Antara pangkat, profesionalisme dan insani

Antara pangkat, profesionalisme dan insani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) mentakrifkan perkataan ‘pangkat’ dengan beberapa makna antaranya tingkat, lantai, taraf dan kedudukan yang dipandang orang.

Profesionalisme pula membawa makna sifat-sifat sebagaimana yang sewajarnya terdapat pada atau dilakukan oleh seseorang profesional.
Frasa insani pula ditakrifkan sebagai mengenai manusia atau kemanusiaan.

Insiden melibatkan seorang penjaja petai warga emas, Mohd. Noor Saad, 67, dengan dua anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) minggu lalu membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan ketiga-tiga perkataan berkenaan.

Meskipun isu itu sudah diselesaikan dengan baik oleh kedua-dua pihak, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku andai seseorang individu yang diberikan kuasa dan tanggungjawab meletakkan profesionalisme sebagai tunjang utama ketika melaksanakan amanah rakyat.

Diakui, pastinya kedua-dua pihak mempunyai penceritaan berbeza mengenai sesuatu insiden bagi memihak kepada kepentingan masing-masing.

Mohd. Noor menceritakan, dia menjaja di lokasi itu demi mengumpul wang untuk pembedahan membuang selaput mata kiri isterinya.

Ketika kejadian, dia baharu enam hari menjaja di kawasan itu kerana musim petai dengan membawa sebanyak 25 ikat petai ketika kejadian.

Jelas Mohd. Noor, dia membuang petai jualannya atas jalan sebagai tanda protes selepas dimaklumkan ia akan dibawa ke pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan pembuktian.

Daripada sisi pihak berwajib, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan, tindakan menyalahkan anggota penguat kuasa terlibat merupakan sesuatu yang tidak adil.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, anggota penguat kuasa MPPD itu hanya menjalankan tugas dan amanah yang diberikan.

Walau apa sekalipun, sebab, hujah dan alasan yang diberikan, majoriti masyarakat di negara ini tidak pernah mempersoalkan penguatkuasaan mana-mana undang-undang yang diketahui umum untuk kebaikan bersama.

Berdasarkan klip video yang tular, rata-rata warganet kurang senang dengan tahap profesionalisme dipamerkan kedua-kedua anggota penguat kuasa terlibat.

Tangan dimasukkan ke dalam poket seluar sambil tersenyum atau ketawa, seolah-oleh sinis memperkecilkan seseorang yang sedang berjuang mencari rezeki untuk keluarganya. – UTUSAN

Hadi Ab. Manap ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya