Kapal

Kapal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Langit pada petang Rabu itu mendung, petanda bahawa bumi akan dibasahi hujan. Burung-burung di langit mula menunjukkan kegelisihannya terbang dengan kelajuan yang tidak seperti kebiasaannya untuk mencari tempat berteduh. Waktu hujan merupakan waktu yang ditunggu-tunggu oleh kanak-kanak riang.

Berpesta dan bermandikan air hujan di halaman rumah merupakan detik yang paling bahagia dalam diri kanak-kanak.

Bermain air hujan di halaman rumah seumpama bermain di taman syurga. Maka benarlah bahawa hujan itu pembawa rahmat. Kita juga disarankan untuk berdoa ketika hujan kerana doa waktu hujan itu mustajab.

Bukan setakat itu sahaja, hujan juga pembawa kebahagiaan kepada kanak-kanak yang serba kekurangan.

“Ahmad, kau buatlah kapal satu.” Jerit Arif kepada adiknya yang sibuk bermain air hujan.

Suara Arif timbul tenggelam disebabkan hujan yang lebat namun kata-kata tersebut masih didengari oleh adiknya, Ahmad.

“Kapal kertas kalau buat pun pasti basah, alangkah bagusnya kalau ada kapal mainan besar macam si Rasyid, anak Pak Dollah itu”

“Mana kau tahu, Rasyid ada kapal mainan besar?” Tanya Arif sambil menjerit disebabkan hujan yang agak lebat. Bajunya habis basah disirami air hujan.

“Semalam Rasyid ada bawa kapal mainan ke kelas, berlagak betul Rasyid tu sambil tunjuk kapal dia, katanya ayah dia yang belikan untuk dia.” Jawab Ahmad sambil menjerit juga.

“Dia ada bagi kamu main tak? tanya Arif lagi.

“Tak ada, alangkah bagusnya kalau ayah kita dapat belikan kapal mainan untuk kita berdua, dapatlah kita main bersama-sama nanti,” ujar Ahmad kepada abangnya Arif.

“Membazir sahaja semua itu! Duit tersebut boleh digunakan untuk bayar yuran persekolahan kita”. Marah Arif kepada adiknya.

Walaupun Arif baru sahaja berusia 11 tahun namun kata-kata yang diungkapnya sangat matang, persis pemuda yang berumur 30 tahun.

Sedang kedua-duanya asyik bermain dan bermandikan air hujan, kedengaran suara wanita daripada kejauhan.
“Ahmad!! Arif!! Masuk ke dalam rumah, sudah hendak Maghrib ini.” Laung ibunya yang berada di hadapan pintu rumah.
“Baik ibu!” Laung Arif dan Ahmad serentak.

Malam itu, hujan masih turun dengan lebat membasahi bumi. Tiada tanda-tanda bahawa hujan akan reda.

Ahmad dan Arif sudah selesai mandi, mereka bersama-sama solat Maghrib dengan berimamkan ayahnya. Selesai solat, Ahmad mengajukan soalan kepada ayahnya.

“Ayah, Ahmad hendak minta ayah belikan kapal untuk Ahmad satu.” Pujuk Ahmad kepada ayahnya yang masih duduk bersila di atas tikar sejadah sementara menunggu azan Isyak berkumandang.

“Kamu hendak buat apa dengan mainan itu, membazir sahaja.” Nasihat ayahnya kepada Ahmad dengan nada yang lembut tetapi tegas.

“Ahmad teringin mainan itu selepas tengok Rasyid bawa kapal ke kelas. Cantik mainan kapa itu,” ujar Ahmad dengan harapan ayahnya memahami isi hatinya.

“Maafkan ayah, ayah tidak mampu beli untuk kamu. Kalau ada duit lebih, nanti ayah belikan.”

Ayah memujuk Ahmad sambil mengusap kepala Ahmad dengan lembut. Wajah ayah yang gelap itu nampak kepenatan selepas balik daripada kerja.

“Tetapi dengan satu syarat…” sambung ayahnya tetapi ayat tersebut tidak diterangkan dengan sempurna.

“Apa syaratnya, ayah?” Tanya Ahmad dengan penuh tanda tanya dan muka yang bercahaya.
“Belajar rajin-rajin, nanti dapat keputusan yang cemerlang, ayah belikan mainan kapal itu,” pesan ayahnya.

Ahmad tersenyum lebar apabila ayahnya berjanji ingin membelikan kapal mainan untuknya.

Hasrat di hatinya adalah untuk menandingi kapal mainan Rasyid, kawan sekelasnya akan tercapai. Dia akan mempamerkan mainan kapal itu di dalam kelasnya nanti.

Arif yang sedari tadi mendiamkan diri mendengar perbualan tersebut akhirnya bersuara.

“Dengar itu apa yang ayah cakap. Ahmad ini sudah lah malas belajar,” Arif mengusik Ahmad sambil ketawa.

Ahmad mencebikkan bibir dan menjelingkan matanya kepada Arif. Ayah dan ibu ketawa melihat gelagat anak lelaki mereka.

Sebentar kemudian, azan Isyak berkumandang menandakan telah masuknya waktu Isyak. Hujan yang lebat sejak petang tadi sudah mula reda.

Selepas azan isyak berhenti berkumandang, mereka sekeluarga segera menunaikan solat Isyak secara berjemaah.

Keesokan paginya, Ahmad dan Arif bersiap-siap hendak ke sekolah. Hari itu merupakan hari pertama mereka menduduki Ujian Akhir Tahun bagi Darjah 4 dan Darjah 5.

Pagi itu sangat sejuk disebabkan semalaman hujan. Kesejukannya dapat dirasai sehingga ke tulang-belulang.

Mereka berdua ke sekolah dengan membonceng motosikal ayah. Motosikal tua itu sangat berjasa kerana motorsikal itulah yang digunakan ayah ke tempat kerja dan menghantar anak-anak ke sekolah.

Selepas berhempas-pulas menjawab ujian Bahasa Melayu selama hampir dua jam setengah, Ahmad dan rakannya menuju ke kantin untuk mengisi perut yang kelaparan.

Kelihatan Rasyid, anak Pak Dollah menuju ke arah Ahmad dan rakannya yang sedang menikmati nasi goreng.

Badannya yang gempal dan wajahnya yang berkaca mata itu membuktikan bahawa dia seorang kanak-kanak yang suka makan secara berlebihan.

Pergerakannya menjadi perlahan disebabkan badannya yang gempal. Seolah-olah sukar dia membawa badannya yang berat itu.
“Nasi goreng saja kamu makan,” perli Rasyid kepada mereka.

“Makan nasi goreng pun kenyang juga,” balas Ahmad.

“Ahh!! Engkau, mainan pun tidak mampu beli,” balas Rasyid menghina lagi.

Ahmad mendiamkan diri dan tidak mampu berkata-kata. Dia malas untuk berdebat dengan Rasyid yang selalu sahaja menghinanya kerana dia anak orang miskin.

Di dalam hatinya, dia mengakui bahawa dia tidak mampu membeli mainan semahal dan secanggih Rasyid, anak Pak Dollah.

“Tidak mengapa, aku akan belajar bersungguh-sungguh dan ayah akan belikan kapal mainan yang aku minat,” Ahmad memujuk hatinya.

Itu sahaja yang boleh dilakukan untuk menutup penghinaan Rasyid.

Loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan pada hari itu tamat. Kedengaran budak-budak menjerit keriangan kerana tidak sabar ingin pulang ke rumah.

Ahmad dan Arif menunggu ayahnya di sebuah perhentian bas berhadapan dengan sekolah mereka.

Kini sudah hampir dua jam dua beradik itu menunggu, namun ayah mereka masih tidak muncul-muncul.

“Ayah tidak pernah selewat ini,” ujar Ahmad.

“Mungkin ayah ada urusan penting.” Balas Arif untuk menenangkan Ahmad yang kerisauan.

Tidak lama kemudian, kelihatan Pak Su muncul dengan menunggang motosikal menuju ke arah perhentian bas. Ahmad dan Arif melambai-lambai ke arah Pak Su.

Gelagat Pak Su seperti kelam-kabut, membuatkan mereka berdua tertanya-tanya.

Sebaik sahaja sampai, Pak Su mengarahkan anak saudaranya untuk menaiki motorsikalnya.

“Naik cepat!!” Arah Pak Su dengan kelam-kabut.

“Kenapa, Pak Su?” Soal Arif dengan hairan.

“Ayah kamu….” Pak Su tidak dapat meneruskan kata-katanya kerana suaranya ditahan rasa sedih.

“Kemalangan!” Sambung Pak Su lagi.

“Allahuakbar!! Balas Ahmad dan Arif serentak.
“Pak Su, macam mana ayah boleh kemalangan?” Tanya Arif dengan nada terkejut dan hampir mengalirkan air matanya.

“Ayah kamu dirempuh kereta dalam perjalanan mengambil kamu di sekolah,” balas Pak Su dengan kelam-kabut.

Mereka berdua tidak mampu berkata apa-apa lagi dan mereka menangis tidak henti-henti sepanjang menuju ke hospital.

Kini genap 13 tahun ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital.

Pendarahan di dalam otak membuatkan ayah tidak sedarkan diri dan selang dua hari kemudian, ayah menghembuskan nafas yang terakhir.

Allah lebih menyayangi ayah. Ayah terbujur kaku, namun wajah ayah seperti sedang tersenyum. Ibu menangis teresak-esak di pangkuan ayah manakala Arif dan Ahmad menangis tidak henti-henti.

“Apa yang kau menungkan? Tegur Naufal kepada Ahmad. Naufal yang berkaca-mata, berkulit putih dan tinggi lampai itu menegur Ahmad.

“Aku teringat kenangan lepas.” Balas Ahmad sambil menyeka air matanya yang gugur dengan tangan.

“Usah terlalu dikenangkan perkara lepas, nanti kita jadi sedih,” kata Naufal apabila melihat mata Ahmad berair.

Ahmad menyeka air matanya lagi dengan tangannya.

Di sudut hatinya, Ahmad mengakui kebenaran kata-kata Naufal.

Yang masih hidup, harus teruskan hidup dan kekal bersemangat menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kau sudah siap belum tugasan yang kena hantar minggu depan?” Tanya Naufal mengalihkan topik perbualan.

“Belum,” jawab Ahmad sepatah.

“Ayuh, sama-sama kita berbincang mengenai tugasan itu di perpustakaan.” Naufal mengajak Ahmad.

Ahmad mengangguk dan segera berjalan bersama-sama Naufal menuju ke arah perpustakaan universiti.

Salji yang turun membuatkan Ahmad menggigil kesejukan. Nasib baik ketika itu, dia memakai jaket yang tebal.

Kini, sudah hampir empat tahun Ahmad melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di salah sebuah universiti di Tokyo, Jepun.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang telah melayakkan Ahmad untuk melanjutkan pelajarannya di bumi matahari terbit itu.

Ahmad mendapat biasiswa sepenuhnya kerana kecemerlangan semasa SPM dan penglibatan aktifnya semasa pengajiannya.

Dia memilih Jepun untuk melanjutkan pelajarannya kerana bumi tersebut terkenal dengan kecanggihan teknologinya dan pakar dalam bidang kejuruteraan.

Siapa sangka dulu, dia hanya mampu bermain hujan di halaman rumah dan sekarang dia sudah berada jauh meninggalkan kampung halaman, melihat dan meredah salji yang tidak dirasai oleh rakan sekampungnya di Malaysia termasuk Rasyid.

“Ayah…”

“Pesan ayah sudah aku turuti…”

“Insya- Allah suatu hari nanti aku akan bekerja di atas kapal yang besar dan ia bukan sekadar sebuah kapal mainan,” ujar hati kecilnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya