Sewaktu hujan turun

Sewaktu hujan turun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hujan berterusan sejak semalam. Bahagian dapur rumah tersebut seperti biasa ditenggelami air. Mak Jah tidak begitu terkejut kerana ia sudah berulangkali terjadi. Kelihatan berbagai benda terapung di sana sini. Selipar, botol, pinggan dan cawan plastik, tudung periuk, puntung rokok, baldi dan segala sampah sarap lain. Air yang sudah bertakung itu tidak bergerak ke mana.

Apabila melihat keadaan sedemikian, timbul berbagai perasaan yang tidak menyenangkan hati Mak Jah. Jika meredah air yang bergenang itu, dia seolah terkena renjatan. Dia seolah terjerlus ke dalam air batu. Tidak saja sejuknya menangkap ke bahagian kaki malah merata ke seluruh badan. Urat-urat kakinya yang kebanyakan timbul dan menonjol itu segera membiru sebelum terasa kejang dan sakit. Disebabkan itu juga dulu dia pernah terjelepuk sambil mengerang kesakitan.

Namun mahu atau tidak, dia terpaksa juga turun ke dapur. Air yang bergelumang dengan pelbagai jenis kotoran dan bertakung itu perlu di randuk juga. Tiada pilihan atau cara lain. Tidak mungkin dia menunggu hingga air tersebut surut. Sedangkan seperti sebelumnya, ia mengambil masa berhari-hari. Lambat cepatnya bergantung pula pada keadaan cuaca ketika itu. Jika panas berterusan ada harapan cepat.

Hendak mengharap Kamil si anak bujangnya itu? Apa yang dia tahu? Makan tidur tahulah dia. Itu saja kerjanya. Malam pula suka merayau jadi kutu embun. Kadang-kadang tidak di sedari Mak Jah entah bila baliknya. Sebagai ibu, dia pun tidak kuasa berleter selalu. Dia merasa seakan sudah berbuih mulut memberi nasihat.

Atau hendak mengharapkan Pak Jais yang turun ke dapur? Lebih baik jangan! Seperti cuaca yang kurang elok, begitu juga moodnya di kala begini. Mak Jah sudah lali sebab itu dia lebih banyak berdiam. Di kala beginilah kembali mendongkol hati Pak Jais. Timbul pelbagai perasaan seperti marah, terkilan, geram, meluat dan sebagainya yang saling bercampur-baur. Bukan ia disengajakan tetapi bersebab. Fikirannya sudah buntu memikirkan kaedah bagi menyelesaikan masalah yang dihadapinya ini.

Apa yang tidak dan belum dilakukan? Bukan dia berdiam diri atau tidak cuba mengusahakan sesuatu menurut jalan yang difikir mampu dibuat. Tetapi semuanya tenggelam dan berlalu seperti angin. Masalah itu misalnya telah dibawa ke pengetahuan ketua kampung, jiran-jiran, pemilik kebun berdekatan, pihak JKK, penghulu, wakil pihak pemaju dan juga PBT (Pihak Berkuasa Tempatan).

Kesemua mereka pada hemat Pak Jais antara individu dan pihak bertanggungjawab yang diharap dapat membantu menyelesaikan masalahnya. Di situ dia luahkan segalanya dari A hingga Z. Tentang rumahnya yang sering dilanda banjir, punca air bertahan dan bertakung, kekurangan sistem perparitan, parit sedia ada tetapi tidak diselenggara, pihak pemaju yang kurang prihatin dan sebagainya.

Di samping itu turut dijelaskan juga akan kekhuatiran seisi keluarganya dijangkiti pelbagai penyakit. Dimaklumkan juga air tersebut merupakan air tercemar, kotor dan menjijikkan.

Dalam hal ini, Lajis yang sepatutnya lebih bertanggungjawab. Individu selaku ketua kampung itu tentu lebih layak dalam mengatur segala tindakan sama ada berbincang atau berhubung dengan pihak-pihak tertentu. Bukan Pak Lajis sendiri yang ke sana sini terhegeh-hegeh macam peminta sedekah. Begitu yang diharapkannya. Namun harapan itu cukup menghampakan dan terus berkubur. Setiap kata-kata dan janji yang dilafaz Lajis selama ini hanya seumpama huruf ‘Ya’ tidak bertitik. Mana hatinya tidak panas.

Akhirnya Pak Jais mendiamkan diri. Sabarnya cuba dipupuk. Dia cuba belajar menerima semua itu. Inilah masanya dia membuktikan sifat qanaah, seperti kata Imam Aman. Sikap menyalahkan orang wajar dibuang jauh. Dia juga tidak berniat menjaja nama atau memburuk-burukan sesiapa.

Penduduk Kampung Sabari telah lama mengenalinya. Memang dia bukan jenis orang yang suka bertelagah, sombong, pandai membodek atau berpura-pura. Dia kerap berjemaah serta pandai bergaul. Pergaulannya pula meluas dan tidak hanya terbatas setakat di kampung sendiri malah ke seluruh kampung berdekatan. Jelas seseorang itu dikenali bukan kerana dia berpangkat, berkedudukan atau berharta. Perwatakan yang dimiliki oleh orang seperti Pak Jais membuktikannya. Hampir ke semua para peniaga berbangsa China dan India di pekan itu juga turut mengenalinya.

“Apa agaknya nasib anak-anak ayam di reban belakang tu? Juga benih-benih sayuran yang baru di pindah? Tentu jahanam kalau beginilah keadaannya.” Pak Jais bercakap sendiri sambil memandang air yang becoklat kehitam-hitaman.

“Jah! Jah!” Laungnya yang masih tercegat di muka pintu. Mak Jah tergesa-gesa datang mendapatkannya.
“Ada apa?” Sambil dia menanggalkan telekung

“Bagaimana keadaan di dapur tu? Awak dah ke sana?”

“Belum lagi. Tapi saya agak tentu macam biasalah. Macam sebelum ini.”

“Kalau di sekitar rumah begini, mustahil pula dapur tu terselamat. Atau awak saja hendak melawak?” Mereka saling berpandangan sebelum sama-sama bergegas ke dapur. Sebaik mentol menyala, kedua-duanya terpegun melihat kesemua bahagian dapur yang ditenggelami air.

“Ia bukan sesuatu yang luar biasa kan…” kata Mak Jah. “Bila hujan lebat beginilah keadaannya. Sudah lama, bukannya baru.” Pak Jais membisu.
Semena-mena Mak Jah tergelak kecil. Seolah ada sesuatu yang mencuit hatinya. Di tenungnya wajah Pak Jais yang kelihatan agak murung. “Kasihan… tak berjaya juga nampaknya segala penat lelah kerja awak., tu. Sia-sia saja.”

Sebulan lalu, hampir seminggu Pak Jais menghabiskan masa di rumah. Dia tidak ke kebun sepanjang tempuh tersebut. Mungkin idea yang tercetus dan cuba dilakukan itu dapat membendung kemasukan air bila hujan terutama ke bahagian dapur. Lalu di carinya segala lubang yang kelihatan mata. Begitu juga dengan rekahan yang terdapat pada seluruh dinding. Kemudian kesemua itu dilepa dengan simen. Namun terbukti segala usahanya itu juga menemui kegagalan. Dia langsung tidak terfikir meski segala lubang dan rekahan telah dilepa tetapi air memasuki pula lewat pintu.

Kalaulah Mak Jah berkeras tidak turun ke dapur bererti mereka tiga beranak tidak makan-minum. Selama mana? Lainlah di bulan puasa.

Mak Jah mengamati barang-barang yang ada di dapur masih terletak rapi di atas para. Balang gula, teh dan kopi serta keperluan-keperluan memasak seperti minyak, rempah, garam dan lain-

lain berada di situ. Cuma air yang hampir ke betis itu sedikit merisaukannya.

Dikala begitu juga biasanya terdapat banyak ular, lipan, jengking, ulat jengkal dan ulat bulu yang merayap. Masih di ingat dulu, lipan bara sebesar jari kelingking pernah merayap di betisnya sewaktu dia sibuk memasak. Entah dari mana datangnya. Mujur ia belum sempat menyengat. Dapat di tepisnya sekuat hati sebelum berlari naik ke atas. Lipan yang masih hidup itu terapung-apung dan berenang laju ke arah dinding. Bila teringat Mak Jah terasa akan geli dan seramnya!

Rumah yang asalnya Pak Jais pindahkan dari kebunnya di darat itu kelihatan semakin usang. Kebanyakan papan yang di jadikan dinding telah banyak berlubang. Begitu juga dengan atap zingnya. Selain berlubang ia banyak berkarat. Namun dia tetap bersyukur kerana memilikki tempat berlindung.

“Bilalah air ini nak surut?” Sapaan itu mengejutkan Pak Jais yang termangu di muka pintu. Lalu Mak Jah meletakan secawan kopi dan beberapa ketul biskut tongkat. Namun mata Pak Jais masih terpukau pada kocakan air di tengah halaman itu. Di situ kelihatan ikan-ikan saling berkejaran dan sebebasnya berenang. Di agaknya jika tidak ikan puyu mungkin haruan. Mungkin juga sepat atau keli. Saiznya agak besar.

Di kala beginilah segala jenis ikan akan keluar dari sarangnya sama ada dari kolam, longkang atau lopak. Oleh kerana paras air yang lebih dalam bergenang di sekitar rumahnya maka kebanyakan ikan berkumpul di situ.

“Bukan main galak kau berenang, ya? Mentang-mentang rumah aku dah jadi macam tasik. Sedarkah itu laman rumah aku? Hish!” Pak Jais menggerutu.

“Cuba-cubalah awak berjumpa dengan si Amin tu. Ceritakan baik-baik masalah kita. Katakan padanya siapa pun tidak peduli dan ambil tahu lagi. Kalau dia ragu-ragu ajak sekali dia ke sini sementara air masih melimpah.” Panjang lebar hujah isterinya. “Mungkin anak muda itu bersimpati dan boleh di ajak berbincang.”

Lama Pak Jais memikirkannya. Tapi belum dicuba belum tahu. Mungkin dia tidak sebagaimana gemulah Pak Deris ayahnya. “Betul juga cakap awak. Nanti saya cuba dapatkan dia.”

Mungkin hati Amin lebih lembut tidak sekeras batu seperti hati ayahnya. Dulu ayahnyalah yang tidak sesekali membenarkan Pak Jais mengali parit yang tembus ke sungai melalui sempadan kebunnya itu. Hasrat itu ditolak mentah-mentah. Sedangkan parit itu hanya parit sempadan yang sudah lama dibiarkan dan dilitupi semak-samun.

Memang Pak Jais akui kedudukan tanah rumahnya yang agak rendah itu di antara salah satu faktor menyebabkan banjir. Namun pembangunan yang semakin rancak di sekitar pekan turut menyumbang pada keadaan banjir menjadi semakin teruk dan buruk ini. Pembangunan tidak salah jika semua perkara di ambil kira. Misalnya kajian sistem perparitan yang teratur juga penyediaan kolam takungan dan sebagainya lagi.

Kini orang seperti Pak Jais menjadi mangsa. Terhimpit dia di tengah-tengah situasi yang tidak dialami orang lain. Sesetengah mereka yang tidak melihat dengan mata kepala sendiri tentu sukar mempercayai akan keadaan banjir yang melanda rumahnya. Bagaimana tidak, kerana ia tidak berlaku pada rumah atau tempat lain termasuk di rumah berdekatan, jalan juga pekan itu. Ia hanya melanda kawasan rumahnya saja.

Alangkah baiknya jika sistem perparitan seperti dulu dikekalkan. Mustahilkah jika ia diwujudkan semula? Pak Jais berpandangan, dengan adanya parit selebar lebih kurang 10 kaki dari darat ke pekan seperti dulu itu, segala lebihan air akan mengalir ke dalamnya. Jarang ia melimpah kerana parit itu terus mengalir ke sungai. Di sungai terdapat pintu kawalan. Apabila paras air mendadak naik ia akan di buka. Air seterusnya menuju ke laut. Tetapi seribu kali sayang, di atas nama pembangunan parit tersebut telah ditutup. Sebelum itu, ia mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama para pesawah. Segala usaha dilakukan bagi menghalang projek tersebut dilaksanakan.

Penutupan parit yang selama ini amat berjasa itu dijanjikan akan diganti dengan sistem saliran lebih baik. Di jelaskan pada para pesawah akan pembinaannya yang akan mengelilingi tanah sawah berkeluasan 900 hektar itu. Ia dikatakan dapat membantu pesawah menanam padi dua kali setahun.

Sudahnya jalan berturap menutup parit bermula dari darat ke pekan. Wajah parit yang dulu mengalirkan air dari sungai ke sawah, tempat mencuci pakaian, memancing, mandi juga berenang anak-anak lenyap dari pandangan.

Namun bertahun sudah sistem saliran masih terbiar. Ia tidak dapat berfungsi sebagaimana sewajarnya. Ia menjadi projek terbengkalai kerana hanya mampu menakung air namun tidak dapat disalirkan ke petak sawah sebagaimana ketika adanya parit itu dulu. Sebagaimana projek itu, sawah mereka sudahnya terbiar demikian lama. Tiada pulangan dan hasil.

“Sementara belum hujan dan keadaan lebih parah, bagaimana kalau sekarang juga kita gali?” Tiba-tiba saja Amin bersuara setelah melihat sendiri keadaan dapur serta sekitar rumah Pak Jais.

Tidak diduga sama sekali itu yang disuarakan. Pak Jais mengurut dada. Tertunai hasrat terpendam selama ini. Doanya sudah terkabul. Lantas dipanjatkan rasa syukur.
Hujan semena-mena sebaik saja Kamil, Amin dan Pak Jais habis mengali parit hingga tembus ke sungai. Air hujan dan air yang bertakung bersatu meluncur melalui parit yang baru mereka gali itu. Kelegaan terpancar di wajah Pak Jais. Wajah Amin dan Kamil ceria. Pak Jais tidak lagi khuatir air melimpah dan bertahan lebih lama di rumahnya selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya