HAJI Badrol menggenggam erat serban di kepalanya. Urat-urat di lehernya menegang. Matanya yang biasanya redup kini membulat garang. Memandang tepat ke arah Mat Jin, pemilik gerai menjual daging yang berdiri terkebil-kebil di hadapannya.
“Aku dah pesan, Jin! Aku dah pesan. Tulang rusuk itu untuk aku. Macam mana boleh bagi pada orang lain.” Suara Haji Badrol bergema, membuatkan beberapa pelanggan yang sedang memilih daging di situ tersentak.
Mat Jin, seorang lelaki separuh umur dengan janggut jarang dan perut sedikit ke depan, mengangkat tangan cuba menenangkan keadaan.
“Maaf, Pak Haji Bad,” kata Mat Jin.
“Saya betul-betul lupa. Orang ramai sangat hari ini. Semua hendak tulang rusuk,” kata Mat Jin lagi.
“Ada orang datang awal pagi, saya ingatkan Pak Haji Bad tidak jadi ambil. Pak Haji Bad mari lambat sangat,” tambah Mat Jin.
Haji Badrol menghentak dengan kuat tapak tangannya ke atas tokol kayu tempat cincang tulang gerai jual daging Mat Jin. Berkerut pula dahinya menahan sakit kerana permukaan tunggul itu tidak rata.
“Lupa? Macam mana boleh lupa?” Bentak Haji Badrul. Suaranya gementar, mungkin kerana sedang menahan kesakitan telapak tangannya.
“Esok masa untuk sahur pertama awal Ramadan aku dan tak dapat, untuk sahur terakhir pun tak dapat juga?” Bentak Haji Badrul lagi.
“Sejak dulu lagi, masa gemulah ayahmu yang berjual di sini mesti dapat tulang rusuk untuk sahur permulaan puasa dan sahur terakhir puasa aku hendak bersahur. Aku bersahur dengan singgang tulang rusuk.” Bebel Haji Badrol. Merah padam mukanya.
“Keenam-enam anak aku dan 22 cucu aku, sudah aku suruh datang bersahur terakhir di rumah aku, makan singgang tulang rusuk lembu masakan bini aku.” Haji Badrol terus membebel lagi.
Pandangan orang keliling tidak dihiraukannya.
“Aku beli, Jin. Aku bukan hendak free, aku ada duit.
“Bukan setakat tulang rusuk, kalau aku mahu beli seekor lembu pun aku boleh bayarlah,” Haji Badrol terus menghamburkan kemarahannya.
Dikeluarkan secekak duit dari dalam kocek jubahnya. Duit kertas bernilai seratus setiap sekeping, tebal susunannya hampir seinci.
Mat Jin ketawa dalam hati. Mungkin Haji Badrol lupa tentang hutang beli tulang rusuk untuk sahur permulaan puasa dan sahur malam terakhir tahun lepas belum pun dibayar lagi. Pada masa itu alasannya kena ambil dulu tulang rusuk itu kerana dompet terlupa bawa.
Kerana itulah walaupun disuruh simpan, apabila ada pelanggan yang mahu beli dijual, takut pisang berbuah dua kali kerana daripada cerita yang didengar Haji Badrol jenis putar alam orangnya.
Beberapa pelanggan lain mula berbisik-bisik dengan berpihak kepada Haji Badrol dan menyalahkan Mat Jin kerana cuai yang sepatutnya apabila berjanji kena ditepati.
Bagi mereka Haji Badrol bukan sembarangan orang. Dia bekas ketua kampung. Seorang yang amat dihormati dan terkenal dengan pendiriannya yang tegas.
Anak-anaknya menjawat jawatan tinggi di sektor awam dan swasta belaka. Setiap Raya Haji, sudah biasa seekor lembu dikorbankan untuk keluarganya sahaja.
Tetapi ada juga yang berbisik mencemuh. Kononnya Haji Badrol sengaja berteriak begitu. Mahu tunjuk sombong. Tunjuk power sebagai orang banyak duit, ada pengaruh, boleh lupa bahawa sebagai manusia biasa, Mat Jin boleh lupa, tambah pula apabila ramai pelanggan ikut meminta tulang rusuk.
Walaupun bila Raya Haji seekor lembu dikorbankan hanya untuk dia dan keluarga sahaja, tetapi ada tuan lembu yang dibeli kata, sudah hampir setahun harga lembu yang dibeli tersebut masih belum dibayar. Bukan kerana tak ada duit tapi jenis buat-buat lupa.
Bila dia marah, membentak, mengherdik dan membebeli Mat Jin, dia kelihatan lebih seperti seorang lelaki tua yang pemarah kerana kehendaknya tidak dituruti.
“Pak Haji Bad, ada tulang lain lagi. Tulang cenonok pun ada. Tulang cenonok lebih sedap daripada tulang rusuk,” Mat Jin cuba buat cadangan untuk meredakan kemarahan Haji Badrol.
“Tulang cenonok? Huh, aku pesan tulang rusuk, bukan tulang cenonok. Aku ini kalau makan sahur hari pertama dan sahur malam terakhir puasa, rasa macam tidak sempurna puasa sebulan.” Tengking Haji Badrol.
Walaupun Mat Jin selamba melayan pelanggannya, namun Haji Badrol tetap membebel, menimbulkan keadaan tidak selesa kepada para pelanggan lain.
Di antara pelanggan Mat Jin, ikut berada di situ adalah Hafizul, seorang budak lelaki kecil berumur tujuh tahun, memegang erat tangan ibunya yang sedang membeli daging cincang, daging yang jadi pilihan orang kurang mampu.
Dia melihat pertengkaran itu dengan mata besar dan penuh tanda tanya.
“Apa kecoh-kecoh ini?” Tanya Hafizul kepada ibunya. Berkali-kali dia bertanya perkara yang sama apabila ibunya tidak memberi respons.
“Haji Badrol marah sebab dia tidak dapat tulang rusuk untuk disinggang makan sahur malam terakhir nanti. Masa nak sahur malam pertama puasa dulu pun dia tak dapat.” Akhirnya ibunya memberi respons. Hafizul mengerutkan kening.
“Dia marah sebab tak dapat makan tulang rusuk, ibu?” Soal Hafizul lagi dan ibunya menjawabnya dengan anggukan.
Seakan terdorong oleh sesuatu, Hafizul melangkah ke hadapan, mendekati Haji Badrol yang masih berdiri dengan dada turun naik kerana marah.
“Atuk Ayah Haji…,’’ ujar Hafizul. Suaranya kecil namun jelas menyelinap di celah kekecohan.
Haji Badrol berpaling ke arah Hafizul. Dahinya berkerut dan bertanya apa yang Hafizul mahu.
Hafizul menggenggam hujung baju kurung ibunya dengan sebelah tangan, manakala sebelah lagi menunjuk ke arah Haji Badrol.
“Ustazah sekolah PASTI Hafizul kata, bulan Ramadan bukan bulan pesta makan sedap dan mewah, Atuk Ayah Haji,” ujar Hafizul.
Beberapa orang di situ mula memandang Hafizul. Suasana yang tadi riuh mula senyap sedikit.
“Ustazah juga kata, Ramadan adalah bulan ujian. Allah nak ajar kita supaya ingat susahnya hidup orang miskin, supaya kita tahu macam mana susahnya kalau tak ada makanan langsung. Juga supaya kita ingat akhirat, agar kita buat banyak kebaikan,” kata Hafizul.
Haji Badrol terdiam.
“Kalau kerana tulang rusuk lembu pun dah bergaduh, itu tanda kita gagallah dalam ujian Ramadan, Atuk Ayah Haji,” kata Hafizul lagi.
“Ustazah kata bekalan di akhirat bukan makanan, tapi amal kebajikan. Kalau kita gaduh sebab makanan di dunia, macam mana kita hendak bersedia untuk akhirat? Tambah Hafizul. Kata-katanya itu tidak melambangkan umurnya.
Seseorang di dalam kalangan orang ramai berdehem, tanda menyokong apa yang Hafizul kata, sekali gus menyindir Haji Badrol.
“Betul juga kata budak ni…,” celah seorang makcik tua yang turut meminta diberi daging cincangnya sepadan dengan duitnya yang ada cuma lima ringgit.
Haji Badrol terasa seperti ada batu besar menghempap dadanya. Kata-kata Hafizul seperti sebilah pisau halus yang menghiris ego dan kesombongannya.
Dia memandang sekeliling, dan barulah dia sedar semua orang sedang menunggu reaksinya.
Mat Jin menundukkan wajah, seakan turut malu dengan keadaan itu.
Haji Badrol menarik nafas dalam-dalam. Wajahnya yang tadi merah menegang mula mengendur. Perlahan-lahan, dia memegang bahu Hafizul.
“Kau budak kecil, tetapi kata-kata kau besar,” ujar Haji Badrol.
Hafizul hanya tersenyum sedikit, kemudian kembali ke sisi ibunya. Haji Badrol menghela nafas. Dia menepuk bahu Mat Jin penuh mesra.
“Tak apalah, Jin. Lain kali aku datang awal sikit. Tak perlu gaduh-gaduh macam ini, ada nasib baik, kalau tak ada pun tak apa,” kata Haji Badrol. Mat Jin tersenyum lega.
“Terima kasih, Haji Bad,” ujar Mat Jin.
Orang ramai mula bersurai, masing-masing membawa cerita tentang bagaimana seorang budak kecil berjaya mengajar sesuatu kepada orang dewasa.
Sebelum melangkah pergi, Haji Badrol menoleh sekali lagi ke arah Hafizul.
Di dalam hatinya, dia tahu bahawa Ramadan kali ini akan terasa berbeza.
Tulang rusuk mungkin tidak dia dapat, tetapi dia telah memperoleh sesuatu yang jauh lebih berharga, satu pengajaran yang tidak akan dia lupakan seumur hidup.
“Maaf Pak Haji Bad, hendak tanya. Jangan terasa hati pula. Hutang tulang rusuk puasa tahun lepas bila hendak bayar?” Tanya Mat Jin Ketika Haji Badrol memulakan langkah pertama untuk beredar.
Haji Badrol tersentak dan tergamam.
“Ustaz Hafizul kata, hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut,” kata Hafizul yang terdengar pertanyaan Mat Jin itu.
Haji Badrol rasa kepalanya bukan saja ditimpa bongkah batu besar, malah dirasakan seakan-akan sebuah bukit menghempapnya.- UTUSAN