Alam Melayu kehilangan seorang lagi ulama besar - Utusan Malaysia

Alam Melayu kehilangan seorang lagi ulama besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMALAM di tengah-tengah bahang kehangatan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) alam Melayu menerima khabar duka pemergian ulama terkenal Tuan Guru Sheikh Abdul Hamid yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Su Mid di Kampung Kuala Pai, Kuala Nerang, Kedah.

Perginya Pak Su Mid pada usia 96 tahun menandakan negara kita dan negeri Kedah terutamanya kehilangan tokoh ulama disegani yang menjadi rujukan pelbagai peringkat masyarakat.

Malah pemergian Pak Su Mid itu juga menandakan hilangnya seorang lagi ulama besar di alam Melayu. Sebelum ini Kedah dan alam Melayu khususnya kehilangan tokoh ulama, Datuk Ahmad Mohd. Nor atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh Mat, 96, yang meninggal dunia pada September tahun lalu akibat jangkitan paru-paru.

Pak Su Mid dan Pak Teh Mat adalah dua nama yang cukup penting dalam perkembangan Islam di Kedah di mana Pak Teh Mat adalah pengasas Maktab Mahmud Padang Terap dan Pondok Ahmadiah yang telah melahirkan beberapa ulama besar dan tokoh agama di negara ini.

Kedua-dua tokoh ulama ini adalah antara sumber rujukan utama berkaitan hal ehwal Islam khususnya di Kedah.

Kedua-duanya adalah tokoh yang dihormati oleh semua peringkat tanpa mengira ideologi atau pegangan politik.

Sebab itu rumah Allahyarham di Kampung Kuala Pai sentiasa menjadi tumpuan tetamu dari pelbagai peringkat sama ada rakyat biasa, pemimpin politik mahupun pihak istana.

Di usia mudanya, Allahyarham pernah berniaga di Pekan Rabu, Alor Setar dan pada waktu malam mencari ilmu bersama para gurunya dan antara yang rapat dengannya adalah Tuan Guru Haji Abdul Aziz Pendang.

Difahamkan kitab-kitab utama yang menjadi rujukan Allahyarham adalah Hilyatul Auliyak, Futuhat Makkiyyah Ibn Arabi dan Khozinatul Asror. Pernah ditanya kenapa hanya tiga kitab ini yang menjadi rujukan, Allahyarham Pak Su Mid berkata, beliau hanya membaca kitab-kitab yang pengarangnya adalah dalam kalangan individu yang dikenal pasti sebagai Wali Allah sahaja.

Disebabkan faktor usia dan keuzuran, sejak beberapa tahun lalu Allahyarham mula mengehadkan penerimaan tetamu yang menziarahinya. Malah ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Allahyarham hanya menerima tetamu daripada kala­ngan orang tertentu sahaja.

Walaupun terdapat banyak permintaan untuk menemuinya terutama bagi mendapatkan pandangan, nasihat, tunjuk ajar dan lain-lain lagi namun disebabkan faktor itu keluarga Allahyarham terpaksa menolak.

Bagi mereka yang pernah bertemu dan mengunjungi Allahyarham pastinya sentiasa ingat akan pesanan utamanya iaitu jangan meninggalkan al-Quran dan menjadikan kalam Allah itu sebagai pegangan hidup.

Menurut anak keduanya, Pirdaus Abdul Hamid, kepada sesiapa sahaja yang datang, nasihat yang paling banyak diberikan oleh Allahyarham ialah amalkan membaca al-Quran.

Semoga roh Allahyarham Pak Su Mid ditempatkan dalam kalangan insan-insan terpilih di sisi Allah.

 

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia