Persahabatan Akli, Bakti dan Naufal memang kukuh. Kukuh seperti Gunung Kinabalu. Persahabatan mereka terlalu erat, ibarat pintalan tali, ikatannya kemas dan kemim. Tidak ada sesiapa yang boleh mengurai untuk merombaknya. Mereka ibarat air dicincang tidak akan putus.
Jika mereka kembara ke bukit sama didaki, jika ke lurah sama dituruni. Jika berat sama dipikul, jika ringan sama dijinjing. Ikatan mereka bertiga kukuh seperti aur dengan tebing, seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.
Keakraban mereka bermula sejak dari kecil. Begitu juga semasa di sekolah rendah, sekolah menengah dan memasuki universiti yang sama. Mengambil kursus pengajian sama. Pengajian Bahasa Melayu.
Seperti isi dengan kuku. Umpama dakwat dengan kertas atau beliung dengan asahan. Begitulah umpama persahabatan mereka.
Tetapi lumrah kehidupan ini tidak pernah kekal. Perancangan mereka bertiga tidak sama dengan perancangan Tuhan. Perancangan Tuhan lebih adil dan sempurna, Tetapi manusia punya rasa, Tuhan maha berkuasa.
Begitulah akhirnya apa yang berlaku pada persahabatan akrab Akli, Bakti dan Naufal. Ikatan mereka tiba-tiba menjadi renggang dan longgar. Tetapi masih tidak putus sepenuhnya.
Tetapi kini seperti retak menanti belah atau bagai telur di hujung tanduk. Mujurlah hanya menjadi retak kayu boleh disimpan, retak pinggan susah hilangnya. Genting putus, biang tembuk.
“Ini adalah keputusan aku. Keputusan yang muktamad. Aku tidak akan berganjak lagi walaupun setapak.” Akli bertegas.
Bakti dan Naufal tersentak. Mereka terkejut. Keputusan yang Akli buat telah terpesong jauh daripada janji dan ikrar yang mereka lafaz sebelum ini.
“Akli, kau sudah lupa perjanjian kita?” Bakti bersuara.
“Kita sudah berjanji, untuk sehidup semati. Untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Kata hendaklah dikota. Bahawa setiap keputusan yang akan dibuat mesti dipersetujui bersama.” Naufal mengingatkan Akli.
“Masalahnya ini adalah keputusan yang terlalu peribadi. Persoalan ini tidak boleh hanya kita bertiga membincangkanya.” Jelas Akli bersungguh-sungguh.
“Kenapa selama ini boleh. Ini soal perkahwinan Bakti. Ini berkaitan teman dalam kehidupan Naufal.” Jelas Akli.
“Ini keputusan kedua-dua orang tua aku. Ini pilihan mereka. Setumbuk bagai gelang, sejodoh bagai cincin. Aku hanya bersetuju. Aku hanya menurut. Aku tidak boleh mengecewakan hati mereka. Jasa mereka kepada aku terlalu besar. Mendidik aku sehingga menjadi manusia yang berjaya. Mereka adalah segala-galanya. Aku tidak mahu digelar anak durhaka.” Jelas Akli panjang lebar.
“Sejak bila keputusan yang kau buat, perlu dirujuk kepada ibu bapa kamu?” Bakti benar-benar kecewa.
“Masalah ini masalah rumit Bakti. Rumah tangga, perkahwinan, jodoh dan maut adalah ketentuan Tuhan. Calon isteri aku dan mungkin calon isteri kamu juga berbeza. Kita tidak boleh selama-lamanya merasai satu kehidupan yang sama. Kita mempunyai masa depan berbeza.” Akli tamatkan perbincangan mereka.
Akli hidupkan enjin kereta dan berlalu meninggalkan Bakti dan Naufa dalam keadaan tidak berpuas hati. Bakti dan Naufal masih bingung memikirkan keputusan dan tindakan yang Akli ambil. Kenapa Akli tiba-tiba membuat keputusan bersendirian? Jarang benar Akli bersikap begini. Kenapa Akli berpaling tadah. Kenapa janji tidak ditepati. Jangan terdorong kaki badan merasa, terdorong lidah emas padahnya.
Bakti dan Naufal sedia maklum. Sepanjang persahabatan mereka, masing-masing telah mengenali sifat tersendiri, walaupun sebahagian besar ada persamaan. Akli mempunyai perwatakan tegas, Jika itu keputusan yang dibuat, Akli tidak akan berganjak lagi. Dia lelaki yang tegas. Biar pecah perut, bumi merekah atau ditolak tak tumbang atau memegang erat, menggengam teguh.
Dan tentunya jika berita ini sampai ke pengentahuan rakan-rakan mereka yang lain seperti Seruan, Peratus, Sepang, Bintang, Campur, Tolak, Bahagi, ia akan menjadi kecoh. Kecoh kerana persahabat kemas kemim yang mereka bertiga bina telah runtuh dan terburai.
Akli akhirnya bersama ahli keluarga hadir di majlis peminangan Ringgit. Akli menyarungkan cincin belah rotan ke jari manis Ringgit. Gadis kampung pilihan ibu bapa Akli. Dan Akli sendiri menyetujuinya. Pertunangan mereka hanya enam bulan sahaja. Kerana pernikahan dan persandingan mereka akan dijalankan hujung tahun.
Ketika majlis pertunangan Akli, Bakti dan Naufal tidak dijemput. Kebiasaannya mereka bertiga tidak pernah berengggang. Setiap majlis perkahwinan rakan-rakan, sambutan hari jadi atau pun melancong ke luar negeri mereka akan bersama. Kali ini Akli telah berkerat rotan berpatah arang dengan Bakti dan Nafal
Pada hari pertunangan Akli, Bakti dan Naufal hanya berkurung di rumah. Rasa kecewa dan hiba menyelubungi mereka berdua. Gambar-gambar pertunangan Akli dan Ringgit mula tersebar di dalam grup WhatsApp, Instagram, Facebook. Semua foto yang sampai, Bakti dan Naufal padam. Mereka tidak mahu melihat kemeriahan yang sedang Akli lalui. Satu yang dipadam, 10 yang masuk terutama di dalam grup sekolah, grup guru Bahasa Malaysia. Dan lebih menyedihkan grup pekerja sekolah pun ada.
Ternyata hubungan mereka bertiga tidak seakrab dahulu lagi. Masing-masing membawa diri seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Namun hubungan Bakti dan Naufal masih lagi berjalan sehinggalah tiba-tiba Bakti membisikkan sesuatu kepada Naufal.
“Jika difikir secara waras, tindakan yang Akli ambil itu adalah betul.” Jelas Bakti. Naufal terperanjat dengan pendirian Bakti.
“Apa yang betul?” Naufal tidak faham.
“Akli buat keputusan untuk bertunang dan akan berkahwin.” Jelas Bakti.
Naufal semakin keliru. Penjelasan Bakti itu membuat dia dalam situasi penuh persoalan.
“Kenapa kau kata begitu?”
“Kita masing-masing mempunyai masa depan. Kita masing-masing ada tanggung jawab. Kawan-kawan kita sudah ramai yang mendirikan rumah tangga. Malah Alfa dan Beta sudah pun mempunyai cahaya mata. Cuma tinggal kita bertiga yang masih membujang. Sampai ke bila kita harus hidup begini?” Jelas Bakti.
“Kau sudah terpengaruh Bakti.” Herdik Naufal.
“Ya benar, kerana aku pun dalam persiapan ke arah itu.” Bakti berterus-terang.
“Tetapi aku sedikit keliru.” Sambung Bakti.
“Kau hendak kahwin tetapi keliru? Kenapa?” Naufal tiba-tiba merasa keliru.
“Pertama, aku sedang memikirkan nasib kamu, Naufal. Kedua, aku sukar untuk memilih calon isteri ku.” Jelas Bakti
“Sampai berapa orang calon isteri kamu?” Naufal memperli.
“Cikgu Ex, guru Matematik di sekolah yang sama dan gadis U kenalan muka buku.” Jelas Bakti.
“Kamu memang tidak ada pendirian Bakti. Sekejap begitu dan sekejap begini. Dahulu marahkan Akli kerana kahwin. Sekarang pula segala tindakan yang Akli ambil semua betul. Yang mana satu pendirian kamu? Kamu ini seperti baling-baling di atas bukit. Baling batu sembunyi tangan. Ke mana angin deras, ke situ ia condong. Yang rebah disokong, yang rebah ditindih.”
Bakti terdiam. Dia tidak menjawab persoalan yang Naufal kemukakan. Dia tidak mahu mengeruhkan suasana. Tetapi di dalam hatinya telah ada keputusan sebenar. Bahawa dia sudah mencapai kata putus setelah berbincang dengan keluarganya, umpama bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Dia akan berkahwin dalam masa terdekat.
Khabar itu kemudian dia sampaikan kepada Akli. Akli sampai kepada kawan-kawannya yang lain. Semua memuji tindakan Bakti.
Persoalan yang lebih berat terpaksa Bakti fikirkan, siapakah calon bakal isterinya? Cikgu Ex atau kenalan dalam muka buku bernama U?
“Saranan aku, pilihlah orang kau kenal hati budinya. Orang yang kau sapa setiap hari. Orang yang kau tengok pagi dan tengok petang.” Mesej daripada Akli itu akhirnya menjadi panduan Bakti.
Keluarga Bakti pun menghantar rombongan meminang ke rumah Cikgu Ex. Dan kini Bakti dan Cikgu Ex telah bertunang. Hujung tahun ini mereka akan diikat dengan ijab kabul sebagai suami isteri.
Cikgu Naufal seperti orang sasau. Semua kerja yang dibuat serba tidak kena. Dia amat sukar menghadapi hari pertama persekolahan setelah bercuti hampir sebulan. Kelopak matanya seperti dijahit. Sukar untuk dia celik, biar pun jam penggera sudah beberapa kali berbunyi.
Tubuhnya terasa berat. Tulang sendi terasa sengal-sengal. Dipaksanya bangun. Dia menggeliat dalam keadaan masa terpejam. Dicapai kain tuala dan masuk ke bilik air sebagai persediaan untuk ke sekolah.
Tiba-tiba Naufal teringatkan Akli. Tentunya Akli bangun lebih awal. Tentu isterinya Ringgit, mengejutkan Akli. Ringgit tentunya bangun awal pagi. Ringgit akan panaskan air serta menyiapkan sarapan pagi sebelum Akli ke sekolah. Alangkah bahagianya Akli. Alangkah sempurnanya hidup Akli.
Dengan mengurus diri secara ala kadar, Naufal menghidupkan enjin keretanya. Dia juga teringatkan Bakti. Bakti juga mungkin sedang menuju ke sekolah. Timbul beberapa persoalan di benak fikiran Naufal. Sudahkah Bakti bertunang? Kalau bertunang dengan siapa? Cikgu Ex? Atau dengan gadis bernama U?
“Ah…” Dengus Naufal.
‘Aku memikirkan Akli dan Bakti. Tetapi aku tidak pernah memikirkan masa depan aku sendiri. Peraturan hidup aku tidak tersusun. Makan minum aku tidak menentu. Pakaian aku tidak terurus.
Tidur bangun aku pun sering tersasar.’ Gelodak dalaman jiwa Naufal sedang beralun.
Naufal masuk ke kelas hari itu dengan langkah longlai, Dia mengajar hari itu dengan fikiran tepu. Dia melihat murid-murid dengan kelopak mata tidak bermaya antara celik dan tidak. Fikirannya sedang terbayangkan Akli dan Bakti. Dia ingin sangat-sangat menemui mereka berdua.
Kerinduan kepada sahabat sejati sejak dari kecil sedang menindih perasaan. Mahu sahaja dibuang yang keruh, diambil yang jernih.Sebusuk-busuk daging, dicecah dimakan juga. Hubungan mereka ibarat cecang air tidak akan putus. Dan tentunya biduk berlalu, kiambang bertaut.
‘Perlukah aku menemui mereka? Masihkah mereka menerima aku? Apakah aku yang bersalah?’ Persoalan itu menguasai jiwa Soal.
Sebulan kemudian. Pada cuti hujung minggu, Naufal sedang berehat di beranda setelah selesai solat Asar. Deringan telefon bersilih ganti. Ada WhatsApp dari Akli dan Bakti.
‘Aku sampai sekejap lagi.’ Naufal menerima whatsApp dari Akli.
‘Kau ada di rumah?’ WhatsApp dari Bakti pula sampai.
Naufal tergopoh-gapah masuk ke ruang tamu seperti kucing kehilangan anak. Pakaian yang bertimbun tidak berlipat di atas sofa dicampak ke dalam bilik. Kusyen sofa yang berselerak di atas karpet disusun kembali.
Kereta milik Akli dan Bakti sampai selang seminit. Naufal tercegat menanti para sahabat kesayangan yang terpisah sejak enam bulan lalu.
“Ini diperkenalkan isteri aku Ringgit. Maafkan aku tidak menjemput kau ke majlis persandingan kami. Tempatnya jauh di hujung negeri.” Akli menggengam erat tangan Naufal.
“Ini tunang aku, Cikgu Ex. Ini kad jemputan ke majlis perkahwinan kami akhir bulan ini. Kau mesti hadir Naufal.” Bakti juga berjabat tangan dengan Naufal.
Naufal terpinga-pinga seperti rusa masuk kampung, bagai kerang busuk. Dia berdiri kaku. Matanya terbeliak memandang wajah puan Ringgit dan Akli. Pasangan mereka seperti pinang dibelah dua, sama cantik sama padan atau umpama merpati dua sejoli. Diuji sama merah, ditahil sama berat, mereka sebenarnya sepadan benar.
Cikgu Ex tunangan Bakti pun cantik. Wajahnya seperti bulan purnama atau bagai cincin dengan permata. Tiba-tiba Naufal bertanya pada dirinya sendiri. Perlukah aku juga mempunyai pasangan hidup?
‘Aku sepatutnya kembali pada persahabatan yang asal, terapung sama hanyut, terendam sama basah atau kusut di hujung bawa ke pangkal.’ Keluh Naufal.
Naufal mendekati Bakti. –UTUSAN