Apabila masyarakat sudah hilang sikap simpati

Apabila masyarakat sudah hilang sikap simpati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiga minggu pertama 2025, negara dikejutkan dengan kejadian seorang orang kurang upaya (OKU) yang dibelasah oleh beberapa individu di sebuah pasar terletak negeri Pantai Timur sehingga mangsa mengalami kecederaan.

Lelaki OKU berusia 47 tahun itu cedera dipukul beberapa individu selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar salah sebuah gerai jualan di pasar tani berkenaan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah.

Bagaimanapun kita menyerahkan kejadian ini kepada pihak berkuasa memandangkan individu-individu terlibat telah pun ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap kejadian itu tidak berulang dan mahu rakyat Malaysia mengambil pengajaran daripada kejadian yang tidak sepatutnya berlaku itu.

Namun isu utama yang ingin dipersoalkan di sebalik kejadian itu berkenaan sikap simpati masyarakat sekeliling di lokasi kejadian yang hanya berpeluk tubuh dan menyaksikan perbuatan itu ibarat menonton penggambaran drama atau filem tanpa berbuat apa-apa.

Kejadian berlaku di negeri Pantai Timur merupakan salah satu contoh sikap peluk tubuh masyarakat, kerana sikap sama juga pernah berlaku sebelum ini.

Antaranya, kes ragut melibatkan seorang warga emas di Bangsar pada tahun lalu apabila mangsa dibiarkan terbaring begitu sahaja sedangkan terdapat orang ramai lalu lalang di kawasan terlibat, lebih menyedihkan mereka hanya menyaksikan wanita itu tanpa memberi sebarang bantuan.

Begitu juga dengan beberapa kejadian rompakan apabila orang ramai hanya menyaksikan seolah-olah tiada apa yang berlaku, apatah lagi menghulurkan bantuan untuk membawa mangsa tercedera ke hospital dan melaporkan aduan kepada polis.

Contoh-contoh sebegini boleh disaksikan sendiri dengan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memperlihatkan wajah sebenar rakyat Malaysia yang sekadar berpeluk tubuh sekali gus menunjukkan tiada sikap simpati dalam masyarakat hari ini.

Istilah sikap masyarakat peluk tubuh merujuk kepada sikap tidak peduli, acuh tak acuh atau bersikap lepas tangan terhadap sesuatu isu berlaku di sekeliling mereka kerana ia sering dikaitkan dengan kurangnya rasa tanggungjawab sosial atau ketidakprihatinan terhadap masalah yang menimpa komuniti atau masyarakat umum.

Jika sebelum ini, sikap peluk tubuh ini berlaku dalam kalangan komuniti bandar tetapi ia juga membarah dalam masyarakat luar bandar yang juga sama tidak sensitif dan peka dengan perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

Hairannya sikap sebegini tidak harus berlaku di Malaysia yang memiliki adab ketimuran cukup tinggi, apatah lagi majoriti rakyat terdiri dalam beragama Islam yang mengajak aspek ukhuwah dan perpaduan seperti mana seruan wahyu Allah. Lebih-lebih Islam menekankan elemen Fardu Kifayah dalam kehidupan seharian.

Mungkin ia berpunca daripada kehidupan moden yang sering berorientasikan materialisme dan mendorong individu lebih mementingkan keperluan peribadi berbanding kepentingan komuniti. Di samping itu, tekanan kerja dan urusan harian menyebabkan masyarakat tidak mempunyai masa untuk memikirkan isu-isu sosial.

Justeru, sikap peluk tubuh boleh diubah jika usaha bersama dilakukan menyedarkan masyarakat tentang pentingnya mengambil peranan aktif dalam menangani isu sosial. Jika gagal ditangani segera, mungkin sikap negatif seperti ini kekal selamanya. – UTUSAN

Juani Munir Abu Bakar ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya