Sofian berasa sangat teruja apabila rumah teres yang dibelinya telah siap dibina. Selama 20 tahun jiwanya mengalami tekanan perasaan apabila rumah yang dibelinya terbengkalai pembinaannya.
Malah Sofian mengidap penyakit kemurungan gara-gara masalah rumah yang dibelinya sentiasa bertukar kontraktor yang bermasalah. Setiap bulan dia berulang-alik ke hospital mendapat rawatan psikoterapi di samping berjumpa doktor dan mengambil ubat yang mesti dimakan setiap hari.
Kemurungannya turut menjejaskan prestasi kerja Sofian. Dia tidak dapat menumpukan tugas hakikinya. Prestasi kerjanya benar-benar terganggu. Pembinaan rumahnya yang terbengkalai menguasai emosi Sofian.
Gaji bulanan Sofian telah dipotong untuk membayar pinjaman bank sedangkan tapak tanah projek rumahnya kosong tanpa sebarang objek. Dia jadi pelik ke mana syarikat pembuat rumahnya menghilang? Sewaktu Sofian dan pembeli-pembeli rumah itu menyerbu pejabat syarikat tersebut, didapati pejabat itu kosong tanpa penghuni. Mereka benar-benar terkejut dan marah.
Kebanyakan para pembeli begitu tertekan kerana gaji bulanan telah dipotong untuk bayaran pinjaman bank. Dan mereka juga terpaksa membayar sewa rumah yang mereka tinggal. Mereka berasa begitu terbeban dengan masalah kewangan.
Sofian dan pembeli rumah lain telah bersepakat menubuhkan Ahli Jawatankuasa Bertindak bagi menyelesaikan masalah rumah teres mereka yang terbengkalai sedemikian lama.
Tindakan pertama yang diambil oleh AJK Bertindak adalah berjumpa Yang Berhormat kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri mereka. Yang Berhormat seorang lelaki yang masih muda berbangsa Cina. Berusia dalam lingkungan 30-an. Ketika seorang wakil bercerita kepada Yang Berhormat tentang masalah yang mereka hadapi, wajah Yang Berhormat nampak terpinga-pinga.
“Macam mana, Yang Berhormat? Apa tindakan yang akan diambil oleh Yang Berhormat?” Tanya Sofian setelah wakil selesai menerangkan kronologi projek perumahan yang terbengkalai.
“Saya simpati pada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dapat rasakan bebanan yang ditanggung,” jawab Yang Berhormat kemudian menyambung lagi.
“Saya akan membawa masalah ini kepada YB Menteri Besar. Saya tidak sangka kenapa kontraktor itu menghilang diri. Adakah ini satu scammer?”
Lama juga Sofian dan pembeli-pembeli lain menunggu jawapan daripada Menteri Besar. Walaupun Yang Berhormat ADUN telah memberitahu bahawa Menteri Besar memandang serius masalah projek perumahan yang terbengkalai. Masa telah melebihi enam bulan.
Akhirnya Yang Berhormat ADUN menyampaikan berita gembira. Menteri Besar telah melantik kontraktor baru membina rumah yang terbengkalai itu. Sofian dan para pembeli lain berasa gembira yang amat sangat.
Maka barulah nampak tapak projek perumahan itu dipenuhi cerucuk kayu dan besi, bahan-bahan binaan rumah, kenderaan berat seperti lori dan kren, dan para pekerja.
Masuk bulan kelima, kerangka rumah jelas kelihatan. Sofian dan pembeli-pembeli lain berasa seronok melihat perkembangan projek rumah mereka.
Masuk bulan kesepuluh, rumah telah nampak lengkap sepenuhnya. Setiap perkembangan projek rumah itu Sofian simpan gambar- gambar yang diambil di telefon bimbitnya.
Sofian benar-benar tidak sabar hendak berpindah ke rumah barunya. Jika rumah itu siap sepenuhnya, bermakna 13 tahun projek rumah teres itu terbengkalai.
Suatu hari ketika Sofian duduk berehat di rumah sewanya, dia menerima panggilan telefon daripada salah seorang AJK Bertindak. Tertera nama Fuad.
“Bang Pian di mana” Tanya Fuad.
“Ada di rumah. Kenapa?” Jawab Sofian.
“Bang Pian datang ke projek rumah baru kita. Beberapa orang kawan pun ada di sini,” Kata Fuad memberi arahan.
“Kenapa Fuad? Ada hal apa? Tanya Fuad lagi tidak puas hati.
“Bang Pian kena datang sini. Ada hal penting. Ada sesuatu yang kami hendak tunjukkan!” Nada suara Fuad agak tinggi.
Mahu tidak mahu, Sofian terpaksa akur. Sampai di tapak projek rumah, Sofian nampak Fuad dan AJK Bertindak yang lain sedang berdiri di satu simpang jalan.
“Bang Pian nampak tak sebarang perubahan di sini?” Aju Fuad.
“Perubahan???” Wajah Sofian nampak berkerut-kerut seperti kebinggungan.
“Pemaju rumah ini sudah tak ada. Bang Pian tengok. Barang-barang binaan tak ada. Kenderaan berat tak ada. Para pekerja tiada. Semua tak ada. Bila mereka kosongkan tempat ini, pun tak tahu!” Fuad memberitahu situasi yang berlaku.
“Kami baru telefon pemaju rumah ini. Tak ada orang jawab. Ini yang membuatkan kami musykil. Sedangkan projek rumah belum siap sepenuhnya!” Sampuk seorang lelaki yang juga AJK
Bertindak.
Sofian memandang di persekitaran projek rumah itu. Memang benar kata mereka. Kawasan itu menjadi sunyi tanpa sebarang bunyi.
“Besok kita pergi jumpa Yang Berhormat ADUN!!!” Lantang suara Sofian menjerit. Dua tiga orang AJK Bertindak terperanjat melihat reaksi Sofian.
Seawal pagi Sofian, Fuad dan lapan AJK Bertindak yang lain telah terpacul di pejabat Yang Berhormat ADUN. Mereka bernasib baik kerana Yang Berhormat telah berada di pejabat.
Ketika Sofian mengadu kepada Yang Berhormat tentang masalah yang menimpa mereka, Yang Berhormat menggeleng-gelengkan kepala. Wajah Yang Berhormat nampak sugul. Dia mengarahkan pekerjanya mencari maklumat tentang pemaju rumah itu.
Lebih kurang lima minit, pekerja itu muncul semula di hadapan Yang Berhormat. Dia memberitahu bahawa syarikat pemaju rumah itu telah diisytiharkan muflis oleh mahkamah.
“Macam mana, Yang Berhormat? Rumah sudah hampir siap. Tiba-tiba pemaju buat hal lagi!” Sofian mengajukan soalan kepada Yang Berhormat.
“Saya akan minta Menteri Besar lantik pemaju baharu. Saya pun tidak sangka perkara ini akan berlaku. Nanti saya beritahu sebarang perkembangan,” Yang Berhormat menyuarakan cadangannya. Sofian dan AJK Bertindak hanya mengangguk-anggukkan kepala.
Sudah hampir setahun masa berlalu, projek rumah Roslan tidak diusik langsung. Kawasan projek rumah itu menjadi sunyi sepi. Pemaju rumah yang baharu masih belum dilantik. Apabila Sofian menghubungi Yang Berhormat, jawapan yang diterima; masih dalam proses.
Sofian dan pembeli yang lain semakin gusar apabila rumah mereka yang hampir siap mula ditumbuhi pokok-pokok liar. Warna cat rumah semakin lusuh. Dalam kiraan, sudah hampir 18 tahun projek rumah mereka masih belum siap. Malah yang lebih menyedihkan, ada pembeli rumah telah meninggal dunia.
Setelah mengadakan perbincangan di antara AJK Bertindak, akhirnya mereka bertekad hendak berjumpa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Apatah lagi ketika itu kerajaan melalui
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan sedang giat berkempen memberi bantuan dan tumpuan menyelesaikan projek perumahan bermasalah dan terbengkalai.
Sofian dan para pembeli rumah berasa gembira apabila Menteri mengambil tindakan segera terhadap projek rumah mereka yang terbengkalai begitu lama. Menteri telah mengarahkan supaya dilantik kontraktor baru dan disiapkan secepat mungkin projek rumah itu.
Akhirnya hampir 20 tahun menunggu, projek rumah Sofian dan para pembeli siap sepenuhnya. Mereka berasa bersyukur yang amat sangat.
Sofian tidak sabar menanti majlis penyerahan kunci. Yang Berhormat ADUN telah memaklumkan bahawa Menteri Perumahan bersetuju menyerahkan kunci rumah dalam satu majlis yang dianjurkan Yang Berhormat ADUN.
Sofian tidak sabar hendak pindah ke rumah baharunya. Setelah 20 tahun menanti, akhirnya dia dapat menduduki rumah sendiri.
Ramai yang hadir pada majlis penyerahan kunci dan ramai yang tidak tahu bahawa ramai pembeli rumah tidak sempat menerima kunci rumah baharu kerana mereka telah meninggal dunia.
Sebaik sahaja menerima kunci, Sofian dan isterinya membawa anak-anaknya melihat rumah baharunya. Sewaktu Sofian membuka pintu rumah, isterinya berkata.
“Bila kita hendak masuk rumah baru ini?”
“Secepat mungkin!” Ujar Sofian.
“Nanti abang buat kenduri kesyukuran, kan?” Tokok isterinya lagi.
Sofian mengangguk-anggukkan kepala. Anak-anaknya empat orang, dua lelaki dan dua perempuan sudah menyelinap setiap ruang rumah baharu mereka. Wajah mereka nampak sangat gembira.
Hujung minggu Sofian berpindah ke rumah baharunya. Dia menyewa sebuah lori yang sederhana besar. Ketika lori itu memasuki kawasan perumahan, Sofian melihat ada beberapa buah rumah telah diduduki penghuninya. Pemandu lori dan kelindannya turut membantu mengangkat barang-barang membawa masuk dan menyusun atur di dalam rumah baharu Sofian.
Pagi itu Sofian minum di sebuah warung berdekatan rumah baharunya. Sudah hampir seminggu Sofian tinggal di rumah baharunya.
Sedikit demi sedikit kawasan perumahan itu semakin ramai penghuninya. Kebanyakannya Sofian mengenali para penghuni rumah kerana mereka sama-sama berjuang menyelesaikan masalah projek rumah yang terbengkalai terlalu lama.
Ketika Sofian hendak menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Tertera pada skrin telefonnya nama anaknya yang sulung.
“Ayahhhh! Cepat balik!!!” Jerit anaknya.
“Kenapa?” Teriak Sofian.
“Cepat balik, ayahhhh! Tengok rumah kita ini!!!” Laung anaknya. Suara anaknya terketar-ketar seperti ketakutan.
Sewaktu Sofian sampai di rumah, empat orang anaknya berada di luar pintu. Wajah mereka berkerut ketakutan.
“Ruang tamu rumah mendap, ayah! Ada lubang besar!” Beritahu anak lelaki sulungnya. Mereka menolak pintu rumah menunjukkan pada Sofian.
“Allahuakbar!” Sofian terkejut melihat lubang besar seluas ruang tamu rumah. Sangat dalam dan mengerikan.
“Mana ibu?” Tanya Sofian apabila dia tidak nampak kelibat isterinya.
“Itulah. Sejak tadi kami cari ibu, tapi tak ada. Tadi kami nampak ibu di dapur. Bila kami dengar bunyi menakutkan tadi, kami tidak nampak ibu!” Kata anak sulungnya.
“Ke mana pula ibu kamu pergi? Setahu ayah ibu tidak ke mana-mana!” Ujar Sofian dengan wajah berkerut.
“Saya bimbang ibu turut terjatuh ke dalam lubang ini, ayah!” Suara anak perempuan bongsunya tersekat-sekat disusuli dengan tangisan.
“Apaaaaa!!! Safiahhhhh!!!” Sofian menjerit kuat. Dia terkejut dengan tragedi yang tidak diduga pagi itu.
Sofian terjelepuk di lantai. Dia pengsan.
Keempat-empat orang anaknya berteriak memanggil Sofian. Raungan tangisan bergema memenuhi rumah baharu itu. – UTUSAN