Kota London dengan keindahan dan kemegahannya tidak pernah benar-benar menjadi rumah bagi Bayu. Di bawah langit kelabu kota itu Bayu berjalan di tepi Sungai Thames menyaksikan air yang berkilau lembut di bawah sinar lampu jalan. London Bridge berdiri megah di kejauhan sementara deretan bangunan batu bersejarah melingkari horizon. Jasadnya di situ namun hatinya berada di tempat lain – di tanah leluhurnya.
Sepuluh tahun dia membawa duka lara kerana ditinggalkan kekasihnya yang memutuskan pertunangan dan menerima lamaran lelaki lain. Remuk itulah yang membawanya sehingga ke kota London ini.
Dia mengambil kesempatan menyambung pengajiannya pada peringkat doktor falsafah untuk melupakan kegagalan percintaannya dengan keazaman membina kejayaan di kota sang ratu.
Kehidupan yang dikejarnya di sini seharusnya memberinya kepuasan tetapi semakin lama dia berada di kota ini semakin tebal rasa rindunya pada tanah air.
Dia tidak pernah bercita-cita menetap di London. Setiap kali membaca kisah sejarah penjajahan British di Tanah Melayu, hatinya sakit dan sebal.
“Sejarah penjajahan British di Tanah Melayu bermula pada abad ke-18 dan berlangsung selama lebih daripada 150 tahun. British memainkan peranan besar dalam membentuk politik, ekonomi dan sosial di Tanah Melayu,” terngiang-ngiang suara Cikgu Mokhtar mengajar Sejarah di dalam kelas.
Hatinya menjadi semakin keras setiap kali Cikgu Mokhtar menghuraikan tentang kuasa kolonial itu. Namun dek kerana kesakitan bercinta Bayu mengalihkan keputusan untuk mengaut ilmu duniawi di London.
Hari ini 25 Ogos. Hanya tinggal beberapa hari lagi sebelum Hari Kemerdekaan Malaysia. Di London kehidupannya terus berjalan seperti biasa — tiada sambutan, tiada bendera Jalur Gemilang yang berkibar di udara. Tetapi di hati Bayu setiap detik menuju 31 Ogos terasa seperti detik-detik yang panjang.
Bayu merenung gambar-gambar lama kenangan dia dan adik-adiknya berkumpul di kampung untuk menyambut hari kemerdekaan dengan meriah. Suara tawa, nyanyian dan laungan
“Merdeka!” akan bergema. Setiap kali pulang dari sekolah mereka beriringan mengibarkan bendera kecil dari bekas gula-gula sambil menyanyikan lagu “Tanggal 31” sehinggalah kaki mereka memijak tangga rumah. Riang jiwa kanak-kanak yang tidak pernah dilupakan.
Setiap kali tarikh keramat 31 Ogos tiba, Bayu tidak dapat menahan rasa rindunya pada tanah air. Diam-diam dia duduk di hadapan komputer ribanya menonton siaran langsung sambutan Hari
Kemerdekaan dari Dataran Merdeka. Menyaksikan perarakan, laungan patriotik dan pelbagai persembahan kebudayaan.
Ada citra Malaysia dan Melayu yang sebati dalam dirinya namun semua itu terasa jauh. Manakan sama jika berada di sana dan merasai udara pagi yang segar dengan bendera yang berkibar di setiap sudut jalan. London mungkin memberikannya erti kejayaan tetapi Malaysia memberikan Bayu erti jati diri, erti sejarah dan erti kebanggaan. Dia merindui semua itu.
Malam itu Bayu pulang ke apartmen kecilnya di Notting Hill. Sambil meletakkan jaket tebalnya dia menatap dinding yang dipenuhi poster dan gambar kenangan. Di antara gambar-gambar itu ada satu gambar yang sentiasa membuatkannya tersenyum — gambar dirinya di depan bangunan Sultan Abdul Samad dengan bendera Malaysia di tangannya. Itulah kali terakhir dia berada di tanah air semasa sambutan Hari Merdeka 10 tahun yang lalu.
Langkahnya menapak ke bilik tidur. Sunyi. Bayu duduk di tepi katil dan memandang tiket penerbangan yang sudah dibelinya sebulan yang lalu. Penerbangan itu akan membawanya kembali ke Kuala Lumpur. Keputusan untuk pulang bukanlah sesuatu yang mudah baginya. Dia bakal meninggalkan kerjayanya yang stabil di sini untuk kembali ke Malaysia yang belum menjanjikan sebarang pekerjaan tetapi ada sesuatu yang lebih besar menunggunya — perasaan memiliki, perasaan disambut di tanah yang telah melahirkan dirinya.
Telefon pintarnya berbunyi sebagai isyarat pesanan masuk ke peti mesej.
“Malaysia merindui kamu,” mesej ringkas seorang adik yang sekian lama ditinggalkannya. Bayu tersenyum. Mesej itu ringkas tetapi penuh makna.
“Aku merindui kamu,” Bayu membalas mesej Talia. Talia sewaktu ditinggalkan adalah adik yang manja berusia 20 tahun. Dialah tempat Bayu mengadu dan meluahkan derita cintanya. Kini Talia sudah menjadi seorang ibu dengan dua cahaya mata. Suaminya seorang tentera berpangkat Leftenan. Perwira kebanggaan keluarga.
Sepuluh tahun di bawah langit London terasa London memberikan segala-galanya. Namun semakin hari semakin dia menyedari bahawa kemerdekaan sebenarnya tidak hanya bermakna bebas daripada penjajahan fizikal tetapi juga bebas dalam jiwa — bebas untuk menjadi diri sendiri dan itulah yang dia rasakan hanya wujud di tanah airnya.
Pada pagi 30 Ogos, Bayu melangkah keluar dari Heathrow dengan bagasi di tangannya dan dengan hati yang ringan. Pesawat Malaysia Airlines yang akan membawanya pulang sudah menunggu di landasan. Ketika pesawat itu terbang ke udara Bayu sempat mengalihkan pandangannya ke luar tingkap.
Kota London perlahan-lahan mengecil di bawahnya. Dia tersenyum bukan kerana dia meninggalkan London tetapi kerana dia akhirnya pulang ke tempat yang sepatutnya. Penerbangan selama 16 jam 56 minit meningkatkan tahap kesabarannya untuk sampai ke Kuala Lumpur. Beg sandang dibuka. Sebuah kenangan digenggam erat.
Foto di tangannya sudah kekuning-kuningan tetapi masih jelas pada kaca matanya seorang Cikgu Mokhtar yang berdiri di sebelahnya. Dia berada di barisan hadapan semasa perhimpunan sekolah kerana ditugaskan untuk menaikkan bendera Malaysia mengiringi nyanyian lagu “Negaraku”. Matanya terpejam rapat. Cikgu Mokhtar berlegar di retinanya.
“Pada tahun 1819 Sir Stamford Raffles berjaya membuka Singapura sebagai pangkalan perdagangan utama bagi British di rantau ini. Singapura segera berkembang menjadi pelabuhan penting dalam jaringan perdagangan antara China, India dan Eropah,” bergema lagi suara figura Sejarah di sekolahnya itu. Itulah Cikgu Mokhtar yang sentiasa bersemangat mendidik anak bangsa. Dan dia menjadi anak didik Cikgu Mokhtar yang kuat jati dirinya. Rindunya bertandang lagi – rindu akan Cikgu Mokhtar.
Ketua pramugara mengumumkan masa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Itulah isyarat yang sekian lama dia nantikan. Suasana di lapangan terbang sudah meriah.
Bendera Jalur Gemilang berkibar di mana-mana dan orang ramai lalu-lalang dengan pakaian berwarna-warni. Bayu dapat merasakan suasana yang tidak pernah dirasainya di mana-mana di tempat lain. Inilah rumahnya.
Hari ini 31 Ogos, Bayu berdiri di Dataran Merdeka di antara lautan manusia yang bersemangat. Saat lagu kebangsaan “Negaraku” berkumandang dia merasai darahnya bergetar dengan rasa cinta terhadap tanah air. Laungan “Merdeka!” bergema di seluruh dataran dan tanpa dipaksa, tanpa diajak, tanpa disuruh oleh sesiapa dia turut melaungkannya dengan sepenuh hati, sepenuh jiwa, sepenuh kudrat suara!
Di bawah langit biru Malaysia, Bayu tersenyum. Dia akhirnya pulang tepat pada masanya untuk menyaksikan negaranya merdeka sekali lagi.
Bukan hanya daripada penjajahan tetapi daripada segala perasaan yang terikat pada tempat yang pernah benar-benar menjadi miliknya. Dan dalam hatinya dia tahu — inilah erti kemerdekaan sebenar. Pulang ke tanah leluhur yang selalu memanggil namanya dan melambai jiwanya untuk melahirkan ketenangan. – UTUSAN