DNA ku

DNA ku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Alla­huakh­bar…,” bahu kiriku tersandar ke dinding. Tangan kananku bertongkat ke belakang. Ku angkat mukaku pada siling petak-petak segi empat. Tiga petak ke kiri, tiga petak ke kanan. Syukur aku masih dapat membilang petak-petak itu. Bermakna, otak pertimbanganku masih waras. Cuma tubuhku seperti tertindih batu besar. Aku berjeda, menunggu saat pulih.

Pandanganku ke bawah sedikit, terlihat rak pinggan, mangkuk, periuk, kuali yang tergantung di dinding. Dapur yang baru kunyalakan masih marak api birunya. Seolah-olah makhluk yang menjelirkan lidah. Mengejek aku, perempuan 70 tahun yang masih tebal agonya. Aku tersengat sindiran itu. Dari tingkap terbuka, aku masih melihat biru langit. Hujung daun kelapa yang bergoyang ditiup angin 11 pagi. Sedangkan tingkap telah terbuka melihat dunia luar, tetapi hati ini masih diselaputi daki hitam.

“Aku sebenarnya sayang kepadamu. Aku takut kau kembali kepadanya,” bisikku yang berbuku di kalbu. Benci aku dengan bisikan itu.

Aku perlu bantuan seseorang untuk memadamkan api dapur. Ceret bersiul tanda air sudah mendidih. Waktu beginilah aku teringat dia. Kalau aku panggil lain, tak sesempurna dia. Dia akan bancuh kopi. Dia akan tuang air panas simpan dalam termos. Dia meniru apa-apa yang akan aku buat. Kalau yang lain, minta padam api dapur, akan padam sahaja. Aku minta kopi, dia akan bancuh. Tunggu aku suruh, baru dia patuh.

Aku mengesot bergerak lambat-lambat. Jarak lima langkah, aku mengambil masa panjang. Dari jarum panjang jam di dinding menunjukkan angka satu ke angka tiga. Barulah dapat aku mencapai birai sofa. Aku diam sejenak, kumpul tenaga. Tanganku menolak tubuh ke atas sofa. Alhamdullilah, aku dapat duduk di sofa. Tempat yang sedikit selesa.

Siul air ceret di dapur semakin serak. Siapa yang akan datang menolongku sekarang ini? Siapa yang akan memutar padam suis api dapur yang masih marak? Saat ini, aku hanya berharap, api akan padam sendiri sebaik gas dalam tong kosong. Aku sendirian, tanpa anak-anak di rumah.

Aku terbayang empat anakku duduk di hadapanku. Tiga lelaki duduk rapat-rapat. Bersila. Seorang lagi, yang bungsu juga duduk bersila agak renggang sedikit daripada yang lain. Aku mencebek. Inilah perangai sumbang yang aku tidak berkenan. Dia boleh memilih kelakuan yang lebih sopan. Agaknya, ini perangai darah daging keturunannya.

“Kau adik-beradik, pergaulan kena jaga,” begitu aku pesan setiap masa. “Kau sudah dewasa. Faham tu?” Anak-anakku berpandangan sesama sendiri. Terutama dia yang sudah masuk baligh, sering membantah kalau aku suruh pakai tudung yang menutup rambut di rumah.

Walaupun aku didik mereka dengan tangan yang sama. Aku suap dengan tangan yang sama semasa kecil. Aku tunjuk dan ajar dengan cara aku yang sama. Tinggal serumah bersama-sama.

Membesar bersama-sama. Tetapi, mereka tidak sama perangai. Terutama dia, banyak yang tidak aku senangi.

Kali pertama kubawa si bungsu ke rumah. Kupanggil along, angah, uda; duduk bersimpuh menghadap orang baru. Masing-masing mahu meriba bayi perempuan yang comel itu.

“Dia lahir bukan daripada perut emak seperti kamu. Tapi, terimalah dia seperti saudara kandung kamu,” kataku kepada anak-anakku.

“Maaf, emak tidak bincang terlebih dahulu dengan kamu,” kutenung mata mereka satu-satu. Terkabul harapanku untuk memiliki anak perempuan. Along yang baru selesai menduduki SPM, seolah-olah berkata, “Keputusan emak adalah terbaik!”

Anak-anakku senyum. Sedikitpun tiada tanda curiga. Aku yakin. Mereka percaya. Rezeki Tuhan tentukan. Aku percaya, mereka reda. Aku selalu kata, rezeki yang cukup bukan pada angka, tapi kerana reda dengan apa-apa yang ada.

“Anak siapa, emak?” pertanyaan angah yang akan menyambut hari jadi minggu hadapan. Mungkin, inilah hadiah hari jadi daripada emak.
“Anak emak,” aku jawab dengan senyum sumbing. “Dia anak emak. Dia ditumpangkan dalam rahim seorang perempuan yang emak tidak kenal. Sekarang, dia anak emak. Adik-beradik kamu,” tegasku.
“Cuma emak bimbang … yang emak risau, dia akan bawa perangai keluarganya dalam keluarga kita,” aku rasa, along rasa seperti yang aku rasa. Bolehkah dia menjadi seperti anak-anak aku? Aku bimbang dia akan bawa sikap dan perangai asal-usulnya.
“Nenek! Dapur terbakar! Dapur nenek terbakar!” Aku hanya mendengar laungan cemas itu dari sekeliling rumah. Jiran-jiran datang dengan cemas.

(ii)
“Alhamdulilah,” begitu yang sering saya ucapkan setiap kali mengenang nasib malang. Saya ada Allah. Keputusan emak memang betul. Saya telah dapat menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertama. Namun, majlis konvokesyen saya tiada sesiapa yang meraikan. Emak tidak datang. Along, angah, dan usu pun tak dapat datang. Mereka ada urusan penting. Urusan dengan peguam untuk menukar nama tanah emak kepada along, angah dan usu.

“Pelajaran sahaja yang emak mampu beri kepadamu. Harta lain tidak ada,” mak bersuara sebak. Seperti ada kata-kata yang tidak dapat dilangsaikan. Saya faham, kerana saya hanya anak perempuan.

Saya telah dididik oleh emak dengan penuh perhatian kasih sayang. Cuma saya terkilan, siapakah emak saya sebenar? Nama saya tidak berbintikan bapa seperti abang. Nama emak juga tidak seperti nama emak abang. Saya masih tidak mempunyai kekuatan untuk bertanya emak yang membesarkan saya. Setiap pertanyaaan berakhir dengan tiada jawapan.

“Apakah kamu mahu kembali kepadanya?” herdikan itu membuat saya semakin rapat mengunci mulut. Setiap kali saya melakukan kesilapan, emak akan menyindir pedas, “Ini bukan kelakuan emak. Entah kelakuan siapa yang kamu tiru.”

Saya berhati-hati dalam berkelakuan di depan emak. Saya tutup mulut. Tidak berani menyoal kata-kata emak. Malah, kata-kata emak itu mengentalkan semangat saya untuk bertindak sendirian. Biarlah emak kata tindakan itu celaru dan asing.

Pada hari raya lalu, saya berkumpul di rumah emak seperti kebiasaannya. Tapi kali ini lebih meriah. Along, angah, dan uda berkumpul di rumah emak pada hari raya pertama. Susah nak dapat suasana begini. Ada masa lain, along berkumpul di rumah mentuanya. Pada masa lain, angah berkumpul di rumah mentuanya. Ada masanya, uda berkumpul di rumah isterinya. Saya tetap bersama emak.

“Mari! Mari! Mari! Anak-anak emak, mari!” Saya sudah tahu kebiasaan emak. Peluang anak-anak berkumpul, inilah yang emak akan lakukan.

Along, angah, dan uda duduk rapat bersila di depan emak. Saya yang mara agak lewat, duduk bersila, berjarak sedikit dengan mereka. Mereka sudah berkeluarga. Saya selalu ingat pesan emak, kawal sedikit pergaulan dalam keluarga.

“Biasalah. Sebagai tanda kasih sayang emak kepada anak-anak. Ambil peluang berkumpul ini, emak suapkan kamu,” emak menyuapkan nasi ke mulut along.

“Dulu, masa kecil, emak juga suapkan nasi ke mulut kamu. Ini sudah besar panjang, juga emak suapkan. Ini tanda kasih sayang emak kepada anak tidak putus-putus,” kata emak sambil menyuapkan nasi ke mulut angah. Kemudian, ke mulut uda.

“Lagi. Lagi, emak!” saya memuncungkan mulut minta suapan kedua sebaik sahaja saya kunyah suapan pertama.

Emak menjeling sambil tersenyum tajam. Emak menggenggam nasi lalu menyuapkan nasi ke mulut saya. Along, angah, dan uda ketawa. Emak juga ketawa. Saya ketawa kerana berjaya mencuit hati mereka. Saya bahagia.

“Keluar juga perangai anak emak ini,” kata emak sambil menyuap nasi ke mulut saya kali kedua. Tersintak hati saya. Mengapa emak kata begitu? Saya anak bungsu mamang wajar menerima lebih apa-apa pemberian emak. Saya tidak meminta lebih. Saya tidak terfikir untuk mengada-ngada. Saya tidak terfikir, saya orang asing di sini, apalagi niat mahu perhatian lebih.

Kehadiran makcik Leha seolah-olah memberi sinar baru dalam hidup saya. Makcik Leha mengaku sahabat baik emak sewaktu dulu-dulu. Dia pesara jururawat. Emak pesara guru. Jadi sahabat perkenalan itu sekadar bau-bau bacang. Sebelum ini, dia tidak pernah datang ke rumah emak. Tetapi, nampaknya dia terlalu mengambil berat tentang diri saya. Banyak pertanyaan peribadi dari mulutnya, seolah-olah terlalu mengenali saya. Banyak pertanyaannya tidak dapat saya jawab. Tetapi dia bagaikan tahu jawapannya.

“Kamu jaga emak baik-baik. Dia tinggal seorang diri. Anak-anaknya sudah bekerja, tinggal jauh-jauh. Besar jasa emak kepada kamu. Jangan dah berjaya nanti kamu lupakan emak kamu,” pesanan makcik Leha itu saya masih ingat. Ternyata benar, emak telah meletakkan saya di tempat betul. Saya sahaja yang bersangka hodoh. Rendah sangat darjat saya sebagai orang luar dalam keluarga emak?

Benarkah yang saya rasa selama ini? Tiba-tiba saya terasa asing dan malu dengan semuanya. Patutlah saya sering disindir berperangai asing. Semakin kuat keinginan saya untuk mencari emak kandung. Kehadiran makcik Leha terasa semakin dekat pencarian itu.

Secara diam-diam saya mencari rumah makcik Leha berdasarkan alamat yang diberi. Dengan google, tidak sukar mencari rumah makcik Leha. Pagi yang damai, ketika saya menjejak kaki di rumahnya, makcik Leha sedang merapi rumahnya di tanah lot yang sederhana luas. Menyapu lantai dan mengelap cermin tingkap. Makcik Leha yang baru lima tahun bersara masih cergas mengemas rumah sendiri.

Saya terbayang rumah emak tempat saya dibesarkan. Sejak saya meninggalkan rumah emak, tinggal di asrama macam terbiar rumah itu. Emak sudah tidak larat mengemas rumah. Kalau saya balik, saya akan mop lantai dan mengelap cermin. Apabila tiba waktu masak, saya akan menolong emak dan belajar masak daripada emak. Emak selalu berpesan, anak perempuan mesti pandai masak di dapur. Terutama masakan yang menjadi kegemaran keluarga. Makanan di rumah pengikat kasih sayang keluarga.

“Kamu akan lebih bersyukur, jika kamu dapat berkenalan dengan emak kandung kamu,” kata makcik Leha. Ssaya terkedu dengan kata-kata makcik Leha itu. Terpegun sejenak. Saya tidak segera bertanya. Emak telah mendidik saya supaya reda dan sabar. Saya perlu diam untuk mendengar cerita sebenar dengan jujur. Saya percaya, banyak bertanya menyesatkan hubungan.

“Makcik jadi orang tengah, menyerahkan kamu kepada kak Yam,” kata makcik Leha berjeda. Dia memandang tepat kepada saya. Kemudian, dia hanya menarik nafas, tidak menyambung ceritanya.

“Makcik sudah beri nasihat kepada emak kandung kamu berkali-kali. Pergi jumpa kak Yam. Minta maaf, tapi dia malu, dia takut,” makcik Leha bersuara kelat. “Dahulu, dia janji dengan kak Yam, tidak mahu ganggu kamu sampai bila-bila,” makcik Leha berkata tulus.

“Itu yang dia serba salah,” makcik Leha bangun, berjalan ke dapur. Saya mengekorinya seolah-olah tidak mahu berjeda mendengar kisah hidup saya.

“Dia ada kata, selalu juga ke rumah kak Yam, nak tengok kamu. Tapi tengok dari jauh. Dia tak mahu dituduh, dah buang jilat balik,” makcik Leha menuang air ke gelas di dulang. Saya memandang kosong. Perasaan saya bercampur baur. Kelopak mata bergenang hampir tumpah ke pipi ketika makcik Leha menghulurkan gelas minuman.

“Lebih baik saya tunggu emak di rumah ketika keberanian hati emak telah terbuka. Bukan membakar kemarahan emak,” pujuk hati saya. Saat ini, saya teringat emak. Matahari hampir terpacak di tengah kepala. Waktu begini, emak mahu makan berteman. Tanpa berteman selera akan tumpul. Saya pendamkan dulu pencarian emak kandung. Saya mesti minta ampun. Kerana perjalanan hidup saya telah dititipkan kepada emak. Saya tidak mahu kehilangan kedua-dua emak.

Alangkah luluh, jantung saya gugur hangus! Apabila saya sampai di rumah, disambut dengan api menjulang meratah rumah emak. Hampir separuh rumah telah rentung. Emakkah? Emak mana? Hanya itu yang dapat saya katakan.

Jiran-jiran memeluk erat, menghalang saya yang mahu menyerbu api. Tenaga saya semakin lemah. Marak api semakin padam. Petugas berbasah tubuh menggendong getah paip air bomba.

Menyembur api di tengah rumah. Emak saya! Saya melihat petugas mengusung jasad rentung dari runtuhan rumah.

Petugas tidak dapat mengenal pasti jasad yang rentung. Saya, along, angah, dan uda dipanggil untuk mengesahkannya. Ujian DNA mengesahkan along, angah, dan uda negatif. Ujian DNA saya positif. Emak saya! Itu emak saya! Saya yakin, itu emak saya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya