Mek Jarah mengasah sabitnya. Giginya dikancing rapat. Sesekali mulutnya kumat-kamit. Geram.
“Jaga mu. Bidin, jaga mu…Mu ingat mu boleh buat sesuka hatimu.” Marahnya membuak-buak.
“Kau asah sabit tu hendak buat apa Jarah?” Lembut sapa Dolah.
Sambil menggulung rokok daun dia bersandar pada tiang seri di tengah rumah. Rumahnya walaupun kecil dibina dengan kudrat tulang empat keratnya di atas tanah arwah mertuanya di sebelah tanah kubur di Kampung Lepar itu. Dia memerhati isterinya Mek Jarah. Dia sangat masak dengan perangai panas baran isterinya. Pantang tercuit, dia akan menyinga. Kadangkala tidak setimpal dengan benda yang menjadi punca marahnya. Dari muda hingga ke tua. Begitulah lagaknya.
Lama Mek Jarah diam membatu. Kemudian dengan nada marah dia mendengus, “Aku hendak rodok perut Bidin tukang sembelih. Biar terburai. Biar dia mati. Orang tak berhati perut macam dia tak payah hidup lama atas dunia ni.
“Empat bulan kerbau dia kita bela. Kita heret ke hulu ke hilir, mencari tempat ragut. Pagi bawa keluar kandang. Tengahari kita alihkan ke bawah pohon Lepar atau pohon Berangan supaya teduh.
Empat bulan kita menapak ke tepi paya sagu, mencerut rumput di tebing paya. Terkial-kial memikul cagak yang sarat dengan rumput yang dicerut untuk diberi makan kerbau tu. Daripada kurus kering sehingga menjadi gemuk berisi. Bila dah gemuk, dia ambil balik dan sembelih. Dagingnya dijual. Ada dia nak bagi upah penat lelah kita membela kerbaunya? Sia-sia buat baik kepada orang yang tak tahu menilai titik peluh orang.” Panjang leter Mek Jarah.
Patah-patah perkataan tersembur keluar bagai bertih digoreng. Tangannya masih tidak berhenti mengasah sabit.
“Kau jangan nak mengamuk. Kita bersabarlah. Semuanya milik Allah. Rezeki juga daripada-Nya. Kita berdoa sajalah kepada-Nya supaya orang zalim mendapat balasan. Lambat laun adalah balasan untuknya. Kalau bukan di atas dunia, di akhirat sana nanti.” Dolah menasihati Mek Jarah.
Mek Jarah masih diam. Seperti tunggul. Sabit terus diasah. Walaupun sudah berkilat menandakan tajam matanya. Tiada tanda-tanda kendur amarah Mek Jarah.
“Jarah! Kalau kau teruskan niatmu nak membalas dendam begini, sampai di sini sajalah rumah tangga kita.” Sergah Dolah. Sudah tidak diendah dengan nasihat, Dolah mengugut pula.
“Aku tak sanggup kehilangan isteri kerana dipenjarakan. Aku tak sanggup melihat anak-anak tiada ibu. Aku tak mahu dimalukan dengan kes bunuh disebabkan seekor kerbau. Tidak berbaloi!”
Sambung Dolah lagi dengan nada keras.
Mek Jarah bagai tersentak daripada lamunan. Kata-kata Dolah bagai panah yang menusuk ke hatinya. Dia menilai semula dendam kesumat yang membakar hatinya. Dia kembali sedar daripada rasukan syaitan. Dia berlalu ke dapur. Mukanya masih masam mencuka. Dalam hatinya masih ada rasa kecewa.
Sabit tajam itu disimpan di bawah dapur kayu. Dia turun tangga ke jemuran dan mengambil wudhu. Dia pernah dengar ceramah agama di surau di hujung kampungnya, kalau kita dalam keadaan marah maka sangat digalakkan untuk kita mengambil wudhu.
Marahnya telah reda. Asar telah hampir berlalu pergi. Sekejap lagi akan masuk waktu maghrib. Dolah sudah siap memasang pelita di ruang tengah dan di ruang dapur. Mek Jarah siapkan makanan untuk makan malam dalam dulang besi dan ditutup dengan tudung saji. Tudung saji itu hasil anyamannya sendiri.
Dia gemar mencari daun mengkuang di tepi paya. Biasanya selepas menambat kerbau dia akan mencerut daun mengkuang. Daun-daun itu dibuang duri di tepinya, direndam dalam air supaya lembut, kemudian dipotong memanjang mengikut saiz yang dikehendaki, biasanya selebar jari, supaya senang dianyam. Setelah dijemur kering dia akan mengikat daun-daun itu dan disimpan di tepi ruang dapurnya, sedia untuk digunakan. Dia gemar menggunakan daun-daun itu dalam warna aslinya tanpa dicelup warna. Jika menggunakan pewarna, kosnya akan bertambah.
Kerjanya pun akan bertambah. Lagi pun dia suka warna asli daun mengkuang. Warna kuning langsat.
Selain tudung saji, Mek Jarah juga mahir menganyam tikar. Tikar mengkuang digunakan untuk alas tidur. Boleh juga dibentang jika ada tetamu berkunjung ke rumah. Kadang kadang kawan-kawannya di kampung itu menempah tikar mengkuang daripada Mek Jarah. Dia akan menganyam saiz tikar mengikut yang ditempah. Kadang kala ada juga pelanggan yang mahukan tikar berwarna-warni. Mungkin untuk dihadiahkan kepada kawan-kawan. Tentunya yang berwarna lebih cantik untuk dijadikan hadiah.
Dapatlah menambah sedikit pendapatannya, selain daripada menanam pelbagai jenis sayur-sayuran di tepi parit tali air. Selain untuk dimakan sendiri, selebihnya dijual dengan harga yang murah kepada orang kampung. Itu saja kerja kampung yang dia dapat lakukan untuk menambah pendapatan keluarga.
Suaminya Dolah seorang tukang rumah. Dia pakar membina rumah kayu. Kepandaian turun temurun dalam keluarga Dolah. Arwah atuk dan ayahnya juga tukang rumah tersohor di kampungnya. Dia akan ke mana sahaja untuk mengambil upah membuat rumah. Kadangkala sampai ke Terengganu.
Jika jarak jauh begitu, Dolah terpaksa meninggalkan rumah dan balik di hujung minggu sahaja. Dia akan membina bangsal sementara berhampiran tempat dia menyiapkan rumah untuk tempat berteduh. Makan minum biasanya disediakan oleh tuan rumah. Upah membina rumah kayu tidaklah seberapa. Cukup untuk menyara keluarganya empat beranak.
“Sewaktu balik daripada menyiram sayur-sayur di tepi parit tali air petang tadi, saya berjumpa Lebai Leman.” Mek Jarah memulakan cerita selepas anak-anak sudah lena tidur. Seperti biasa seusai makan nasi mereka menghirup kopi panas sambil bertukar-tukar cerita. Dolah mendengar sahaja sambil mengangguk.
“Kata Lebai Leman, Bidin nak pergi umrah bulan depan. Itu yang saya naik angin tadi tu. Apa tidaknya. Penat lelah kita sedikit pun dia tak reti nak hargai.”
“Orang lain sebelum ni tahu saja nak bagi upah untuk membela lembu atau kerbau mereka. Takkan dia ingat kita buat kerja ini percuma saja.” Bebel Mek Jarah dengan nada kesal.
“Sudah sudah lah tu. Biarlah dia. Kita serah sahaja kepada Tuhan yang membalasnya.” Pujuk Dolah.
“Saya pesan kepada Lebai Leman supaya beritahu sepupunya Bidin. Sebelum ke Mekah tu bayarlah upah kita membela kerbaunya tu. Tak nak bagi banyak, bagi sikit pun tak apa.” Sambung Mek Jarah.
“Esok nanti saya nak dengar apa jawab Bidin.” Mek Jarah masih mengharap.
“Yalah. Tapi kalau dia tak mahu bagi, janganlah awak mengamuk lagi ya.” Pesan Dolah kepada Jarah.
Seminggu sebelum Bidin berangkat ke Mekah, dia membuat jamuan laksa untuk solat hajat dan doa selamat. Sanak-saudara dan orang kampung yang berdekatan dijemput ke rumahnya selepas solat zohor. Jamuan doa selamat ini menjadi kelaziman penduduk kampung sebelum bermusafir jauh.
“Jarah. Marilah kita pergi sama-sama ke rumah Bidin.” Ajak Kiah jiran Mek Jarah.
“Engkau pergilah Kiah. Aku dan Abang Dolah tak nak pergi. Kami tak akan pijak lagi rumah Bidin tu. Setakat nak makan laksa kami boleh beli sahaja di kedai.” Tegas Mek Jarah.
Dolah yang duduk termangu di muka pintu mendengar sahaja kata-kata Jarah. Dia cuma senyum dan angguk kepala. Bila masuk musim tengkujuh tidak ada orang membina rumah. Kalau ada kerja cuma untuk membaiki ruang atau atap yang bocor sahaja. Kalau hujan turun kerja-kerja memanjat untuk membaiki atap tidak dapat dilakukan.
“Kenapa lain macam bunyi jawapan kau Jarah? Macam orang marah. Ada apa-apa berlaku ke? Kau kelahi dengan Bidin ke?” Soal Kiah, cuba mencungkil keduduk hal sebenar.
“Kelahi apanya. Saja je. Malas aku. Pergilah cepat. Nanti habis laksa tu, kempunan pula kau.” Acuh tak acuh Jarah menjawab. Dia mengelak daripada menceritakan kisah yang telah berlaku.
Memang perangainya tidak suka bercerita tentang kisah-kisah begitu. Biarlah dia dan Dolah sahaja yang tahu.
Tidak lama selepas Kiah berlalu pergi, datang pula Lebai Leman singgah di depan tangga mereka.
“Tak nak pergi makan laksa rumah Bidin ke Dolah, Jarah?” Soalan itu muncul lagi.
“Taklah. Jarah dah menanak nasi. Hujan-hujan ni sedap makan nasi dengan ikan puyu masak gulai masin pedas dan ulam-ulaman cicah budu.” Perlahan Dolah menjawab. Dia tidak mahu Mek Jarah naik angin lagi.
Beberapa hari sebelum Bidin berangkat, riuh sekampung berita seekor kerbau Bidin mati terlentang di atas padang belakang rumahnya. Tiada tanda-tanda perbuatan khianat daripada sesiapa. Bidin akur. Memang ajal kerbau jantannya itu telah sampai. Dalam lubuk hati kecilnya terdetik pesan Mek Jarah yang disampaikan oleh Lebai Leman. Duit upah Mek Jarah pelihara kerbau tempoh hari tidak dibayar. Dia beristighfar. Cepat-cepat dia mencapai duit daripada dompetnya dan digulung ke dalam kilas kain pelikatnya. Laju dia berjalan ke rumah Jarah. Dia perlu selesaikan hutang itu. Dia tidak mahu ibadah umrahnya nanti tergantung pahalanya.
“Jarah, Jarah.” Jerit Bidin di tangga.
“Oh, Bidin. Ada hal apa?” Jarah pura-pura bertanya. Cerita tentang kerbau Bidin yang mati telah riuh sekampung.
“Mana Dolah? Ni haa. Aku datang nak bayar upah kamu menjaga kerbau aku dulu tu. Sebelum aku pergi untuk tunaikan umrah. Aku nak minta maaf salah silap aku. Maafkan aku lambat membayar upah kamu menjaga kerbau-kerbau aku tu. Kerbau yang dua ekor lagi tu aku nak upah kamu menjaganya juga sementara aku di tanah suci. Aku nak bagi upahnya siap-siap, boleh tak begitu?” soal Bidin.
“Saya takut kerbau yang saya jaga nanti mengalami nasib serupa dengan yang jantan tu. Saya tak ada duit untuk membayar ganti rugi kalau terjadi apa-apa.” Mek Jarah menyatakan kegusarannya.
“Kalau apa-apa terjadi pun aku reda. Aku tak akan minta ganti rugi. Itu rezeki kita yang Allah dah tetapkan. Tolonglah. Aku tak tahu siapa lagi yang boleh aku harapkan,” Pujuk Bidin.
“Baiklah. Kalau kau betul-betul nak kami bantu, aku setuju. Doakan kami juga supaya dapat menunaikan haji. Semua upah menjaga kerbau atau lembu memang kami asingkan ke tabung untuk ke tanah suci.” Terang Mek Jarah.
Dia mencongak dalam kepala. Tak lama lagi. Insya-Allah. Tabung itu sudah hampir penuh. Cukup sahaja jumlahnya, dia akan mendaftar untuk menunaikan fardu haji.
“Semoga Allah menjemput kami ke tanah suci.” Doanya dalam hati. Matanya berkaca. – UTUSAN