Akta pendanaan: Apa yang orang politik takut?

Akta pendanaan: Apa yang orang politik takut?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP hari kita bercakap soal demokrasi yang bersih, telus dan bebas daripada sebarang elemen membabitkan politik wang, sogokan dan sebagainya yang berkaitan unsur boleh dikaitkan dengan beli undi.

Di Dewan Rakyat boleh dikatakan ini yang kerap dibahaskan, tetapi hasilnya tetap kosong. Cadangan untuk melaksanakan Akta Pendanaan Politik di Malaysia walaupun diterima baik oleh masyarakat awam tetapi tidak berupaya ditolak ke hadapan kerana ia tersangkut di dewan yang mulia itu sendiri – Parlimen.

Sedangkan penggubalan akta ini adalah langkah proaktif ke arah mempertingkat integriti dan keberkesanan sistem politik negara.

Seperti mana yang ditegaskan oleh Institusi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), ia akan meletakkan Malaysia antara 180 buah negara dengan amalan terbaik antarabangsa dalam peraturan pendanaan politik.

Tetapi sejak pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN), idea untuk menggubal akta berkaitan dana politik ini hingga kini tidak menjadi kenyataan.

Jika sebelum PRU14 para pemimpin BN dikatakan menjadi penghalang kerana mereka sering dikaitkan dengan politik wang, beli undi dan sebagainya.

Tetapi kini BN sudah tiada. Sejak tumbangnya BN sudah empat Perdana Menteri mengambil alih tampuk pentadbiran negara.

Tetapi akta yang bakal memastikan proses pilihan raya di negara kita bersih tetap belum jadi kenyataan. Jika berdasarkan jawapan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang Dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat pada 25 Februari lalu, Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik bagi mengurangkan risiko rasuah dan salah guna kuasa melibatkan ahli politik masih belum dapat diteruskan.

Ini disebabkan masih terdapat beberapa perkara dasar yang belum mencapai persetujuan sebulat suara daripada parti-parti politik.

Apabila merujuk kepada parti-parti politik maksudnya para pemimpinnya yang belum mencapai kata sepakat kerana yang mentadbir parti adalah pemimpin.

Antara alasan yang diberikan ialah seperti keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan dan entiti yang akan mengawal selia dana politik.

Bagi masyarakat awam, sudah tentu akta ini sangat dialualukan kerana ia akan manjadikan sistem pilihan raya kita satu proses demokrasi bersih, telus dan bebas daripada elemen ‘kotor’.

Ini sudah tentu akan menjadikan kita lebih dihormati dan disegani. Tetapi di pihak para pemain politik, kelihatan seolah-olah ada sesuatu yang mereka takuti jika akta ini menjadi realiti.

Dolak-dalik yang diberikan ketika mereka terus beralasan dalam meneruskan RUU ini akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat. Seolah-olah mereka berpakat menyembunyikan sesuatu.

Adakah para pemain politik ini dihantui dengan kes-kes se perti penemuan wang tunai dan jongkong emas bernilai ratusan juta? Atau duit yang mereka belanja ketika pilihan raya datang dari sumber yang tidak jelas?

Jika semua ini adalah tidak benar, maka para pemain politik ini yang perlu ke hadapan untuk membentangkan RUU ini dan memastikan sistem pilihan raya benar-benar bersih. – UTUSAN

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya