bukan seminggu mahupun sebulan bahkan bertahun baru boleh memetik hasilnya.

Tahun baharu ini juga kita mahukan pembangkang lebih bijak memainkan peranan dengan lebih matang, bukan sekadar berteriak di Parlimen dengan isu-isu remeh yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat. Tidak salah bangkit dan membantu Kerajaan Perpaduan demi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat dan memulih serta menstabilkan ekonomi negara.

Percakaran berterusan dalam politik tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat dan negara. Cukup-cukuplah bertelagah dan akurlah kepada ketentuan Yang Maha Esa. Hidup ini kalau tidak reda dengan ketentuan-Nya, tiada keamanan dan ketena­ngan dalam jiwa.

Kita harus muhasabah diri. Apa matlamat sebenar kita mahu jadi pemimpin? Adakah kerana inginkan kekuasaan, mahu kekayaan, ingin dikenali? Sedangkan kita tahu bahawa amanah dan tanggungjawab diberikan jika tidak terpikul, natijahnya menanti kita di akhirat kelak.

Justeru, sempena tahun 2025 yang baru mema­suki hari ketiga ini, marilah kita pasakkan harapan, semaikan semangat, pasang azam dan tekad murni untuk menyulam kebaikan agar menjadi puncak kejayaan. Semoga tahun baharu ini menjanjikan jutaan kegembiraan dan keberkatan dalam hidup kita semua.

Ayuh semua bersatu bangunkan Malaysia! – UTUSAN

Imran Mohamad Nor ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya