Kad cinta bersimbah darah

Kad cinta bersimbah darah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Muhaimin menyandarkan kepalanya yang terasa berat ke sofa di ruang menunggu unit rawatan rapi. Sebuah keluhan yang sarat dilepaskan bagi meredakan jiwanya yang rusuh. Di katil unit rawatan rapi , isteri tercintanya Mawar masih bertarung nyawa sejak enam jam yang lalu, Mawar masih lagi kritikal ekoran kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi. Mawar terpaksa dibantu dengan alat pernafasan sehingga dia keluar daripada zon kritikal.

Memori Muhaimin segera mengimbau kepada pertelingkahan awal pagi tadi sehingga menyebabkan Mawar merajuk dan menolak dihantar ke pejabatnya. Mawar yang telah lama tidak memandu, nekad mencapai kunci kereta dan memandu kereta sendirian. Muhaimin berasa terkejut dengan tindakan Mawar namun tetap membiarkan sahaja.

Mawar yang dikenalinya memang takut untuk memandu. Lesennya diperbaharui untuk tujuan kecemasan sekiranya Muhaimin sakit atau berada di luar kawasan. Pagi yang bermula ceria akhirnya bersambung dengan cerita duka dan penantian yang mendebarkan.

“Abang, jangan lupa dua minggu lagi ulang tahun perkahwinan kita yang kelima,” suara Mawar lunak menyapa. Muhaimin melirik ke arah Mawar yang sedang menyediakan sarapan.

Sudah lima tahun Muhaimin dan Mawar melayari bahtera rumahtangga. Selama itu jugalah penantian hari demi hari selama lima tahun menanti zuriat yang penyeri rumahtangga bagaikan pengembaraan di gurun tandus mencari setitik air.

Pelbagai usaha telah dilakukan mereka demi putera atau puteri penyambung zuriat namun segalanya belum membuahkan hasil. Muhaimin dan Mawar bertemu jodoh di usia yang agak lewat.

Tahun ini setelah lima tahun berkahwin, kedua-duanya akan menjejak umur 40-an, satu usia yang agak lewat untuk mengharapkan kehadiran cahaya mata.

Tahun itu Mawar sendiri yang memutuskan untuk pasrah pada ketentuan Ilahi. Mawar juga pernah berkias memberi keizinan kepada Muhaimin sekiranya dia ingin mencari jodoh lain demi kesinambungan keturunan, namun Muhaimin yang menolak. Dia memilih untuk setia dan terus menemani Mawar melayari hari-hari tua yang bakal mendatang.

Kehidupan mereka pada zahirnya kelihatan harmoni dan romantis, namun Muhaimin kini sedar Mawar menderita memendam rasa ekoran pemikirannya yang sempit. Muhaimin sedar Mawar terus-terusan tersinggung dengan reaksinya terhadap sambutan Hari Kasih Sayang yang diraikan pada setiap 14 Februari.

Tarikh itu juga adalah tarikh mereka melafazkan akad setia ijab kabul menjadi suami isteri. Mawarlah yang beria mencadangkan tarikh keramat itu sebagai permulaan simpulan cinta mereka.

Tarikh 14 Februari pada tahun itu berkebetulan jatuh pada Hari Jumaat dan hari Raya ketiga Aidil Adha. Menurut Mawar, tarikh itu memang semua ahli keluarga berkumpul di kampung meraikan Aidil Adha.

“Abang dengar atau tidak?” Mawar meninggikan suaranya setelah dilihat Muhaimin hanya diam membisu dan pandangannya kosong merenung ke skrin televisyen yang tertutup.

Muhaimin menghela nafas perlahan-lahan. Fikirannya mula melayang mengingati peristiwa lalu yang berulang setiap menjelangnya 14 Februari. Setiap tahun pertelingkahan itu bermula hanya daripada permintaan kecil Mawar untuk satu makan malam romantis untuk mereka berdua.

Bukan semestinya di restoran atau hotel terkenal, di gerai makan bahkan di rumah pun tidak mengapa, kata Mawar yang penting mereka berdua meraikan genapnya ulang tahun perkahwinan dan mengulang ikrar cinta agar kasih sayang yang bersemi semakin menebal dan setia hingga ke hujung nyawa. Muhaimin tahu, sikapnya yang terlalu tegas dengan pandangannya bahawa meraikan hari kasih sayang pada setiap 14 Februari hukumnya haram membuatkan Mawar memendam rasa dalam diam. Muhaimin masih ingat bagaimana saban tahun perbincangan menjadi semakin hangat dan berakhir dengan rajuk Mawar.

Muhaimin tersedar daripada lamunan dan mencari kelibat Mawar. Sepinggan kuetiau goreng udang beraroma lazat memancing selera terhidang di meja. Seperti biasa, setelah menyediakan sarapan, Mawar akan bersiap-siap ke tempat kerja. Muhaimin yang telah bersedia daripada awal menunggu Mawar bersiap sambil menyuap makan perlahan-lahan. Masakan Mawar selalunya enak di deria rasanya. Cukup selera dan penuh kasih sayang. Begitulah rutin pergerakan mereka setiap hari. Muhaimin akan menghantar Mawar ke tempat kerja sebelum kembali ke rumah meneruskan urusan perniagaan atas talian. Mawar pula bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah jabatan kerajaan.

“Mawar tempah restoran ya,” Muhaimin terkedu. Sangkanya Mawar telah melupakan hal itu seketika dia berlalu untuk bersiap tadi, rupanya fikirannya barangkali sedang ligat mengatur rencana restoran mana yang bakal ditempah untuk meraikan hari kasih sayang dua minggu lagi.

Muhaimin memandang tepat ke anak mata Mawar yang sedang menunggu penuh harap. Tahun ini bagi Mawar lebih istimewa. Manakan tidak sudah hampir setengah dekad mereka melayari hidup berdua.

Secara jujurnya dia dan Muhaimin tidak pernah bergaduh besar tentang hal-hal lain selain berkaitan prinsip meraikan hari ulangtahun perkahwinan mereka pada setiap 14 Februari. Mawar sendiri kadang-kadang keliru.

Berulangkali dia mempertahankan bahawa sebab utama 14 Februari dipilih sebagai tarikh pernikahan bukanlah kerana dia mahu mengingati hari kasih sayang yang diraikan muda-mudi. Tarikh itu memang sesuai kerana ahli keluarga telah pulang ke kampung untuk meraikan Aidil Adha, sementelahan pula jatuh pada hari Jumaat penghulu segala hari. Justeru, saban tahun setiap 14

Februari akan menjadi tarikh istimewa yang perlu mereka raikan sebagai momen menyulam dan menghangatkan kembali kasih sayang.

“Mawar, jangan mulakan sesuatu yang tidak perlu. Rasanya lima tahun sepatutnya sudah cukup untuk membuatkan Mawar faham pendirian abang. Abang ada prinsip sendiri. Kita boleh raikan kasih sayang setiap hari, bukannya hanya terhad kepada hari ulang tahun perkahwinan sahaja,”

Muhaimin tidak sempat menghabiskan kata-katanya apabila Mawar berpatah balik ke bilik mereka dan kembali semula dengan kunci kereta Mazda CX5 kepunyaannya. Kali terakhir Mawar memandu adalah ketika menjalani ujian memandu beberapa bulan selepas mereka berkahwin. Barangkali hari ini rajuk Mawar tidak dapat dibendung lagi.

Tanpa sepatah kata, Mawar menyalami tangan Muhaimin namun riak wajah penuh kekecewaan sempat dikesan Muhaimin. Mawar memandu keluar dari parkir dengan penuh hati-hati. Nampak terkial-kial juga dia mengundurkan kereta bagi mengelak kereta bergesel dengan tiang parkir. Akhirnya, kelibat Mawar dan keretanya menghilang di sebalik pagar tembok yang mengelilingi rumah mereka.

Muhaimin bergegas menutup pintu pagar yang terbuka luas. Dalam kekalutan menyusur keluar, Mawar terlupa menutup pagar rumah. Muhaimin memasuki semula ruang makan. Sejenak dia terpandang telefon Mawar yang berada di atas kaunter dapur. Dalam kalut jiwanya menahan rajuk, Mawar terlupa pula membawa telefon. Muhaimin menggelengkan kepalanya.

Ini pertama kali berlaku sejak perselisihan pandangan mengenai sambutan hari kasih sayang menjadi dilema yang tiada penghujung. Biasanya Mawar tetap mahu dihantar ke tempat kerja .Tidak pernah pula Mawar bertingkah luar biasa seperti ini. Biasanya Mawar akan membisu melayan rajuknya tetapi mereka tetap akan pergi bersama-sama ke mana-mana sehinggalah rajuknya reda.

Muhaimin akui dia bukan lelaki romantis yang selalu mengungkap kata-kata cinta atau mengirim jambangan bunga kepada isteri seperti yang selalu Mawar ceritakan usai pulang daripada pejabat. Itulah yang selalu diirikan Mawar apabila suami rakan sekerjanya selalu mengirim bunga atau hadiah ke pejabat.

Cara Muhaimin menzahirkan penghargaan dan kasih sayangnya untuk Mawar berbeza. Dia lebih suka menunjukkan kasih sayang dengan membantu Mawar, memasak bersama-sama dan tidak segan silu melakukan kerja rumah seperti menjemur pakaian dan melipatnya. Muhaimin rasakan cara itu lebih praktikal.Tidak perlu berpuisi atau menzahirkan ayat-ayat cinta dalam bentuk sambutan, hadiah atau kad ucapan.

Muhaimin kembali ke bilik yang dijadikan pejabat untuk menyambung tugas menyiapkan beberapa proposal untuk projek baru.

Deringan telefon mengejutkan Muhaimin..Suara ibu mentuanya di hujung talian dalam esak tangis menyebabkan degupan jantung Muhaimin semakin kencang. Ibu mengkhabarkan bagaimana berita kemalangan Mawar disampaikan oleh dua pegawai polis yang menjejak rumahnya melalui kad pengenalan Mawar. Telefon bimbit Mawar tiada di tempat kejadian untuk memungkinkan pihak hospital menelefon waris terdekat.

Kata ibu, Mawar gagal mengawal kenderaannya sehingga terbabas ketika melewati selekoh dan melanggar pembahagi jalan. Muhaimin memecut ke hospital untuk segera melihat keadaan Mawar. Perasaan cemasnya semakin tidak terkawal apabila ibu mengatakan Mawar telah dimasukkan ke unit rawatan rapi dan belum sedarkan diri.

Muhaimin tersedar daripada imbasan memori yang mendalam itu ketika merasakan bahunya disentuh seseorang. Seorang lelaki berkot putih memperkenal diri sebagai Doktor Amsyar.

Daripada penerangan Dr. Amsyar, Mawar mengalami kecederaan parah di bahagian otaknya dan telah menjalani pembedahan kecemasan untuk membuang darah beku.

Mawar masih memerlukan bantuan pernafasan sehingga keadaannya bertambah baik. Muhaimin cuba menguatkan semangat dan berusaha menahan airmatanya dari tumpah di hadapan Dr Amsyar. Mawar akan dirawat di unit rawatan rapi sehingga keadaannya benar-benar stabil. Hanya takdir dan masa yang akan menentukan.

“Apapun, syukurlah, kandungan Puan Mawar selamat. Tahniah! Encik Muhaimin. Puan Mawar hamil enam minggu,” ujar Dr Amsyar sejurus sebelum berlalu.
Muhaimin semakin terkesima apabila jururawat yang bertugas malam telah menyerahkan barang peribadi Mawar berupa pakaian yang dipakai pada waktu kejadian dan beg tangan mengandungi dompet serta sebuah kotak kecil berwarna putih.

Kata jururawat, Mawar menggenggam erat kotak putih itu sewaktu dikejarkan ke hospital meskipun kedua belah tangannya cedera terkena percikan kaca.

Sebahagian daripada isi kotak berupa beberapa keping kad berwarna putih telah bersimbah darah. Muhaimin segera membuka kotak untuk meninjau isi kandungannya.

“Maafkan segala kekhilafan Mawar. Mawar akui, permintaan Mawar untuk meraikan hari ulangtahun perkahwinan kita yang kebetulan bersamaan dengan hari kasih sayang membuatkan abang merasa seolah-olah Mawar tidak cuba untuk memahami prinsip abang.Tentang kefahaman dan pendirian abang tentang larangan agama untuk meraikan hari kasih sayang.

“Tapi untuk kesekian kalinya Mawar mohon pengertian abang. Setiap kali ulangtahun perkahwinan kita, Mawar menulis sekeping kad cinta untuk abang tapi tidak pernah sekali pun Mawar serahkan pada 14 Februari kerana takut tambah mencalar emosi abang. Tahun ini ulang tahun yang kelima, bermakna ada lima keping kad cinta semuanya untuk abang.

“Mawar cuma ingin meraikan hari ulang tahun kita mengikat kasih sayang dan mahukan momen khusus untuk kita berdua menghayati hala tuju masa depan. Mawar bukan berniat untuk menyambut hari kasih sayang seperti mana yang abang katakan, tetapi kerana tarikh yang bersamaan. Ia hanyalah satu kebetulan.”

Lima keping kad cinta berwarna putih dihiasi riben emas dan bunga mawar kecil berwarna merah dan diisi dalam kotak empat persegi berbalut kain baldu putih Muhaimin belek satu persatu sehingga tiba ke kad kelima. Sebuah puisi cinta dan pengharapan Mawar nukilkan dengan tulisan tangan bertinta warna emas. Puisi berjudul “buah cinta kita” mengundang kobar di dada Muhaimin.

Di belakangnya Mawar kepilkan dengan sekeping gambar cetakan ultrasound sebuah kantung kecil berbentuk bulat berisi imej putih di atas latar hitam menyerupai embrio.
Muhaimin bagaikan tidak dapat mempercayai apa yang dilihatnya. Mungkin itulah kejutan yang disimpan Mawar khas untuk meraikan hari ulangtahun perkahwinan yang kelima mereka.

“Mawar, bertahanlah demi abang dan anak kita,” bisik Muhaimin sendirian.

Muhaimin mendakap kotak itu erat-erat, seolah Mawar yang berada dalam pelukannya. Hatinya sarat terisi penyesalan. Betapa dia mempersiakan perasaan dan harapan Mawar, walhal harapan itu tidaklah sesusah manapun untuk ditunaikan. Hanya sebuah keraian yang ringkas. Bukan hadiah yang mahal atau percutian ke luar negara pun. Muhaimin berjanji sebaik saja Mawar membuka matanya dia akan menemani Mawar meraikan ulang tahun yang bakal tiba hanya seminggu saja lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya