Kembara menyentuh kebenaran

Kembara menyentuh kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Senja yang berbalut suram menghias langit di perkampungan kecil itu. Di sebuah masjid tua, di hujung pelataran desa, sekumpulan jemaah berjubah hijau sedang berbincang dengan tenang.

Namun, di sudut belakang, duduklah seorang pemuda bernama Azhar, yang diam-diam sedang menantikan kesempatan untuk mengajukan soalan-soalan yang bergolak dalam benaknya.

Azhar merapati seorang lelaki berjanggut putih, seorang pemimpin yang sudah lama dihormati oleh pengikut. Dialah Tuan Haji Zulqarnain, yang sering kali mendakwa dirinya menerima petunjuk-petunjuk luar biasa dari dunia ghaib, malah ada yang mengatakan dia sering berdialog dengan Rasulullah melalui yaqazah, mimpi yang didakwanya sebagai kenyataan.

Dengan suara perlahan dan penuh hati-hati, Azhar berkata: “Tuan Haji, ada beberapa perkara yang ingin ana tanyakan. Ana tak tahu sama ada ini hanya khabar angin atau benar-benar terjadi.”

Haji Zulqarnain memandang Azhar dengan senyuman, wajahnya bercahaya dengan keyakinan.

“Tanyalah, Azhar. Apa sahaja yang menjadi keraguanmu, ana akan cuba jelaskan.” Azhar menelan ludah, kemudian menyusun soalan yang sudah lama terbenam di fikirannya.

“Ana dengar, dalam beberapa majlis yang Tuan Haji anjurkan, ada yang mengatakan Tuan Haji berdialog dengan Rasulullah secara yaqazah. Tetapi, dalam dialog itu, Rasulullah dikatakan mengulas tentang soal politik negara, mengenai keadaan pemimpin dan masa depan umat.”

Wajah Haji Zulqarnain tidak berubah, tenang seperti selalu.

“Memang benar, Azhar. Itu adalah anugerah yang tidak semua orang dapat. Ana diberi keistimewaan berdialog dengan Rasulullah. Baginda datang dalam yaqazah, memberikan petunjuk kepada ana untuk menyelamatkan umat ini.”

Azhar termenung sejenak.

“Tetapi, Tuan Haji, bukankah Rasulullah tidak mungkin mengulas soal politik dunia sekarang? Ini bukan zamannya. Ana khuatir, kalau perkara ini dihebahkan, akan menimbulkan fitnah. Bukankah apa yang disampaikan oleh Rasulullah dalam mimpi atau yaqazah seharusnya menjadi rahsia dan tidak boleh didedahkan begitu sahaja?”

Tuan Haji Zulqarnain menarik nafas panjang, seakan-akan cuba meraih ketenangan dari suasana malam yang mulai larut.

“Azhar, apa yang ana ceritakan kepada orang ramai bukanlah untuk berbangga, tetapi untuk menyelamatkan umat ini daripada kehancuran. Rasulullah mencintai umatnya, dan Baginda pasti ingin kita tahu akan bahaya yang sedang menanti. Umat ini perlu disedarkan, perlu dipandu.”

Azhar menunduk, masih belum puas dengan jawapan itu.

“Namun, ada yang mengatakan dialog itu sebenarnya disediakan oleh orang lain, dan Tuan Haji hanya mengikut skrip yang telah dirangka. Jika benar begitu, tidakkah itu dianggap menipu,

Tuan Haji? Bukankah berdusta atas nama Rasulullah adalah dosa besar?” Haji Zulqarnain tersentak sedikit, namun wajahnya kembali tenang.

“Azhar, perkara ini bukan sekadar skrip. Ia adalah realiti yang ana alami sendiri. Orang yang menyiapkan skrip hanyalah untuk mempermudah pemahaman, namun apa yang ana alami adalah haq. Ana tidak akan berdusta atas nama Baginda.”

Azhar menatap wajah pemimpin itu dengan mata yang tajam tetapi tetap penuh hormat.

“Dan satu lagi, Tuan Haji… ada yang mengatakan Tuan Haji mengaku sebagai Pemuda Bani Tamam, seorang yang disebut-sebut akan menjadi penyokong utama Imam Mahdi. Tapi, saya tahu

Tuan Haji bukan keturunan Arab. Bagaimana mungkin dakwaan itu benar?”

Kali ini, Haji Zulqarnain kelihatan sedikit terganggu.

“Azhar, soal keturunan bukanlah satu-satunya tanda. Pemuda Bani Tamam bukan semestinya datang dari Arab secara mutlak. Ia adalah jawatan spiritual. Allah boleh mengangkat sesiapa sahaja menjadi pejuang akhir zaman, tidak kira dari mana asalnya.”

Azhar menggigit bibir, merasakan getaran dalam hatinya semakin kuat.

“Tuan Haji, ana risau kalau semua ini hanya tipu muslihat. Ana tidak mahu menyangka yang bukan-bukan, tapi ana takut kalau ini membawa kita jauh dari aqidah yang benar. Tuan Haji juga pernah mendakwa Allah akan menangguhkan bala bencana kerana doa Tuan Haji, sedangkan ana tahu qada’ dan qadar Allah tidak boleh diubah hanya kerana seseorang manusia.”
Haji Zulqarnain mengerutkan dahi.

“Azhar, enta masih muda dan belum memahami sepenuhnya rahsia-rahsia ketuhanan. Doa seorang wali boleh menangguhkan takdir. Allah mencintai hamba-hambaNya yang terpilih, dan Dia boleh mengubah keputusan-Nya kerana kasih sayang-Nya terhadap wali-wali-Nya.”

Azhar menghela nafas panjang. Dalam hatinya, dia tahu apa yang harus dilakukannya. Walaupun jawapan-jawapan itu diberikan dengan keyakinan, namun ia tidak menenangkan keraguan yang semakin membesar dalam sanubarinya.
“Tuan Haji,” akhirnya Azhar berkata dengan suara yang rendah tetapi mantap, “ana rasa perlu mencari jawapan yang lebih pasti dalam soal aqidah ini. Ana menghormati Tuan Haji, tapi ana tak boleh menerima semua ini tanpa bukti yang jelas. Agama ini lebih besar daripada seorang manusia, dan ana tak boleh kompromi soal akidah ana.”
Haji Zulqarnain memandang Azhar dengan penuh simpati.

“Azhar, jika itu keputusanmu, ana tidak akan memaksamu. Namun, ingatlah, apa pun jalan yang enta pilih, semoga Allah sentiasa memberikanmu hidayah dan taufik.”

Azhar mengangguk perlahan, lalu bangkit dari duduknya. Dia melangkah keluar dari masjid itu, meninggalkan suasana yang sepi namun sarat dengan persoalan.

Malam semakin larut, dan di bawah langit yang gelap, Azhar tahu perjalanan mencari kebenaran ini masih panjang. Akidahnya adalah kebenaran yang mutlak, dan tiada sesiapa pun yang boleh mengubah prinsip itu.

Azhar tidak pernah menyangka, perbincangannya tentang akidah dengan Haji Zulqarnain hanyalah permulaan. Hari demi hari, kegelisahan dalam dirinya semakin kuat. Dia tidak hanya mempertikai akidah, tetapi juga syariah yang diamalkan oleh jemaah itu. Pada suatu hari, dia memutuskan untuk bertemu dengan Ustaz Hassan, seorang ilmuwan fiqah yang terkenal dengan kebijaksanaannya.

Di sebuah madrasah yang tenang, di celahan kebun sawit, Azhar melangkah masuk, disambut oleh bau harum buku-buku lama dan tikar jerami yang menghampar lantai. Ustaz Hassan sedang duduk membaca kitab di sudut ruang, dan Azhar menghampirinya dengan langkah perlahan.

“Ustaz,” sapanya dengan penuh hormat, “ana datang dengan satu hajat. Ada perkara tentang solat yang ingin ana tanyakan, perkara yang ana temui dalam jemaah yang ana sertai sebelum ini.”

Ustaz Hassan mengangkat pandangannya dari kitab dan tersenyum lembut. “Silakan, anak muda. Ana sedia mendengar.”
Azhar duduk bersebelahan Ustaz Hassan dan mula bercerita tentang beberapa amalan yang dilihatnya dalam jemaah Haji Zulqarnain , terutama tentang solat jamak dan qasar yang diamalkan sepanjang masa.

“Ana diberitahu,” ujar Azhar dengan ragu-ragu, “Haji Zulqarnain dalam jemaahnya sentiasa melakukan solat jamak kerana beliau menganggap dirinya dan pengikutnya dalam keadaan musafir hakiki. Katanya, kerana beliau sering bergerak, maka mereka tidak perlu solat Jumaat dan boleh sentiasa jamak dan qasar.”

Ustaz Hassan menarik nafas panjang dan memandang Azhar dengan penuh simpati.

“Azhar, hukum musafir untuk membolehkan jamak dan qasar solat bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan. Musafir itu ada syaratnya, dan kalau seseorang berpindah-pindah tempat sebagai helah untuk membolehkan solatnya dijamak, itu bukan musafir yang dibenarkan syariat. Orang yang bermusafir kerana alasan yang tidak sah, tidak boleh mengambil rukhsah jamak dan qasar.”

Azhar mengangguk, seolah-olah mendapat pengesahan atas keraguannya selama ini.

“Ustaz, ada satu lagi perkara yang agak mengganggu ana. Dalam kuliah di Thailand, Haji Zulqarnain mengatakan membaca Surah al-Sajadah dalam solat Subuh pada hari Jumaat tidak digalakkan kerana bimbang akan berlaku penambahan sujud, dan itu boleh membatalkan solat. Ana rasa ia bertentangan dengan sunnah Rasulullah yang jelas tentang membaca surah itu.”

Ustaz Hassan tersenyum kecil, tetapi kali ini senyumnya bercampur kehairanan.

“Ini satu salah faham yang besar, Azhar. Membaca Surah al-Sajadah dalam solat Subuh pada hari Jumaat adalah sunnah yang jelas. Sujud tilawah yang dilakukan dalam solat tidak membatalkan solat, malah ia adalah sebahagian daripada amalan Rasulullah. Hukum ini telah lama diamalkan oleh ulama sejak zaman salaf. Tidak ada alasan untuk menghalangnya.”

Azhar diam sejenak, memikirkan kata-kata Ustaz Hassan. Rasa gelisahnya semakin menjadi-jadi apabila mengingatkan pengajaran lain yang lebih ganjil lagi.

“Tuan Haji juga,” sambungnya perlahan, “mengajar cara sujud yang berbeza, seperti menerap ke lantai. Katanya, itu adalah cara sujud yang diajar oleh Rasulullah melalui yaqazah yang dialaminya. Ana pernah mendengar ceritanya, tetapi semakin saya fikirkan, semakin ana rasa ada sesuatu yang tidak kena.”
Ustaz Hassan menggelengkan kepala dengan tegas.

“Azhar, sujud dalam solat adalah ibadah yang telah ditetapkan caranya oleh Rasulullah melalui sunnah yang jelas. Tidak ada sujud lain yang dibenarkan selain daripada apa yang kita warisi dalam syariat. Dakwaan bahawa sujud yang pelik-pelik itu berasal daripada yaqazah atau mimpi hanyalah rekaan yang tidak bersandarkan dalil. Sujud seperti itu tidak sah dalam solat.”

Azhar menarik nafas dalam-dalam. Setiap penjelasan yang diberi oleh Ustaz Hassan seolah-olah membuka pintu-pintu kebenaran yang selama ini tertutup baginya.

“Ustaz,” katanya dengan nada yang lebih yakin, “ana rasa selama ini telah ditipu. Banyak ajaran dalam jemaah Haji Zulqarnain yang disandarkan kepada mimpi dan yaqazah, malah arahan-

arahan tertentu dikatakan datang terus daripada Rasulullah melalui perantara. Ana tidak tahu bagaimana untuk menghadapi ini semua.”
Ustaz Hassan meletakkan tangannya di bahu Azhar, memberi isyarat supaya bertenang.

“Azhar, dalam agama kita, mimpi atau yaqazah tidak boleh dijadikan sumber hukum. Segala yang berkaitan dengan syariat telah sempurna ketika hayat Rasulullah. Jika ada yang datang dengan dakwaan baru atas nama yaqazah, itu adalah tanda bahaya. Apa yang enta alami adalah ujian dalam mencari kebenaran. Jangan khuatir, Allah tidak akan meninggalkan hamba-Nya yang ikhlas mencari jalan yang lurus.”

Azhar tersenyum pahit.

“Ana sudah jauh dalam jemaah itu, ustaz. Ana tidak tahu bagaimana untuk keluar dan memperbaiki keadaan.”
Ustaz Hassan menghela nafas panjang.

“Azhar, tiada jalan mudah dalam kebenaran, tetapi ingatlah, Islam adalah agama yang berdiri atas ilmu yang sahih dan akidah yang benar. Jika jemaah itu sudah tersasar dalam akidah dan syariah, enta perlu berani untuk meninggalkannya. Hati-hati, jangan biarkan diri enta terus tertipu dengan janji-janji kosong yang menyalahi ajaran Islam.”

Azhar memandang Ustaz Hassan, penuh dengan rasa syukur. Akhirnya, setelah sekian lama bergelut dengan keraguan, dia menemui jawapan yang dicari.

Dalam perjalanan pulangnya, angin malam menyapu lembut wajahnya. Malam itu, Azhar berazam untuk meninggalkan jemaah yang selama ini menjeratnya dalam kepalsuan dan meneruskan pencariannya terhadap kebenaran yang hakiki. – UTUSAN

Dengan langkah yang berat, namun hati yang kini terasa ringan, dia menyedari bahawa agama ini bukanlah milik seorang pemimpin atau mimpi, tetapi milik Allah dan Rasul-Nya yang terpelihara dalam al-Quran dan Sunnah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya